SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

1 dalam 5 pekerja S’pura terlebih kelayakan, namun majoriti pilih terima tugasan

1 dalam 5 pekerja S’pura terlebih kelayakan, namun majoriti pilih terima tugasan

Pilihan secara sukarela disebabkan beberapa faktor termasuk waktu kerja yang mudah disesuaikan, minat peribadi
Apr 14, 2026 | 8:25 PM

1 dalam 5 pekerja S’pura terlebih kelayakan, namun majoriti pilih terima tugasan

pekerja s’pura, terlebih kelayakan, tenaga kerja Singapura, statistik MOM, pasaran kerja SG, keseimbangan kerja dan kehidupan, gaji median Singapura, graduan pengajian tinggi, kelayakan, sukarela, minat peribadi
Kebanyakan pekerja yang terlebih kelayakan memilih pekerjaan tersebut atas sebab mencari kehidupan dan kerja yang lebih seimbang dan minat peribadi. - Foto ST

Hampir satu daripada lima pekerja di Singapura mempunyai kelayakan yang melebihi keperluan pekerjaan mereka, namun kebanyakan memilih peranan tersebut secara sukarela, menurut satu kajian baru oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Kajian yang diterbitkan pada 14 April itu mendapati 19.4 peratus pekerja yang merupakan penduduk Singapura memiliki kelayakan lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh pekerjaan mereka pada 2025 – meningkat daripada 16.3 peratus pada 2015.

Daripada pekerja terlebih kelayakan ini, kira-kira sembilan daripada 10 ( atau 17.7 peratus tenaga kerja penduduk) membuat pilihan tersebut secara sukarela, didorong oleh keinginan untuk mencari kehidupan dan kerja yang lebih seimbang, waktu kerja yang mudah disesuaikan, minat peribadi atau ganjaran lebih lumayan dalam pekerjaan berkaitan jualan.

Hanya 1.7 peratus daripada tenaga kerja penduduk menginginkan pekerjaan yang lebih sepadan tetapi tidak dapat menemuinya. Perangkaan ini kekal di bawah 3 peratus sepanjang dekad lalu, menurut kajian MOM berdasarkan data tinjauan tenaga kerja dan penanda aras antarabangsa.

Satu lagi kajian oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar Inovatif, Universiti Teknologi dan Rekaan Singapura (SUTD) menunjukkan gambaran yang serupa.

Dalam tinjauan mereka melibatkan 1,100 penduduk pada Oktober 2025, sebanyak 22.5 peratus responden menyatakan mereka terlebih kelayakan untuk pekerjaan mereka.

Kebanyakan daripada mereka, iaitu 85.5 peratus, bekerja di bawah kelayakan atas pilihan sendiri dan cenderung mempunyai anak kecil atau warga emas.

Kejadian terlebih kelayakan secara umumnya lebih lazim dalam ekonomi berpendapatan tinggi, di mana sebahagian besar tenaga kerja berpendidikan tinggi.

Di Singapura, 64 peratus pekerja penduduk mempunyai lulusan pengajian tinggi pada 2025, jauh melebihi purata 41.2 peratus di negara berpendapatan tinggi.

Walaupun demikian, kadar terlebih kelayakan Singapura sebanyak 19.4 peratus masih rendah daripada purata negara berpendapatan tinggi iaitu 21.6 peratus.

“Ini mencerminkan usaha berterusan Singapura dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk menyokong tenaga kerja yang semakin berpendidikan, dengan peningkatan terlebih kelayakan yang kekal sederhana dan sejajar dengan corak antarabangsa,” kata MOM dan NTUC dalam kenyataan media bersama pada 14 April.

Data tersebut juga mencadangkan peningkatan kadar terlebih kelayakan di Singapura bukan disebabkan oleh kekurangan pekerjaan yang sesuai.

Bahagian pekerjaan yang memerlukan pendidikan tinggi (64.2 peratus) hampir sepadan dengan peratusan pekerja berpendidikan tinggi di sini. Graduan yang mempunyai lulusan pengajian tinggi juga terus menikmati pertumbuhan gaji, dengan gaji bulanan median meningkat daripada $5,800 kepada $7,605 sepanjang dekad lalu.

“Ini menunjukkan pasaran pekerja setakat ini mampu menyerap kumpulan lulusan institut pengajian tinggi yang semakin meningkat, dengan hasil pekerjaan yang kekal memberangsangkan,” kata MOM.

Kajian MOM mendapati lebih ramai pekerja muda berumur 34 tahun ke bawah bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. Namun, mereka akhirnya beralih ke pekerjaan lebih sepadan apabila pengalaman mereka meningkat.

Menurut MOM, isu terlebih kelayakan boleh ditangani dengan menggalakkan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran, bukan kelayakan, dalam kalangan majikan.

Kementerian itu menambah majikan juga boleh melabur dalam pekerjaan bermutu bagi mengurangkan terlebih kelayakan dan memastikan peranan yang lebih sepadan dengan kemahiran dan hasrat pekerja

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg