Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembaca boleh manfaat Pas Budaya SG untuk beli lebih 2,600 karya sastera S’pura
Pembaca boleh manfaat Pas Budaya SG untuk beli lebih 2,600 karya sastera S’pura
Buku-buku sastera yang ditulis warga SG, penduduk tetap itu boleh dibeli di 15 kedai buku
Pembaca boleh manfaat Pas Budaya SG untuk beli lebih 2,600 karya sastera S’pura
Pembaca kini boleh membeli lebih 1,100 lagi karya sastera Singapura (SingLit) di bawah Pas Budaya SG selepas Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), menambah lebih banyak judul buku karya penulis tempatan ke dalam senarai yang layak, pada 19 Mei.
Tambahan ini membolehkan rakyat Singapura membeli lebih 2,600 judul SingLit di 15 kedai buku serta cawangannya di seluruh negara.
MCCY turut menambah enam lagi kedai buku yang menerima pas tersebut, termasuk Book Point di Bras Basah Complex, penerbit komik TCZ Studio di Aljunied Road, dan Littered with Books di Duxton Road.
Judul buku yang layak boleh dikenal pasti melalui pelekat rasmi Pas Budaya SG pada buku tersebut di kedai buku yang mengambil bahagian.
Judul SingLit yang layak mungkin berbeza antara kedai buku, kata MCCY.
Untuk layak dibeli di bawah skim Pas Budaya, judul tersebut mesti ditulis oleh warga Singapura atau Penduduk Tetap dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu atau Tamil pada waktu penerbitan, kata MCCY.
Buku yang layak terhad kepada genre puisi, drama, esei pendek dan fiksyen termasuk komik serta novel grafik.
Dilancarkan pada 1 September 2025 untuk mengukuhkan sektor seni dan warisan tempatan, Pas Budaya SG ialah skim kredit budaya yang membolehkan rakyat Singapura membeli buku sastera ciptaan Singapura. Setiap rakyat Singapura yang layak, menerima kredit bernilai $100.
Selain buku, ia juga boleh digunakan untuk pementasan teater, konsert, bengkel, pameran dan filem.
MCCY berkata pihaknya terus bekerjasama dengan rakan industri untuk meluaskan tawaran judul SingLit di bawah Pas Budaya SG.
Penulis SingLit boleh menyertai Skim Pas Budaya SG melalui penerbit atau pengedar mereka, yang boleh memohon menyertai skim tersebut di laman partners.sgculturepass.gov.sg.
Sebanyak $300 juta telah diperuntukkan bagi Skim Pas Budaya SG untuk tiga juta rakyat Singapura berumur 18 tahun dan ke atas. Kredit tersebut tamat tempoh pada penghujung 2028.
Kredit bernilai sekitar $539,000 telah dibelanjakan di kedai buku.
Kedai buku baharu yang mengambil bahagian dalam Pas Budaya SG ialah Basheer Graphic Books, Book Point, Littered with Books, Nurul Anwar Bookstore, TCZ Studio dan The Zall Bookstore.
