Topic followed successfully
Go to BHkuPegawai imigresen M’sia bakal diberi kuasa di stesen RTS Link S’pura
Pegawai imigresen M’sia bakal diberi kuasa di stesen RTS Link S’pura
Bolehkan kededua negara jalankan operasi Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mereka di seberang Tambak
Pegawai imigresen M’sia bakal diberi kuasa di stesen RTS Link S’pura
Satu rang undang-undang baru dibentangkan di Parlimen pada 7 April bagi membolehkan pegawai imigresen Malaysia dan Singapura ditempatkan di Kawalan Sempadan Terletak Bersama di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar untuk projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link).
Langkah itu membolehkan kedua-dua negara mengendalikan operasi Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) masing-masing di seberang Tambak.
Rang undang-undang Kereta Api Merentas Sempadan (Penempatan Bersama Kawalan Sempadan) itu diperkenalkan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Di bawah rang undang-undang itu, ia menggariskan kuasa yang akan dimiliki oleh pegawai imigresen Malaysia yang beroperasi di Singapura.
Peraturan itu bersifat timbal balik, turut terpakai kepada pegawai Singapura yang bertugas di Malaysia.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), satu Kawasan Ditetapkan (DA) di stesen Woodlands North akan diadakan sebagai zon CIQ Malaysia, dengan undang-undang sempadan negara itu akan berkuat kuasa.
Pegawai prapelepasan Malaysia boleh menjalankan pemeriksaan pelepasan sempadan serta pemeriksaan keselamatan kereta api terhadap pelawat dan barangan yang menuju ke Malaysia.
Bagaimanapun undang-undang Singapura akan tetap diguna pakai di dalam zon tersebut.
MHA menambah, hanya pegawai Malaysia yang diiktiraf secara rasmi oleh Singapura sahaja yang boleh beroperasi di zon tersebut.
Pengiktirafan itu boleh dibatalkan tanpa perlu memberikan sebarang alasan.
RTS Link, yang dijangka mula operasi akhir 2026, akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru, dengan stesen MRT Woodlands North setiap hari.
Kereta api itu mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, bergerak selaju 80 kilometer sejam.
Penumpang hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen sekali sahaja, di titik keberangkatan bagi RTS Link.
Ini dapat direalisasikan melalui penempatan bersama kemudahan CIQ kedua-dua negara di setiap stesen RTS Link.
Pegawai dari kedua-dua negara akan ditempatkan di stesen negara jiran untuk menjalankan pelepasan CIQ dan pemeriksaan keselamatan.
Pegawai Malaysia di Woodlands North berkuasa memeriksa dokumen perjalanan, menyaring pelawat, serta menolak kemasukan atau pengimportan barangan ke Malaysia.
Namun, pegawai prapelepasan Malaysia tidak dibenarkan melakukan tangkapan di Singapura.
Jika mereka menahan sesiapa atau merampas sesuatu, ia mesti diserahkan kepada pegawai Singapura secepat mungkin.
Rang undang-undang itu turut memberi perlindungan undang-undang kepada pegawai Malaysia semasa bertugas di Singapura.
Mereka akan dianggap penjawat awam di bawah undang-undang Singapura, dan sebarang kesalahan terhadap mereka akan dikendalikan sama seperti kesalahan terhadap pegawai tempatan.
Menurut MHA, aturan itu bersifat timbal balik; pegawai Singapura di stesen Bukit Chagar akan menikmati kuasa dan perlindungan serupa di bawah undang-undang Malaysia.
Malaysia sendiri telah meluluskan undang-undangnya bagi membolehkan pegawai Singapura beroperasi di sana dengan kuasa dan perlindungan yang sewajarnya.
Selain itu, rang undang-undang ini turut menggariskan tatacara menguruskan insiden.
Demi keselamatan penumpang, Singapura dan Malaysia akan menyelaraskan operasi kecemasan mengikut wilayah masing-masing; Singapura bertanggungjawab di Woodlands North, dan Malaysia di Bukit Chagar.
Bagi insiden merentas sempadan – seperti yang berlaku di dalam kereta api bergerak antara kedua-dua negara – kedua-dua pihak boleh bertindak balas.
Pegawai tindak balas insiden Singapura, termasuk Pasukan Polis Singapura (SPF) atau Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), boleh bertindak menguruskan kecemasan di dalam atau berhampiran kereta api dan landasan di Malaysia semasa kecemasan bagi menyelamatkan nyawa atau mengehadkan kerosakan.
Pegawai Malaysia juga boleh melakukan perkara yang sama di Singapura dalam keadaan serupa.
Bagaimanapun, menurut MHA, pegawai dari kedua-dua pihak tidak dibenarkan membuat tangkapan di negara luar.
Kedua-dua negara telah merangka prosedur bersama untuk situasi ini.
“Apabila digabungkan, undang-undang dan (prosedur) ini akan membolehkan tindak balas yang berkesan terhadap insiden merentas sempadan serta membantu memastikan keselamatan pelawat,” kata MHA.
Rang undang-undang itu turut merangkumi kes jenayah yang berlaku di dalam kereta api atau di atas landasan di antara kedua-dua buah negara.
Walaupun kedua-dua pihak mempunyai kuasa untuk menyiasat, negara di mana perjalanan tersebut berakhir mempunyai hak utama untuk bertindak, ujar MHA.
Namun, hak itu boleh diserahkan sekiranya negara yang satu lagi mempunyai kepentingan awam yang lebih kukuh dalam mengendalikan kes tersebut.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan agar data yang dikumpul oleh pegawai Singapura di Malaysia dikendalikan seolah-olah ia dikumpul di Singapura dan ditadbir oleh undang-undang Singapura, dengan perlindungan timbal balik bagi pegawai Malaysia di Singapura.
Ia turut mencadangkan supaya peralatan yang dikeluarkan oleh Singapura di Bukit Chagar “tidak boleh dicabuli dan dikecualikan daripada penyitaan, perampasan, atau sebarang bentuk campur tangan lain oleh pihak Malaysia”, kata MHA.

