Topic followed successfully
Go to BHkuPelajar poly anggap diri ibarat jambatan, pikat belia sebaya dekati masjid
Pelajar poly anggap diri ibarat jambatan, pikat belia sebaya dekati masjid
Pengerusi kumpulan sayap belia Masjid Yusof Ishak usaha dengar luahan hati, pengalaman remaja
Pelajar poly anggap diri ibarat jambatan, pikat belia sebaya dekati masjid
Saat dirinya menyedari cabaran serupa yang dihadapi belia dalam memegang teguh kepada agama sepanjang kehidupan, Encik Izzat Zafran Sofyean, menetapkan matlamat untuk menjadi penyalur dan pembangkit semangat yang menghubungkan golongan belia kepada sumber sokongan yang betul.
Sejak dilantik sebagai pengerusi kumpulan sayap belia Masjid Yusof Ishak di 10 Woodlands Drive 17 pada Februari 2026, Encik Izzat, 18 tahun, menitikberatkan kepentingan untuk mendekati belia sebaya dengan cara yang lebih peribadi dan mampu dikaitkan dengan kehidupan rakan-rakannya.
“Saya sedari ramai belia juga merupakan pelajar sekolah yang berdepan dengan masalah dalam menunaikan kewajipan agama.
“Contohnya, masalah menunaikan solat fardu apabila waktu kelas di sekolah bertembung dengan waktu solat.
“Masalah yang dihadapi golongan belia ini juga pernah saya alami suatu ketika dahulu. Jadi, saya dapat membuat mereka tidak rasa keseorangan dalam mengatasi masalah sebegini.
“Setiap yang dikongsi dapat dikaitkan dalam kehidupan peribadi mereka.”
Pada Ramadan lalu, Encik Izzat, pelajar tahun akhir jurusan kejururawatan di Politeknik Ngee Ann (NP), berpeluang memimpin program, Ramadan Youth Challenge 2026 (RYC) atau Cabaran Belia Ramadan 2026, bagi Masjid Daerah Utara.
Ini merupakan satu pengalaman yang sangat baharu selepas pelantikannya sebagai pengerusi hanya sebulan sebelum acara RYC.
Di sebalik setiap cabaran yang dihadapi, beliau tetap gagahi tanggungjawab itu untuk meraih pengalaman yang membuka mata, sekali gus ingin membawa manfaat kepada golongan belia lebih muda.
Mengimbau kembali pengalaman itu, Encik Izzat berkongsi bahawa peranannya lebih tertumpu sebagai pembimbing dan penyelaras bagi golongan belia agar mereka dapat meraih manfaat sepenuhnya sepanjang program tersebut.
“Ini merupakan satu pengalaman yang baharu dalam memimpin peserta belia daripada pelbagai latar belakang.
“Sebagai pemimpin belia yang muda, saya mungkin tidak dapat ‘berdakwah’ kepada mereka secara langsung. Saya lebih berperanan menjadi persis seorang ‘abang’ kepada para belia ini.
“Maka, tugas saya selain daripada mendengar luahan hati dan pengalaman mereka, saya juga ibarat jambatan buat para belia ini agar selesa pergi ke masjid dan berjumpa dengan asatizah bagi meraih manfaat sebaiknya,” jelas beliau.
Pendekatan yang Encik Izzat ambil itu merupakan cerminan iltizam dan strategi beliau sebagai seorang pemimpin belia sejak dilantik sebagai pengerusi kumpulan belia Masjid Yusof Ishak.
Beliau suka memberi tumpuan pada pembinaan hubungan yang erat bersama belia lain demi membuat mereka rasa terpaut pada masjid.
“Apabila berinteraksi bersama belia, kita harus mencari jalan untuk menambat hati mereka.
“Maka, kita harus memikirkan program yang seronok buat mereka.
“Contohnya, anjurkan program bermain permainan video bola sepak Fifa bersama-sama, sesuatu yang dapat menarik perhatian ramai belia.
“Namun, yang paling penting, kita harus membina hubungan baik terlebih dahulu. Dari situ, barulah ada keserasian dan kemesraan,” jelas anak kedua empat beradik itu.
Perjalanan beliau sebagai seorang pemimpin belia di Masjid Yusof Ishak bermula hanya sebagai pengunjung masjid ketika berusia 16 tahun.
Pada waktu itu, beliau kerap ke masjid tersebut untuk menggunakan ruang yang disediakan oleh pihak masjid bagi mengulang kaji pelajarannya.
Di situ, beliau disapa oleh seorang teman yang mengajaknya agar menyertai kumpulan belia Masjid Yusof Ishak.
Bertitik daripada peristiwa itu, beliau tampil menjadi sukarelawan di masjid tersebut – melakukan tugas seperti menggulung tikar dan membawa tabung derma sewaktu solat Jumaat.
Kini, sebagai pengerusi kumpulan belia Masjid Yusof Ishak, beliau berhasrat menjadikan ruang belia terbuka kepada lebih ramai golongan muda di luar sana.
“Saya menetapkan visi untuk membuka lingkungan kumpulan belia ini kepada ramai lagi belia di luar agar kita dapat membina hubungan baik sebagai kawan dan melakukan kebaikan bersama-sama,” jelas beliau.


