Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar 14 tahun ditahan ISD, rancang tikam guru, rakan di sekolah
Pelajar 14 tahun ditahan ISD, rancang tikam guru, rakan di sekolah
Paling muda ditahan di bawah ISA, antara tiga remaja jadi radikal sendiri yang ditahan sejak April
Pelajar 14 tahun ditahan ISD, rancang tikam guru, rakan di sekolah
Pihak berkuasa telah menumpaskan rancangan seorang pelajar menengah dua berusia 14 tahun untuk menggunakan pisau dan menikam guru serta rakan sekolah bukan Muslim di sekolahnya.
Pelajar itu, yang tidak dinamakan kerana berusia bawah 18 tahun, ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Mei 2026, hanya beberapa minggu sebelum dia berhasrat mengadakan serangan tersebut di sekolah semasa cuti sekolah Jun.
Pelajar berusia 14 tahun tersebut ialah yang termuda ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
Dua lagi remaja, berusia 15 dan 19 tahun, turut dikenakan Arahan Penahanan (OD) di bawah ISA pada April dan Jun, dalam kes-kes berasingan.
ISD, menerusi kenyataannya berkata pelajar berusia 14 tahun itu menjadi radikal sendiri di dalam talian dan menyokong kumpulan militan ISIS. Dia juga menyokong fahaman pelampau sayap kanan, termasuk perbuatan menembak dan membunuh orang beramai-ramai.
Pelajar itu memilih untuk menyerang guru dan rakan sekolah kerana berasa teraniaya dibuli oleh rakan sekolah dan diberi tekanan akademik oleh guru-gurunya.
Menurut ISD, pelajar itu telah menyiapkan manifesto setebal 21 muka surat yang mengemukakan rancangannya itu, termasuk pilihan senjata. Dia berhasrat untuk menggunakan pisau dapur dan pisau pena dari rumah dan memilih untuk melaksanakan serangan itu pada musim cuti sekolah apabila jumlah guru di sekolah berkurangan.
Namun, seorang yang tidak dinamakan dari sekolah mengenal pasti tanda-tanda pelajar itu menjadi radikal dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, kata ISD.
Bercakap kepada media di ibu pejabat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Irrawaddy Road, pada 27 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata ISD telah bertindak “tepat pada masanya”.
“Dalam tempoh tiga bulan lalu, ISD telah menahan tiga remaja lelaki di bawah ISA. Seorang daripada mereka akan melaksanakannya (melakukan serangan) semasa cuti sekolah Jun sekiranya ISD tidak menahannya tepat pada masanya.
“Jadi, ia memang tepat pada masanya. Dia sememangnya berhasrat untuk melaksanakannya,” jelas Encik Shanmugam, yang juga Menteri Kanan.