Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerjaan meningkat namun majikan kurang rancangan ambil pekerja
Pekerjaan meningkat namun majikan kurang rancangan ambil pekerja
Syarikat kekal berhati-hati ambil ambil pekerja di tengah-tengah ketegangan politik sejagat
Pekerjaan meningkat namun majikan kurang rancangan ambil pekerja
Pasaran pekerja Singapura terus berkembang pada suku pertama 2026, namun tanda kebimbangan mula muncul apabila majikan mengurangkan rancangan pengambilan pekerja.
Kadar pengangguran kekal rendah dan mantap. Kadar keseluruhan meningkat sedikit kepada 2.1 peratus pada Mac lalu, daripada 2 peratus pada Disember 2025.
Dalam kalangan rakyat Singapura, kadar tersebut ialah 3.1 peratus, meningkat daripada 3 peratus pada suku sebelumnya.
Perangkaan awal ini dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 April.
Jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 5,000 pada suku pertama 2026, meneruskan kenaikan 18 suku berturut-turut pertumbuhan pekerjaan.
Ini lebih tinggi daripada 2,300 pekerjaan pada suku pertama 2025, namun jauh lebih rendah berbanding 17,700 pada suku terakhir 2025.
Penyusutan ini sebahagian besarnya disebabkan faktor musiman dan asas yang tinggi, bukan kerana kelemahan menyeluruh dalam permintaan pekerja, menurut MOM.
Ahli ekonomi kanan portal pekerjaan Indeed, Encik Callam Pickering, berkata pertambahan 5,000 orang adalah pada “paras rendah”, walaupun mengambil kira faktor musiman, berkemungkinan menandakan perubahan selepas beberapa suku pertumbuhan kukuh.
“Pertambahan sedikit lebih kukuh berbanding tempoh sama tahun lalu (2025), tetapi itu tidak bermakna trend ini akan berterusan dalam sekitaran politik sejagat semasa,” katanya.
Beliau menambah, ketidaktentuan menyukarkan perniagaan merancang keperluan tenaga kerja.
MOM menyatakan pertumbuhan pekerjaan dalam kalangan warga dan penduduk tetap Singapura (PR) tertumpu dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan.
Manakala pertumbuhan pekerjaan dalam kalangan bukan penduduk masih didorong sektor pembinaan, namun lebih perlahan berbanding suku sebelumnya.
Seramai 3,700 pekerja diberhentikan pada suku pertama 2026, meningkat berbanding 3,590 dalam suku pertama 2025 dan 3,690 pada suku terakhir 2025.
Bagi setiap 1,000 pekerja, 1.5 orang diberhentikan antara Januari hingga Mac, sama seperti suku sebelumnya.
MOM menyatakan syarikat akan kekal berhati-hati dalam rancangan pengambilan pekerja dan gaji di tengah-tengah ketegangan politik sejagat, berdasarkan tinjauan Februari dan Mac.
Peratusan syarikat yang merancang mengambil pekerja dalam tiga bulan akan datang merosot daripada 54.6 peratus pada Februari kepada 44.6 peratus pada Mac.
Bahagian firma yang merancang menaikkan gaji juga menurun daripada 39.3 peratus kepada 25.4 peratus dalam tempoh sama.
MOM menyatakan trend pengambilan pekerja masih belum pulih ke paras Februari iaitu sebelum konflik Timur Tengah tercetus, walaupun terdapat tanda awal pemulihan pada April.
“Ini menunjukkan kadar pengambilan pekerja lebih sederhana dan sikap berhati-hati oleh syarikat, yang mungkin lemah jika keadaan luar merosot,” ujar MOM.
Perangkaan berasingan daripada Jobstreet oleh SEEK menunjukkan iklan pekerjaan meningkat 1.9 peratus suku ke suku, tetapi masih lebih rendah berbanding setahun lalu, manakala permohonan meningkat 14.8 peratus.
Ini mungkin menandakan pasaran lebih daya saing atau lebih ramai sedang menguji peluang pekerjaan di platform tersebut, menurut jurucakap Jobstreet oleh SEEK.
Di Indeed, iklan pekerjaan turun 2.8 peratus pada Mac berbanding Disember 2025, meneruskan trend kemerosotan tiga bulan.
Encik Pickering berkata Singapura masih menjana cukup pekerjaan untuk mengekalkan kadar pengangguran rendah.
“Namun, jika iklan terus menurun seperti yang kami jangkakan, keadaan ini mungkin berubah,” katanya.
Data rasmi MOM yang diterbitkan pada Mac menunjukkan kekosongan jawatan masih melebihi jumlah pencari kerja.
