Meninggalkan keluarga demi memburu ilmu semestinya bukan satu langkah mudah.
Apatah lagi meninggalkan dua anak kecil dan sang isteri untuk hidup berdikari di negara seperti Palestin.
Demikian perjuangan seorang bapa yang ingin mempertingkatkan diri demi kebaikan keluarga, masyarakat dan negara.
Di bawah program biasiswa possiswazah Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura, Encik Samih Qabaha, 33 tahun, kini diberi peluang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Keselamatan Infokom di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Program selama setahun setengah itu bermula pada 1 Ogos 2025 dan dijangka tamat pada penghujung 2026.
Menurut Pemangku Pengurus bahagian Perkhidmatan Telekomunikasi, Kementerian Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin itu, berjauhan dengan keluarga hanya memberinya semangat untuk melakukan terbaik.
“Saya amat menghargai sokongan isteri. Meskipun beliau bertugas sepenuh masa sebagai akauntan, beliau tetap menjaga dan mengurus keluarga sepenuhnya,” kongsi bapa dua anak berusia tujuh dan empat tahun itu ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 12 November.
Ketiadaan Encik Samih jelas memberi kesan kepada anaknya.
Anak perempuannya, Sara Samih, enggan ke prasekolah pada dua bulan pertama beliau di Singapura.
Encik Samih terpaksa memujuk anaknya berusia empat tahun itu melalui panggilan video dan menjanjikan hadiah dan mainan untuk menggalakkannya ke prasekolah.
Menurutnya, meski keadaan di Palestin rumit dan mencabar, beliau yakin isteri dan anaknya yang berada di Jenin, Tebing Barat, mempunyai sokongan kuat kerana kedua-dua keluarganya dan keluarga isterinya berada di sana.
Sebagai seorang ayah, beliau memastikan dirinya menghubungi keluarga setiap hari melalui panggilan video, walaupun hanya untuk beberapa minit.
Perbualan ringkas itu bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah turut menjadi sumber semangat.
Justeru, kehidupan di tanah airnya yang penuh cabaran membentuknya menjadi seorang yang tabah, berdedikasi dan bertekad untuk terus berjuang demi keluarga dan masyarakat.
“Saya dibesarkan dalam budaya yang mengajar kami mencintai masyarakat dan negara.
“Kehidupan kami (rakyat Palestin) sentiasa penuh dengan pengorbanan.
“Meski ramai menghadapi kesukaran untuk terus hidup, kami tetap berjuang memperbaiki kehidupan dan memberi manfaat kepada yang lain,” kongsi Encik Samih.
Ditanya mengenai Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) dan bantuan kemanusiaan Singapura kepada rakyat Palestin, Encik Samih berkata:
“Bagi saya, ini bukan hanya sokongan teknikal atau kemanusiaan semata, ia merupakan perpaduan dengan rakyat Palestin. Saya amat menghargainya.
“Program biasiswa ini membolehkan saya melanjutkan pengajian sarjana, menambah kemahiran dan pengetahuan, memberi manfaat peribadi dan profesional, dan dalam jangka panjang, memberi manfaat kepada masyarakat di Palestin.”
“
“Saya dibesarkan dalam budaya yang mengajar kami mencintai masyarakat dan negara. Kehidupan kami (rakyat Palestin) sentiasa penuh dengan pengorbanan. Meski ramai menghadapi kesukaran untuk terus hidup, kami tetap berjuang memperbaiki kehidupan dan memberi manfaat kepada yang lain.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg