Terdapat pelbagai langkah untuk menyokong pembantu rumah hijrahan (MDW) di sini serta majikan mereka.
Bahkan dalam lima tahun lalu, pelbagai langkah telah diperkenal untuk menyokong kesejahteraan MDW seperti mempunyai hari rehat wajib, serta temu duga pada tahun pertama pekerjaan untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik.
“Langkah ini menunjukkan komitmen kami untuk memperbaiki keadaan pekerjaan MDW selaras dengan piawaian antarabangsa,” kata Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.
Encik Huang berkata demikian pada 13 Januari dalam responsnya kepada usul penangguhan yang diketengahkan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol.
Cik Yeo berkata beliau percaya lebih banyak boleh dilakukan untuk mengukuhkan sokongan dan maruah MDW di sini.
Antaranya, beliau berkata perlu ada latihan penjagaan sesuai yang disediakan untuk MDW ini kerana “penjagaan hari ini bukan setakat tentang menjaga rumah”.
Cik Yeo menyarankan agar Geran Latihan Pengasuh (CTG) diluaskan untuk merangkumi penjagaan berasaskan rumah dan latihan bahasa lanjutan.
“Ini harus merangkumi demensia dan penjagaan warga emas, penjagaan selepas keluar dari hospital, penjagaan kecacatan dan perbualan dalam bahasa Mandarin, Melayu, Hokkien, Kantonis dan dialek lain untuk penjagaan warga emas,” kata beliau.
Encik Huang berkata CTG dipertingkatkan mulai 1 April 2024, naik daripada $200 kepada $400 setahun bagi setiap penerima jagaan.
Bagi menyokong keperluan latihan penjaga, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menawarkan lebih 240 kursus yang merangkumi pelbagai kemahiran latihan penjagaan.
Majikan dan MDW juga boleh mengikuti beberapa kursus bahasa yang ditawarkan beberapa organisasi di sini, tambahnya.
Menyentuh cabaran kemampuan yang dihadapi sesetengah majikan, Encik Huang berkata pemerintah menyediakan sokongan kewangan seperti Geran Penjagaan di Rumah (HCG) yang memberi bayaran tunai sehingga $400 sebulan.
Kementerian Kesihatan (MOH) juga telah mengumumkan peningkatan terhadap HCG yang akan berkuatkuasa April 2026.
Ini termasuk meningkatkan bayaran bulanan dari hingga $400 sebulan hingga $600 sebulan meningkatkan ambang kelayakan pendapatan isi rumah per kapita (PCHI) daripada $3,600 kepada $4,800.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga kerap menyemak perlindungan dasar insurans perubatan bagi MDW, kata Encik Huang.
Untuk memastikan terdapat padanan yang lebih cocok antara majikan dengan MDW pula, Encik Huang berkata majikan boleh menggunakan portal khidmat elektronik MDW untuk melihat prestasi kerja lalu, tempoh setiap pekerjaan dan sebab-sebab mengapa MDW itu meninggalkan pekerjaan mereka yang lalu.
MOM menyediakan direktori agensi pekerjaan (EA) dalam talian untuk memberi maklumat kepada isi rumah yang ingin menggunakan perkhidmatan EA, termasuk penilaian khidmat pelanggan agensi itu, pengalaman mereka, kadar pengekalan dan pemindahan MDW yang ditempatkan.
Direktori itu meningkatkan ketelusan dengan membolehkan majikan memilih EA yang paling memenuhi keperluan mereka.
“Landskap penjagaan di Singapura akan menjadi lebih mencabar dengan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penjagaan merentasi demografi yang berbeza.
“Pemerintah telah memperluaskan pilihan penjagaan dan memastikan ia kekal mudah diakses dan berpatutan. Kami akan terus mencari cara untuk melindungi kepentingan majikan MDW sambil melindungi kesejahteraan MDW,” ujar Encik Huang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg