Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja S’pura antara terawal dibuang Meta libatkan 8,000 jawatan sejagat
Pekerja S’pura antara terawal dibuang Meta libatkan 8,000 jawatan sejagat
Syarikat ambil langkah penyusunan semula bagi tingkat kecekapan, labur besar-besaran dalam AI
Pekerja S’pura antara terawal dibuang Meta libatkan 8,000 jawatan sejagat
SAN FRANCISCO: Meta Platforms sedang memaklumkan ribuan pekerja bahawa mereka akan diberhentikan sebagai sebahagian langkah penyusunan semula yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos sambil melabur besar-besaran dalam kecerdasan buatan (AI).
Syarikat itu mula memberitahu pekerja di seluruh dunia pada 20 Mei, bermula dengan pekerja di Singapura yang merupakan hab Asia syarikat itu. Para pekerja tersebut menerima notis pada 4 pagi waktu tempatan.
Kakitangan yang berpangkalan di Eropah dan Amerika Syarikat dijangka menerima makluman tersebut pada awal zon masa di tempat masing-masing, menurut memo dalaman.
Kakitangan digalakkan bekerja dari rumah semasa syarikat itu memotong kira-kira 8,000 jawatan di peringkat sejagat.
Pusingan pemotongan terbaharu itu dijangka memberi kesan, terutamanya kepada pasukan kejuruteraan dan produk Meta, dengan kemungkinan pembuangan kerja tambahan berlaku kemudian, pada lewat 2026, menurut orang-orang yang mengetahui rancangan syarikat itu.
Pada18 Mei, Meta memberitahu kakitangannya bahawa sekitar 7,000 pekerja turut dipindahkan ke pasukan-pasukan baharu yang memberi tumpuan kepada inisiatif AI, termasuk produk dan ejen.
Syarikat itu, yang telah melabur lebih AS$100 bilion ($128.1 bilion) bagi perbelanjaan modal AI pada 2026, mempunyai hampir 80,000 pekerja pada akhir Mac, sebelum pemindahan tugas dan pembuangan kerja tersebut.
“Kita kini berada di peringkat di mana banyak pertubuhan boleh beroperasi dengan struktur yang lebih rata, dengan pasukan lebih kecil yang boleh bergerak lebih cepat,” kata Ketua Sumber Manusia Meta, Cik Janelle Gale.
“Kami percaya ini akan menjadikan kita lebih berdaya penghasilan dan menjadikan kerja lebih memuaskan,” katanya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Encik Mark Zuckerberg, telah menjadikan AI sebagai keutamaan syarikat itu, menumpukan semua sumber agar bersaing dengan pesaing seperti Google milik Alphabet serta OpenAI. Ini telah membawa kepada perubahan dalam tenaga kerja Meta dan cara ia beroperasi.
Syarikat itu telah melalui beberapa gelombang pembuangan kerja dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketika Encik Zuckerberg mendesak peningkatan kecekapan.
Beliau telah menggalakkan jurutera menggunakan ejen AI bagi membantu dengan tugas pengekodan dan tugas lain.
Beliau turut menggariskan rancangan memantau peranti pekerja bagi meningkatkan teknologinya, serta meluangkan masa mengekod alat pembantu berkuasa AI miliknya sendiri bagi mengendalikan sebahagian tugas pengurusannya, seperti mendapatkan maklum balas kakitangan.
Perubahan tersebut telah membuat pekerja Meta kecewa dan bimbang.
Lebih 1,000 orang telah menandatangani petisyen yang ditujukan kepada Encik Zuckerberg dan pemimpin syarikat itu, menuntut agar alat itu berhenti mengumpul data daripada peranti mereka dalam usaha melatih AI.
Yang lain pula telah menggunakan media sosial untuk berkongsi tentang bagaimana ancaman pembuangan pekerjaan itu telah memberi kesan kepada kerja dan semangat mereka.
Perbelanjaan agresif Meta dalam AI telah menimbulkan keprihatinan dalam kalangan pelabur yang bimbang pelaburan syarikat itu mungkin tidak akan membuahkan hasil pada akhirnya. – Agensi berita.
