Bagi seorang wanita Palestin, perubahan yang terpaksa dihadapinya sejak 2023 bagi memenuhi tuntutan keluarga dan kerjaya amat besar.
Beliau tidak menganggap perubahan itu satu cabaran, malah peluang yang membuka jalan untuk beliau memperkasa wanita lain di sekelilingnya, kata Cik Laila Sbaih, Ketua Pengarah, Bahagian Hubungan Antarabangsa di bawah Penguasa Palestin (PA).
Di sebalik jawatan hariannya, Cik Laila, 51 tahun, masih tetap kembali ke ‘akarnya’, iaitu sebagai petani dan juga usahawan.
Setiap hujung minggu, beliau pulang ke Tubas, Tebing Barat, untuk menguruskan ladangnya.
Beliau menanam zaitun, anggur serta pelbagai buah dan sayur-sayuran lain yang kemudian dituai dan dijual.
Daripada hasil itu, lahirlah usaha kecil pemprosesan makanan tradisional Palestin, yang digerakkan bersama beberapa wanita di kawasannya – janda, ibu tunggal dan suri rumah yang berhadapan cabaran keluarga.
Seiring komitmennya terhadap masyarakat, beliau sanggup menyesuaikan jadual kerja bagi memberi peluang kepada golongan wanita tersebut, melatih mereka secara peribadi, menghantar mereka ke tempat kerja dan membayar upah yang adil.
Usaha itu bukan sahaja menyokong ladangnya, malah memberi peluang kepada wanita di Tebing Barat untuk memperkasakan diri dan membina kehidupan yang lebih berdikari.
Cik Laila ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini ketika berada di Singapura bagi menyertai Program Fellowship Kanan dalam Perkhidmatan Awam Lee Kuan Yew (SFPS) dari 13 Oktober hingga 14 November.
Program lima minggu itu, yang disifatkannya sebagai ‘transformatif,’ mempertemukannya dengan pegawai kanan dari pelbagai negara untuk bertukar pandangan mengenai kepimpinan dan tadbir urus.
Menurutnya, penyertaannya dalam program itu dipermudahkan dengan sokongan padu anak serta suaminya, yang merupakan Ketua Pengarah Teknologi di Kementerian Pekerja Palestin.
Menurut Cik Laila, meskipun tidak dapat melaksanakan prinsip tadbir urus dan perkhidmatan awam yang diperoleh daripada profesor dan pemimpin terbaik di Singapura, beliau kini menganggap dirinya lebih bersedia apabila tiba masa untuk menerapkan prinsip yang telah dipelajarinya.
Apabila ditanya bagaimana program itu dapat memberi kesan kepada dirinya secara peribadi, Cik Laila berkata:
“Program ini memberi saya ruang untuk berehat seketika daripada kesibukan kerja dan kehidupan.
“Ia membuka minda saya kepada pengalaman baru dan saya belajar menerima cabaran dan lebih menghargai kepelbagaian budaya.
“Program ini juga mengajar saya tentang ketahanan diri, bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada kejayaan.”
Namun, di sebalik tanggungjawabnya yang pelbagai, Cik Laila tetap tidak terlepas daripada cabaran besar yang melanda Tebing Barat sejak 7 Oktober 2023.
Ini termasuk penutupan dan sekatan jalan raya yang diadakan setiap hari, yang membuatkan perjalanan harian dari rumahnya di Tubas, ke tempat kerja di Ramallah, hampir mustahil.
Malah, perjalanan yang biasanya mengambil masa dua jam, boleh bertambah menjadi empat hingga lima jam, kata beliau.
Justeru, ibu empat anak berusia antara 23 dengan 13 tahun itu kini terpaksa menyesuaikan diri, termasuk berpindah tempat tinggal dan sekolah anaknya ke Ramallah dan hanya kembali ke Tubas pada hujung minggu.
Namun, Cik Laila sanggup berkorban segalanya demi keluarga, kerjaya dan perniagaannya.
Kisah perjuangan beliau hanya satu daripada banyak lagi pengalaman wanita yang cuba mengimbangi kerjaya dan keluarga di Tebing Barat, kata Cik Laila.
“Semasa mengandung, saya meneruskan pengajian sarjana, mengurus keluarga dan tetap menunaikan tanggungjawab kerja,” kongsinya, yang telah berkhidmat selama 28 tahun di PA.
“Keibuan adalah perjalanan penuh cabaran, namun ia membuatkan saya lebih sedar akan kekuatan diri.
“Bukan hanya saya seorang, malah semua golongan ibu di Palestin kuat kerana mereka tiada pilihan selain bertahan,” tambahnya.
Menurut Cik Laila, matlamat hidupnya mudah – menjadi insan yang baik, mendidik anaknya dengan nilai yang sama dan terus berusaha memberi inspirasi kepada orang lain.
“Saya mencintai kehidupan di Palestin dan berhasrat mencapai kehidupan yang baik dan bermakna.
“Saya juga berharap dapat memberi pengaruh dan inspirasi kepada orang lain, bersuara apabila perlu, dengan keyakinan bahawa Allah swt melihat setiap usaha saya,” katanya.
“
“Semasa mengandung, saya meneruskan pengajian sarjana, mengurus keluarga dan tetap menunaikan tanggungjawab kerja. Keibuan adalah perjalanan penuh cabaran, namun ia membuatkan saya lebih sedar akan kekuatan diri. Bukan hanya saya seorang, malah semua golongan ibu di Palestin kuat kerana mereka tiada pilihan selain bertahan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg