Topic followed successfully
Go to BHkuGuna Pas Budaya SG beli buku Melayu kanak-kanak SingLit di Popular, Wardah
Guna Pas Budaya SG beli buku Melayu kanak-kanak SingLit di Popular, Wardah
Guna Pas Budaya SG beli buku Melayu kanak-kanak SingLit di Popular, Wardah
Ibu bapa yang mahu menambah koleksi buku Melayu kanak-kanak di rumah kini boleh melakukan demikian menggunakan Pas Budaya SG $100 mereka.
Hampir 40 judul buku Melayu dan dwibahasa Melayu-Inggeris karya penulis tempatan boleh ditebus menggunakan pas itu di dua kedai buku iaitu Wardah Books dan cawangan tertentu Popular.
Buku tersebut mempunyai pelekat merah di kulitnya agar mudah dikenal pasti.
Dengan harga buku serendah $10.90 setiap satu, ibu bapa boleh membeli sekitar 18 buku dengan menggabungkan kredit mereka menjadi $200.
Pas Budaya SG dilancarkan pada 1 September 2025 untuk mendorong sektor warisan dan seni tempatan.
Skim pemerintah bernilai $300 juta itu boleh ditebus untuk menonton persembahan teater, konsert dan filem, serta mengikuti bengkel dan pameran.
Ia ditawarkan kepada semua warga Singapura berumur 18 tahun dan ke atas dan boleh ditebus hingga 31 Disember 2028.
Sejak 1 Mac 2026, kredit itu boleh digunakan untuk sastera Singapura (SingLit).
Buat masa ini, terdapat sekitar 1,500 judul buku SingLit dalam empat bahasa rasmi Singapura yang layak ditebus menggunakan pas tersebut.
Ia terdiri daripada genre seperti buku kanak-kanak, cereka, sajak, drama dan esei pendek.
Buku itu boleh didapatkan di kedai buku yang mengambil bahagian iaitu Book Bar, City Book Room, Wardah Books, Union Book Co, Lingzi Warehouse Books Sale, tiga cawangan Maha Yu Yi, tiga cawangan Woods In The Books, tiga cawangan Books Kinokuniya dan 26 cawangan Popular.
Kredit itu juga boleh digunakan untuk membeli buku di acara kesusasteraan dan pameran buku seperti Festival Kandungan Kanak-Kanak Asia ke-17 pada Mei.
Untuk menggunakan kredit, pelanggan perlu log masuk ke akaun Pas Budaya SG mereka di https://www.sgculturepass.gov.sg/ menggunakan Singpass dan memasukkan jumlah kredit untuk menjana kod QR, yang kemudian akan diimbas oleh juruwang di kedai buku.
Buku Melayu kanak-kanak SingLit boleh dibeli menggunakan Pas Budaya SG di Wardah Books di 58 Bussorah Street, dan cawangan Popular di Bedok Mall, Bras Basah Complex, Causeway Point, Clementi Mall, Compass One, Junction 8, Jurong Point, Nex Mall, Northpoint, Oasis Terrace Punggol, Seletar Mall, Tampines Mall, Toa Payoh HDB Hub, Waterway Point dan West Mall.

