Pembeli dihadkan hanya 10 kad SIM pascabayar mulai 28 Feb

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembeli dihadkan hanya 10 kad SIM pascabayar mulai 28 Feb

Ia sebahagian usaha membanteras penipuan bagi lindungi orang ramai
Jan 23, 2026 | 5:53 PM

Pembeli dihadkan hanya 10 kad SIM pascabayar mulai 28 Feb

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kad SIM, pascabayar, S’pura, IMDA, penipuan
Bagi mengurangkan kesan terhadap penggunaan sah kad SIM pascabayar, peraturan baru akan berkuat kuasa bagi pelan perkhidmatan baru mulai 28 Februari di Singapura. - Foto ST

Mulai 28 Februari, had pendaftaran kad SIM pascabayar bagi pelanggan syarikat telekomunikasi di Singapura ditetapkan kepada 10 kad, dalam usaha memperhebatkan lagi pembanterasan penipuan.

Langkah ini adalah tindakan terkini dalam siri perjuangan menentang penipuan demi melindungi orang awam, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan pihak polis pada 23 Januari.

IMDA dan syarikat-syarikat telko telah bekerjasama untuk mengetatkan pendaftaran kad SIM bagi mencegah penyalahgunaan haram, tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut:

“Langkah ini bertujuan mengurangkan pembelian dan penggunaan kad SIM secara haram, di samping memenuhi keperluan pengguna sah, seperti mereka yang memerlukan bilangan kad SIM yang lebih banyak untuk ahli keluarga atau tujuan perniagaan.”

Pada April 2014, jumlah maksimum kad SIM prabayar yang boleh didaftarkan oleh pelanggan telah dikurangkan daripada 10 merentasi semua telko kepada tiga.

Sebelum April 2024, pelanggan dibenarkan mendaftar jumlah kad SIM pascabayar tanpa had.

Pada April 2024, peraturan ini diperketatkan dengan menetapkan had 10 kad SIM pascabayar bagi setiap telko.

Namun begitu, pihak berkuasa mendapati masih terdapat trend peningkatan individu yang bertindak sebagai keldai wang membeli kad SIM pascabayar dalam jumlah yang banyak di pelbagai peruncit.

Setelah membeli, individu-individu ini menyerahkan kad SIM tersebut kepada sindiket jenayah atau penipu, yang kemudian menggunakannya untuk tujuan haram.

Bagi mengurangkan kesan terhadap penggunaan sah kad SIM pascabayar, peraturan baru ini hanya akan berkuat kuasa bagi pendaftaran baru mulai 28 Februari.

Pelanggan sah yang telah melanggan lebih 10 kad SIM pascabayar sebelum tarikh tersebut tidak akan terjejas dan tidak diwajibkan melepaskan mana-mana kad SIM mereka.

Namun, mereka tidak dibenarkan mendaftar kad SIM tambahan.

Kad SIM di bawah pelan syarikat atau korporat, serta kad SIM data sahaja yang tidak boleh menghantar SMS atau membuat panggilan, juga tidak terjejas.

Hukuman lebih berat terhadap penipu yang disabitkan kesalahan, termasuk sebatan mandatori, telah mula berkuat kuasa pada 30 Disember 2025.

Di bawah peraturan baru ini, penipu serta anggota atau perekrut sindiket penipuan berdepan sebatan mandatori sekurang-kurangnya enam kali dan sehingga 24 kali.

Keldai wang yang membantu penipu dengan melindungi hasil penipuan serta menyediakan kad SIM dan kelayakan Singpass boleh dikenakan sehingga 12 sebatan, dan dilarang mendaftar kad SIM baru.

Sindiket jenayah menyalahgunakan kad SIM tempatan dan eSIM sebagai saluran perhubungan untuk penipuan, pinjaman wang tanpa lesen dan kegiatan haram.

Seorang lelaki berusia 19 tahun turut diberkas pada September 2025 kerana merekrut orang ramai menggunakan maklumat peribadi mereka untuk membeli kad SIM, yang kemudian digunakan untuk membuat panggilan penipuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg