Topic followed successfully
Go to BHkuKerja binaan RTS Link masuki fasa terakhir sebelum operasi sepenuhnya pada awal 2027
Kerja binaan RTS Link masuki fasa terakhir sebelum operasi sepenuhnya pada awal 2027
Peringkat Kesediaan Lapangan Terakhir (FFR) dijangka seawal Sep; projek beralih daripada pembinaan fizikal kepada pemasangan sistem, integrasi
Kerja binaan RTS Link masuki fasa terakhir sebelum operasi sepenuhnya pada awal 2027
Projek Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) kini memasuki tahap paling kritikal apabila peringkat Kesediaan Lapangan Terakhir (FFR) dijangka bermula seawal September 2026, sebagai persediaan akhir sebelum operasi penuh.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata peringkat tersebut merangkumi ujian penerimaan, integrasi sistem serta ujian dinamik yang akan menentukan kesiapsiagaan keseluruhan projek.
“Berdasarkan kemajuan semasa, kita menjangkakan FFR boleh dimulakan seawal September ini sebelum memasuki peringkat percubaan operasi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek berkenaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, Johor Bahru, pada 3 April.
Menurut beliau, selepas FFR selesai, projek itu akan melalui peringkat percubaan operasi sebelum dibuka kepada orang ramai menjelang Januari 2027.
RTS Link yang berjarak kira-kira 4 kilometer menyediakan khidmat ulang-alik kereta api dengan dua stesen, satu di Bukit Chagar, Johor Bahru, dan satu di Woodlands, Singapura.
“Kita menyasarkan projek ini dapat disiapkan menjelang penghujung tahun 2026 dan seterusnya mula beroperasi pada awal 2027,” katanya.
Encik Loke berkata secara keseluruhan projek ini telah menunjukkan kemajuan yang kukuh dan konsisten sejak lawatan beliau sebelum ini pada November 2025.
Beliau berkata projek tersebut kini tidak lagi tertumpu kepada kerja pembinaan utama, sebaliknya telah beralih ke peringkat akhir penyempurnaan dan pemasangan sistem.
“Apa yang kita lihat hari ini ialah projek ini telah beralih daripada pembinaan fizikal kepada pemasangan sistem serta integrasi yang lebih kompleks.
“Bangunan ICQ kini hampir siap sepenuhnya dengan pemasangan e-gate telah disiapkan, manakala peralatan saringan badan dan pengimbas bagasi sedang dipasang lebih awal daripada jadual asal,” katanya.
Menurut beliau, apabila siap kelak, dewan imigresen akan dilengkapi dengan 10 lorong saringan keselamatan, 18 unit pengimbas bagasi serta 100 laluan e-gate termasuk laluan khas tanpa bagasi.
“Semua kemudahan ini penting bagi memastikan aliran penumpang berjalan lancar serta mengurangkan kesesakan sejak hari pertama operasi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ruang pejabat bagi agensi berkaitan seperti imigresen, kastam dan agensi keselamatan lain juga telah siap dan dilengkapi kemudahan asas.
“Malah, terdapat pegawai dan anggota yang telah memohon untuk memasuki pejabat bagi membuat persiapan awal menjelang operasi nanti,” katanya.
Dalam aspek kesalinghubungan, beliau berkata pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memastikan aliran trafik di sekitar stesen berjalan lancar.
“Beberapa laluan akses baru sedang disiapkan dan akan disambungkan sepenuhnya menjelang Mei ini bagi memastikan penyuraian trafik yang lebih baik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata beberapa lokasi turun penumpang turut dirancang bagi memudahkan pergerakan pengguna.
Encik Loke berkata kerja pembinaan fizikal di stesen RTS Bukit Chagar juga hampir selesai sepenuhnya, termasuk pemasangan pintu skrin platform dan struktur utama.
“Di aras platform, pintu skrin telah siap dipasang, manakala kerja yang berbaki kini tertumpu kepada pemasangan sistem komunikasi dan paparan maklumat penumpang,” katanya.

