Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Pelantikan agensi jadikan proses urus kes lindung kanak-kanak lebih tersusun
Pakar: Pelantikan agensi jadikan proses urus kes lindung kanak-kanak lebih tersusun
Pakar: Pelantikan agensi jadikan proses urus kes lindung kanak-kanak lebih tersusun
Rasa tanggungjawab bagi kes perlindungan kanak-kanak akan menjadi lebih jelas dengan pelantikan agensi khusus oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Pelantikan agensi bertauliah yang dikenali sebagai agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) mulai 1 Mei akan memastikan pengurusan kes sedemikian lebih teratur dengan adanya laluan rujukan lebih jelas.
Dengan pelantikan tersebut, agensi akan dapat melengkapkan peranan satu sama lain dengan lebih berkesan, ujar pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).
Pada masa yang sama, penetapan agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) menimbulkan kemungkinan bertambahnya jumlah kes yang dikendalikan agensi sedemikian atau penerimaan kes dengan keperluan lebih rumit.
Oleh itu, adalah penting bagi agensi melengkapkan keupayaan kakitangan dan sistem mereka untuk memastikan kes yang diterima dapat dikendalikan dengan baik.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Ketua, Pusat Khidmat Keluarga bahagian Barat PPIS, Cik Nooraini Mohd Razak, berkata penetapan agensi terpilih sebagai agensi CPCM mengukuhkan sektor perlindungan kanak-kanak dengan menyediakan takrif peranan dan rasa tanggungjawab yang lebih jelas dalam menguruskan kes perlindungan kanak-kanak.
“Walaupun perlindungan kanak-kanak kekal sebagai tanggungjawab seluruh masyarakat, agensi CPCM diberi mandat yang jelas untuk menerajui pengurusan kes bagi kes yang melibatkan kebimbangan perlindungan,” katanya.
“Dengan kejelasan ini, agensi yang berbeza dapat melengkapi peranan satu sama lain dengan lebih baik.
“Rakan kongsi masyarakat boleh terus menyokong keluarga dalam bidang seperti membina hubungan, persekolahan dan pekerjaan, sementara agensi CPCM memberi tumpuan kepada memastikan keselamatan kanak-kanak.
“Ini membawa kepada sokongan lebih terselaras, tepat pada masanya dan berkesan bagi kanak-kanak dan keluarga,” tambah beliau.
Timbalan Pengarah Khidmat Keluarga dan Masyarakat, Care Corner Singapore, Encik Martin Chok, pula berkata penetapan agensi CPCM “mengukuhkan penyelarasan dengan ketara kerana ia menjelaskan peranan, rasa tanggungjawab dan saluran komunikasi, merentasi ekosistem perlindungan kanak-kanak.
“Sebelum ini, pelbagai agensi mungkin terlibat dengan satu keluarga, tetapi tanggungjawab kadangkala terasa berpecah belah.
“Dengan FSC (Pusat Khidmat Keluarga) berfungsi sebagai CPCM, kini terdapat agensi utama yang dikenal pasti dengan jelas yang bertanggungjawab menyelaras pelan perlindungan kanak-kanak, semakan kes dan sebarang susulan.
“Ini membantu memastikan maklumat dikongsi dengan lebih tekal dan terdapat satu titik hubungan bagi rakan kongsi seperti Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak (CPS), sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, polis dan agensi masyarakat,” kata Encik Chok.
Berkongsi pandangan serupa, Cik Nooraini berkata sebelum adanya agensi CPCM, agensi yang terlibat dalam sesebuah kes kadangkala mempunyai penilaian profesional yang berbeza tentang tahap risiko atau di mana sesuatu kes perlu diuruskan. Ini lebih-lebih lagi bagi kes yang lebih rumit.
“Ini boleh menyebabkan sedikit kesamaran dalam pemilikan kes dan keputusan mengikut kesesuaian kes, terutamanya apabila risiko berkembang atau merentasi sempadan perkhidmatan.
“Dengan penetapan agensi CPCM berkuat kuasa 1 Mei, akan terdapat struktur lebih jelas untuk kepimpinan kes dan laluan lebih jelas untuk rujukan.
“Ini akan membantu mengurangkan ketidakpastian, mengukuhkan penyelarasan dan membolehkan pengamal bertindak balas dengan lebih tegas dan secara tekal terhadap kebimbangan perlindungan kanak-kanak,” ujar Cik Nooraini.
Namun, beliau menjangkakan dengan penetapan agensi CPCM, agensi seperti PPIS mungkin perlu menanggung lebih banyak kes atau menerima kes dengan keperluan lebih rumit.
Oleh itu, persatuan tersebut sudah pun membuat persediaan dengan memperkukuh keupayaan dalamannya, terutama dalam bidang seperti penilaian risiko dan keselamatan, pengurusan kes berstruktur dan sokongan penyeliaan.
Encik Chok pula berkata sokongan yang mungkin diperlukan FSC dan pekerja kes termasuk latihan dan penyeliaan berterusan, akses kepada konsultasi pakar, termasuk nasihat undang-undang, ahli psikologi klinikal atau karyawan kesihatan mental kanak-kanak apabila diperlukan, serta sokongan kesejahteraan dan kesihatan mental bagi pekerja.
Menyentuh penubuhan Panel Penilaian Triage (TAP) pula, kededua Encik Chok dan Cik Nooraini berkata TAP berguna dalam kes lebih rumit.
“TAP menyediakan lensa pelbagai disiplin yang berstruktur untuk menilai risiko, terutamanya dalam kes yang rumit.
“Ia mengurangkan rasa keseorangan yang mungkin dirasai oleh pekerja sosial apabila membuat keputusan yang sukar secara bersendirian.
“Dengan menyatukan pengamal berpengalaman dan profesional yang berkaitan, panel ini membantu memastikan keputusan dibuat dengan bernas, seimbang dan tekal, dan bukannya terlalu bergantung pada satu perspektif sahaja,” ujar Encik Chok.
“(Sebelum ini), agensi bekerjasama untuk menyelesaikan perbezaan (dalam keputusan kes), tetapi dalam beberapa situasi yang rumit dan sulit, persetujuan mungkin tidak dicapai.
“TAP menyediakan lapisan tambahan semakan bebas dan pelbagai disiplin untuk menyokong keputusan yang adil dan tekal,” kata Cik Nooraini.
