Topic followed successfully
Go to BHkuBangun inisiatif Stem urus gerakan teknologi antarabangsa
Bangun inisiatif Stem urus gerakan teknologi antarabangsa
Penerima anugerah ‘Girls in Tech’ imbangi masa ulang kaji pelajaran sambil galak lebih ramai wanita muda sertai bidang
Bangun inisiatif Stem urus gerakan teknologi antarabangsa
Di sebalik keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ pada 27 Februari, tersimpan kisah dua anak muda yang tidak sekadar mengejar kecemerlangan akademik, malah tekun memupuk minat di luar bilik darjah. Berita Harian (BH) menelusuri perjalanan mereka.
Semuda usia 15 tahun, Kiera Nadine Muhammad Nazri, kini 19 tahun, sudah melangkah jauh melangkaui bilik darjah.
Ketika kebanyakan rakan sebayanya masih meneroka minat masing-masing, pelajar itu membentuk satu inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) bagi menggalak lebih ramai wanita muda agar berani menceburi bidang tersebut.
Sebagai presiden dan pengasas inisiatif yang dikenali sebagai, Y:Wait, Kiera memperuntuk sekurang-kurangnya tiga jam setiap minggu untuk menguruskan kegiatan pertubuhan itu, yang merangkumi bengkel, webinar dan acara rangkaian.
Ia di samping mengimbangi tuntutan pelajarannya di Institusi Raffles (RI).
Usahanya itu membuahkan hasil apabila daya usaha tersebut berkembang menjadi satu gerakan antarabangsa melibatkan lebih 8,000 belia di Singapura serta lebih 10 negara melalui program bimbingan, bengkel dan kerjasama antarabangsa, kongsi Kiera.
Malah, ia telah melayakkan beliau tersenarai sebagai antara 25 penerima anugerah ‘Girls in Tech’ pada September 2025 oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) dengan sokongan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), atas komitmennya memperkasa wanita dalam bidang Stem.
Itulah antara pengalaman paling manis remaja itu sebelum menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ pada 27 Februari.
Seramai 10,997 calon telah menduduki peperiksaan itu, dengan 94.7 peratus daripada mereka memperoleh sekurang-kurangnya tiga kelulusan bagi subjek H2, termasuk lulus dalam subjek Kertas Am (GP).
Meskipun enggan berkongsi keputusannya, Kiera berkata:
“Saya percaya dalam kehidupan sentiasa ada ruang untuk menjadi lebih baik, tetapi secara keseluruhan saya berasa keputusan ini memuaskan.
“Saya juga menantikan kehidupan fasa seterusnya dan berharap dapat terus mencapai prestasi lebih baik.”
Pengalaman mengimbangi pelajaran dan kegiatan kokurikulum selepas sekolah telah banyak membentuk daya ketahanan diri serta kemahiran kepimpinannya, tambah beliau.
Selain aktif dalam bidang teknologi, beliau juga terlibat dalam kegiatan sukarela seperti mengajar taekwondo kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan serta memberi tuisyen pada masa lapang.
Sikap positif itu banyak dipengaruhi keluarganya, khususnya bapanya, Encik Muhammad Nazri Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi sejagat pakar dalam kecerdasan buatan (AI), MyFinB.
“Keluarga adalah tunjang sokongan terbesar bagi saya. Setiap daripada mereka memainkan peranan berbeza dalam menyokong pelajaran dan minat saya.
“Adik perempuan saya sering mencabar saya secara mental dan mengajak saya berbasikal untuk menenangkan fikiran.
“Ibu pula sentiasa memastikan keadaan emosi saya terjaga dan bukan sekadar menumpukan kepada pelajaran.
“Bapa saya pula lebih tegas dan memberi maklum balas yang jujur. Beliau sering mengingatkan saya tentang kekuatan dan juga perkara yang perlu diperbaiki.
“Gabungan sokongan ini membantu saya kekal seimbang dan lebih bersedia menghadapi tekanan luar,” kata anak sulung dua beradik itu.
Menurutnya, sokongan keluarga amat dihargai terutama ketika menjelang peperiksaan GCE ‘A’, apabila masa ulang kaji perlu dipergiat.
“Menjelang peperiksaan, saya menggiatkan ulang kaji dan mengekalkan disiplin yang konsisten.
“Saya juga menggunakan pendekatan seperti berani mengenal pasti kelemahan agar dapat memperbaikinya,” ujarnya.
Meskipun mengakui pernah berasa letih, beliau tetap bertekad demi mencapai cita-citanya untuk melihat lebih ramai pelajar perempuan berani meneroka bidang teknologi dan kecerdasan buatan.
“Ramai pelajar perempuan sebenarnya berminat, tetapi mereka berasa bidang ini bukan untuk mereka.
“Saya berharap inisiatif ini dapat terus berkembang sebagai wadah untuk membantu mereka membina keyakinan dan meneroka potensi diri,” katanya.
Melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan, Kiera merancang melanjutkan pengajian dalam bidang sains sosial di universiti tempatan sebelum meneruskan pengajian peringkat possiswazah di luar negara.
Selain itu, beliau turut berharap pengalaman memimpin sebuah pertubuhan sejak usia muda akan terus membimbingnya pada masa hadapan.
“Saya harap dapat terus menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan Singapura, dengan memahami bagaimana dasar dan institusi boleh memberi kesan kepada kehidupan orang ramai,” katanya.
“
“Keluarga adalah tunjang sokongan terbesar bagi saya. Setiap daripada mereka memainkan peranan berbeza dalam menyokong pelajaran dan minat saya... Saya harap dapat terus menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan Singapura, dengan memahami bagaimana dasar dan institusi boleh memberi kesan kepada kehidupan orang ramai.”
