Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemandu pelancong rentas budaya di Taman Cina
Minat terhadap alam semula jadi dorong jadi relawan kendali lawatan berpandu
Pemandu pelancong rentas budaya di Taman Cina
Pada usia 55 tahun, Cik Siti Zaleha Zainal, merupakan satu-satunya pemandu pelancong Melayu yang membawa pengunjung menyusuri Taman Cina di Jurong.
Di sana, beliau menerangkan simbolik ukiran batu berbentuk singa, pagoda dan kosmologi Buddha dengan penuh yakin, hasil penyelidikan bertahun-tahun.
Kecintaannya terhadap alam semula jadi kini berkembang menjadi misi peribadi untuk merentasi batas budaya.
Pendidik bebas dan ibu dua anak itu menyertai Lembaga Taman Negara (NParks) sebagai relawan selepas mengetahui rancangan pembangunan semula Taman Tasik Jurong tempat yang sering dikunjunginya sejak zaman sekolah menengah.
Walaupun pada mulanya sukar menyebut istilah bahasa Cina dan bimbang menyampaikan maklumat yang kurang tepat, beliau menjalankan penyelidikan tambahan serta mendapatkan bantuan rakan-rakan Cina.
Cik Siti mula aktif mengendalikan lawatan berpandu pada 2022 selepas menjalani latihan, dua sesi latihan sambil bekerja bersama pemandu berpengalaman dan satu penilaian sebelum dibenarkan mengetuai lawatan secara sendiri.
Beliau masih mengingati lawatan pertamanya bagi sebuah kumpulan korporat.
Disebabkan terlalu gementar, segala latihan sebutan bahasa Cina yang dilakukannya seakan-akan hilang daripada ingatan.
“Saya minta kawan Cina rakam cara menyebut perkataan-perkataan itu dan saya ulang banyak kali. Tetapi apabila tiba harinya, saya lupa semuanya,” katanya sambil tertawa.
Pengalaman itu mendorongnya membaca dengan lebih mendalam dan menyemak beberapa sumber sebelum berkongsi sesuatu fakta.
Sekiranya terdapat percanggahan dalam bahan bacaannya, beliau memilih untuk tidak memasukkan maklumat tersebut dalam lawatan.
Antara kisah yang paling menarik perhatiannya ialah sejarah ukiran batu berbentuk singa yang lazim diletak berpasangan di pintu masuk bangunan tradisional Cina.
Menurut kajiannya, singa jantan pernah dihadiahkan kepada China dari Parsi melalui Laluan Sutera semasa Dinasti Han.
Disebabkan masyarakat ketika itu kurang mengenali rupa singa betina, kedua-dua ukiran mempunyai surai.
Singa jantan dibezakan melalui bola di bawah kakinya, manakala singa betina mempunyai anak singa.
Dalam satu lawatan, seorang pengunjung beragama Buddha terkejut apabila Cik Siti menerangkan enam sisi pagoda yang dikaitkan dengan enam alam kelahiran semula dalam kosmologi Buddha.
“Dia bertanya, ‘Awak Melayu tetapi awak tahu?’ Saya cakap, ‘Saya bacalah, saya buat penyelidikan.’ Dia kemudian mengaku bahawa dia sendiri tidak tahu,” katanya.
Bagi Cik Siti, pengalaman tersebut mengukuhkan kepercayaannya bahawa masyarakat perlu berusaha memahami budaya antara satu sama lain.
Selain Taman Cina, beliau baru memulakan tugas sebagai pemandu di Istana dan pernah mengendalikan lawatan bagi pengunjung kurang pendengaran dengan bantuan jurubahasa isyarat.
Beliau berharap dapat terus aktif sebagai relawan sambil menggalakkan lebih ramai masyarakat Melayu mengunjungi Taman Cina dan memanfaatkan ruang hijau yang disediakan di Singapura.
“Mulakan dengan belajar sedikit. Kalau sudah berminat, kita boleh teruskan penyelidikan sendiri. Hidup di sebuah negara yang berbilang kaum, lebih baik kita memahami bangsa lain,” katanya.
“
“Saya minta kawan Cina rakam cara menyebut perkataan-perkataan itu dan saya ulang banyak kali. Tetapi apabila tiba harinya, saya lupa semuanya.”
