Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebat antara hukuman baru bagi keldai wang

Langkah dipertingkat untuk hentikan penyalahgunaan talian telefon,  butiran Singpass dan akaun bank
Nov 10, 2025 | 9:23 PM
Menurut data SPF, hampir 15 peratus pelanggan talian mudah alih pada 2025 yang membenarkan talian mereka disalahgunakan bagi tujuan penipuan merupakan keldai wang yang pernah melakukan kesalahan berulang.
Menurut data SPF, hampir 15 peratus pelanggan talian mudah alih pada 2025 yang membenarkan talian mereka disalahgunakan bagi tujuan penipuan merupakan keldai wang yang pernah melakukan kesalahan berulang. - Foto ISTOCKPHOTO

Anda menemui tawaran pekerjaan dalam kumpulan sembang di platform mesej dalam talian.

Tugasnya nampak mudah: jual tiga kad SIM prabayar yang didaftarkan atas nama anda untuk mendapatkan wang tunai.

Kerana teruja dengan janji wang mudah, anda bersetuju tanpa menilai risikonya. Tanpa disedari, anda telah menjadi ‘scam mule’ atau keldai wang dan sekali gus terlibat dalam aktiviti jenayah.

Di bawah undang-undang Singapura, kesalahan berkaitan keldai wang melibatkan penyalahgunaan akaun bank dan pembayaran, talian telefon, serta butiran Singpass untuk memudahkan penipuan.

Mulai 1 Januari, sesiapa yang menyerahkan kad SIM atas nama mereka diwajibkan mengambil langkah wajar untuk mengetahui identiti, lokasi, dan tujuan penerima kad SIM tersebut.

Mereka yang dengan sengaja terlibat dalam aktiviti keldai wang boleh dikenakan tindakan undang-undang, walaupun mendakwa tidak mengetahui undang-undang, menurut Pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF), Cik Ong Li Ying, 27 tahun.

Penipu menggunakan talian tempatan untuk menghubungi mangsa berpotensi dan akaun bank tempatan untuk mengalihkan dana di dalam Singapura dan ke luar negara, jelasnya.

Mereka juga menggunakan butiran Singpass antaranya, untuk mendaftar talian telefon atau akaun bank.

Penipu boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga 12 kali di bawah undang-undang yang dipertingkat pada 4 November untuk menghentikan aktiviti keldai wang.

Penipu, ahli sindiket penipuan, dan perekrut pula dikenakan sebatan wajib antara enam hingga 24 kali.

Mulai Oktober, individu yang dikenal pasti sebagai keldai wang, termasuk mereka yang berisiko tinggi, akan terus dipantau bagi mencegah penipuan semasa siasatan.

Mereka mungkin akan dihalang daripada mendaftar talian telefon baru dan menghadapi sekatan akses ke perkhidmatan bank serta Singpass.

Sejak 1 Oktober, 271 individu dan 44 entiti korporat telah dikenakan sekatan.

Bendung penjenayah

Cik Ong menekankan bahawa keldai wang membentuk majoriti daripada lebih 3,500 individu yang disiasat kerana aktiviti penipuan dan penipuan di Singapura pada separuh pertama 2025, dengan lebih 500 individu telah didakwa.

Bagi tempoh yang sama, laporan pertengahan tahun 2025 oleh SPF mengenai penipuan dan jenayah siber yang dikeluarkan pada Ogos mencatatkan kerugian kira-kira $456 juta akibat penipuan.

Menurut Cik Ong, memandangkan sindiket penipuan selalunya berpusat di luar negara, usaha “melumpuhkan ekosistem tempatan yang memudahkan penipuan adalah langkah penting untuk membanteras jenayah ini”.

Hampir 15 peratus pelanggan telefon bimbit pada 2025 yang membenarkan talian mereka digunakan untuk penipuan adalah pesalah berulang, dengan lebih 11,000 talian didaftarkan oleh golongan ini, menurut data SPF.

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bekerjasama dengan SPF dan syarikat telekomunikasi untuk menghalang keldai wang dan entiti korporat yang dikenal pasti daripada mendaftar telefon bimbit baru serta menggantung “kad SIM tercemar penipuan”, kata Encik Goh Chian Hao, Penolong Pengarah dan Peraturan Dasar dan Pasaran di IMDA.

Beliau menekankan bahawa sesiapa yang ingin membeli kad SIM di Singapura, termasuk pelancong, perlu mengesahkan identiti mereka.

Pelanggan juga dihadkan kepada tiga kad prabayar dan 10 kad pascabayar.

“Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menghendaki bank di Singapura mewujudkan kawalan untuk mengesan akaun keldai wang yang disalahgunakan untuk aktiviti penipuan,” kata jurucakap MAS.

Individu yang dikenakan sekatan baru bagi penipuan keldai wang akan dinafikan akses ke perbankan digital, transaksi ATM, dan kad, untuk akaun baru dan sedia ada.

Wang lesap ke luar negara

Kebanyakan mangsa penipuan tidak akan mendapat kembali wang mereka.

“Apabila wang dipindahkan ke akaun yang dikawal penipu… ia boleh dipindahkan dengan cepat merentas beberapa akaun dan negara dalam beberapa minit. Ini menjadikan usaha mengesan dan memulihkan wang sangat sukar,” kata Cik Ong.

Skala dan jumlah operasi penipuan yang besar menyebabjan usaha membanterasnya lebih sukar, tambah beliau.

Penipu beroperasi dengan selamat dari luar negara dan mudah merekrut keldai wang di Singapura melalui media sosial dan platform mesej pada kos yang rendah, sejajar dengan kadar penggunaan Internet yang tinggi di negara ini, katanya.

Apabila pihak berkuasa menutup akaun atau laman web mereka, yang baru akan muncul. Polis menutup hampir 45,000 laman web penipuan tahun lalu, tambahnya.

Penipu juga cepat menyesuaikan diri, kata Cik Ong.

Contohnya, apabila polis mengekang penggunaan kad SIM tempatan oleh penipu, mereka beralih membeli akaun dalam talian seperti WhatsApp daripada penduduk tempatan.

“Kita mesti menerima sedikit kesulitan dalam sistem kewangan untuk bertransaksi dengan lebih selamat secara dalam talian,” kata Cik Ong.

“Contohnya, gunakan langkah seperti pengesahan dua faktor dan tempoh ‘cooling’ bagi transaksi bank berisiko tinggi mungkin menimbulkan sedikit kesulitan, tetapi ia merupakan langkah keselamatan yang penting.”

Terus berhati-hati. Jangan jadi keldai wang dan mangsa penipuan yang merugikan diri sendiri.
Terus berhati-hati. Jangan jadi keldai wang dan mangsa penipuan yang merugikan diri sendiri. - Adaptasi Grafik BERITA MINGGU
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg