Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar SST teroka angkasa lepas dengan balai cerap, stesen radio baharu
Pelajar SST teroka angkasa lepas dengan balai cerap, stesen radio baharu
Pelajar SST teroka angkasa lepas dengan balai cerap, stesen radio baharu
Pelajar dan alumni Sekolah Sains dan Teknologi (SST) kini boleh menjalankan pencerapan ruang angkasa serta menjejak satelit secara langsung dari kampus mereka sendiri.
Pusat Teknologi Angkasa sekolah itu, yang dibuka rasmi pada 20 April, menempatkan sebuah teleskop PlaneWave berukuran 17 inci dan sebuah pembias Takahashi di balai cerap baharunya.
Peralatan ini digunakan untuk pencerapan suria, planet, serta ruang angkasa jauh, sekali gus membolehkan para pelajar meneroka alam semesta termasuk kawah Bulan dan gelang Zuhal.
Teleskop baharu itu jauh lebih besar berbanding binokular biasa yang perlu dipegang dan digunakan pelajar SST sebelum ini.
Ia mempunyai tahap resolusi dan pembesaran yang tinggi, serta mampu mengumpul lebih banyak cahaya hasil daripada saiz bukaannya yang besar.
Selain itu, pelajar dapat menjejak satelit dan berkomunikasi dengan pengguna radio lain di serata dunia di Bilik Bell Radio.
Ia berfungsi sebagai stesen radio amatur dan dilengkapi dengan alat penghantar-terima bagi membolehkan pelajar menghantar pesanan sendiri serta mendengar isyarat yang datang dari angkasa lepas.
SST kini merupakan salah satu daripada dua sekolah menengah di Singapura yang menempatkan balai cerap – selain Sekolah Tinggi Matematik dan Sains Universiti Nasional Singapura (NUS High School) – dan satu-satunya sekolah yang mempunyai stesen radio amatur khas.
Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, merasmikan pembukaan Pusat Teknologi Angkasa SST, pada 20 April.
Menurut beliau, pusat tersebut menghubungkan pengetahuan di dalam bilik darjah dengan aplikasi dunia sebenar, serta dapat memupuk bakat bagi memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab inovasi dan penyelidikan.
Angkasa kini menjadi perbatasan yang mampu diakses oleh negara dan perniagaan menyusuli pembangunan pesat teknologi angkasa serta kos pelancaran yang menurun, kata Encik Neo.
“Singapura berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan momentum sejagat ini hasil daripada pelaburan selama bertahun-tahun... serta asas Stem kita yang kukuh,” tambah Encik Neo.
Stem merupakan singkatan bagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
Kejayaan Singapura melancarkan dan mengendalikan lebih 30 satelit sejak bertahun-tahun lamanya, menjadi antara sebab pemerintah mengenal pasti teknologi angkasa sebagai bidang tumpuan di bawah Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang sedang dijalankan, jelas Encik Neo.
Pembukaan Pusat Teknologi Angkasa SST itu menyusuli permulaan operasi Agensi Angkasa Nasional Singapura (NSAS) pada 1 April bagi meluaskan ekonomi angkasa dan membangunkan keupayaan ruang angkasa negara.
Pusat baharu itu disokong empat makmal khusus, iaitu Makmal Alpha, di mana pelajar dapat menjalankan eksperimen berkaitan keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI); Makmal Beta, sebuah ‘ruang reka cipta’ bagi inovasi dan penghasilan prototaip; Makmal Gamma bagi penyelidikan gunaan; serta Makmal RAE bagi robotik dan kejuruteraan.
Encik Neo berkata pusat angkasa dan makmal tersebut membentuk sebuah ekosistem pembelajaran Stem yang menyeluruh.
Kemudahan-kemudahan ini membolehkan pelajar meneroka konsep Stem melalui eksperimen, serta belajar bagaimana kemajuan kejuruteraan dan teknologi mampu menyelesaikan masalah dunia sebenar, tambah beliau.
