SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Jururawat manfaat masjid sebagai ruang perkasa diri, beri semangat kepada belia wanita

Jururawat manfaat masjid sebagai ruang perkasa diri, beri semangat kepada belia wanita

Usaha perkenal program ‘Girls Talk’ dan ‘Girls Qiyam’ untuk bangun ruang selamat berbincang, kongsi pengalaman
Apr 1, 2026 | 4:56 PM

Jururawat manfaat masjid sebagai ruang perkasa diri, beri semangat kepada belia wanita

Masjid Darul Ghufran, ketua program sayap belia
Cik Nur Sarah Hamballi, mula berkecimpung dengan kerja sukarela di Masjid Darul Ghufran pada 2022 sewaktu berumur 19 tahun, sebelum menyandang jawatan sebagai Ketua Program bagi kumpulan sayap belia masjid tersebut pada 2023. - Foto ihsan NUR SARAH HAMBALLI

Hasrat hati Cik Nur Sarah Hamballi, ketika mula berkecimpung dalam kegiatan Masjid Darul Ghufran adalah bagi mempertingkat keyakinan dan memperbaiki dirinya.

Beliau yang berusia 23 tahun itu kini lebih rancak bergiat dalam kegiatan masjid sambil memimpin kegiatan belia di masjid yang terletak di 503 Tampines Avenue 5 itu.

Cik Nur Sarah bahkan sudah mula menjinakkan diri dengan melakukan kerja sukarela di Masjid Darul Ghufran seawal 2022 – sewaktu berusia 19 tahun.

Kini, beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Program bagi kumpulan sayap belia Masjid Darul Ghufran sejak 2023.

Malah, pada Ramadan 2026, beliau turut terlibat sebagai ahli Jawatankuasa Perancangan untuk program Ramadan Youth Challenge (RYC) atau Cabaran Belia Ramadan bagi Masjid Daerah Timur.

RYC melibatkan kem dua hari satu malam yang diadakan secara tahunan pada Ramadan dan telah dijalankan selama lebih 15 tahun.

Kem itu menghimpunkan belia berusia antara 13 dengan 17 tahun dan bertujuan mengukuhkan hubungan mereka bersama masyarakat dan agama melalui kegiatan bermakna di sekitar beberapa masjid di Singapura.

Sepanjang empat tahun Cik Sarah berkhidmat di Masjid Darul Ghufran, beliau menyedari terdapat lebih banyak program di masjid yang dikhususkan buat belia lelaki.

“Saya perhatikan di masjid banyak program yang dianjurkan khusus bagi menarik belia lelaki ke masjid.

“Antaranya adalah aktiviti bermain permainan video, peluang terlibat dalam kerja sukarela seperti pada solat Jumaat dan qiamullail juga lebih banyak dilakukan oleh belia lelaki.

“Justeru, saya nampak semacam ada jurang dalam program dan peranan khusus di masjid untuk golongan belia wanita.

“Jika ada program wanita sekalipun, ia lebih tertumpu buat golongan yang lebih berusia.”

Melihat keadaan sedemikian, Cik Sarah sebagai Ketua Program bagi kumpulan sayap belia Masjid Darul Ghufran, mula mengusul dan menganjurkan program yang lebih tertumpu kepada belia wanita.

Antara inisiatif yang telah beliau usahakan adalah program, Girls Talk dan Girls Qiyam, yang bertujuan membentuk lingkungan sihat lagi selamat bagi sesama wanita.

“Acara Girls Talk yang diadakan pada 2024 dan Girls Qiyam pada 2025 ini bertujuan mengumpul belia wanita dalam sebuah ruang yang selamat untuk saling berinteraksi dan berkongsi pengalaman.

“Sering kali golongan belia wanita ini berhasrat menemui dan berinteraksi dengan kawan-kawan Muslimah yang baik.

“Jadi, saya ingin ciptakan peluang itu melalui program-program sebegini di dalam masjid,” jelas anak sulung tiga beradik itu.

Menyingkap semula bagaimana tercetus dan terlaksana program, Girls Talk, Cik Sarah mendapati ada kelompok belia wanita yang mula memakai tudung dan memerlukan sokongan.

Program ‘Girls Talk’ kendalian Cik Nur Sarah Hamballi (kanan), tercetus hasil pemerhatiannya tentang kelompok beliawanis yang mula memakai tudung dan memerlukan sokongan. Selain perkongsian oleh Ustazah Nur Hidayah Azman (kiri), acara itu turut diisi dengan segmen penukaran tudung terpakai yang dibawa peserta dan surat yang ditulis dengan kata-kata perangsang untuk dikongsi sesama mereka.
Program ‘Girls Talk’ kendalian Cik Nur Sarah Hamballi (kanan), tercetus hasil pemerhatiannya tentang kelompok beliawanis yang mula memakai tudung dan memerlukan sokongan. Selain perkongsian oleh Ustazah Nur Hidayah Azman (kiri), acara itu turut diisi dengan segmen penukaran tudung terpakai yang dibawa peserta dan surat yang ditulis dengan kata-kata perangsang untuk dikongsi sesama mereka. - Foto ihsan NUR SARAH HAMBALLI

Menurutnya, program yang beliau jayakan itu telah diisi dengan perkongsian oleh Ustazah Nur Hidayah Azman, seorang asatizah tempatan.

Selain itu, terdapat juga segmen penukaran tudung terpakai yang dibawa peserta serta surat yang ditulis dengan kata-kata perangsang untuk disebarkan sesama mereka.

“Pada akhir program, setiap peserta membawa pulang tudung yang ditukar sesama mereka. Ini sedikit sebanyak dapat memberi mereka semangat dalam terus memperbaiki diri mereka sebagai Muslimah.

“Justeru, saya terima maklum balas daripada para peserta bahawa program ini turut membangkitkan jiwa mereka dalam menjadi Muslimah yang lebih baik dan saling menyokong,” tambah beliau yang bekerja sebagai jururawat sepenuh masa.

Beliau yang awalnya berniat memperkasa diri sendiri melalui penglibatan di masjid kini menemui matlamat yang lebih besar untuk berbakti kepada masyarakat melalui kegiatan belia yang diusahakan.

Malah, Cik Sarah mahu belia lain meraih manfaat serupa seperti yang telah beliau perolehi sepanjang penglibatannya di masjid.

Walaupun kini sibuk mengimbangi kerjayanya sebagai jururawat dan nyala rasanya terhadap kerja sukarela, beliau tetap komited mahu kekal aktif di masjid dan memainkan peranan dengan menyumbang semula kepada masyarakat yang lebih luas.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg