Topik diikuti
Pergi ke BHkuHanya agensi bertauliah dibenar kendali kes perlindungan kanak-kanak mulai 1 Mei
Hanya agensi bertauliah dibenar kendali kes perlindungan kanak-kanak mulai 1 Mei
Langkah baru MSF hadkan pengurusan kes kepada agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak bagi pastikan kepakaran khusus
Hanya agensi bertauliah dibenar kendali kes perlindungan kanak-kanak mulai 1 Mei
Mulai 1 Mei, hanya agensi bertauliah dibenarkan mengendali kes perlindungan kanak-kanak, termasuk yang melibatkan penderaan kanak-kanak, di Singapura.
Kes sedemikian hanya boleh diuruskan agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM).
Agensi CPCM termasuk Pusat Khidmat Keluarga (FSC), rumah kanak-kanak, agensi pengasuhan, pusat pakar perlindungan kanak-kanak, pusat pakar perlindungan, Agensi Keluarga yang Selamat dan Kukuh, rumah belia Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Pusat Pakar Perkhidmatan Bersepadu untuk Perlindungan Individu dan Keluarga.
Langkah tersebut menyaksikan agensi yang dilantik itu memainkan peranan utama dalam hal berkaitan perlindungan kanak-kanak, di samping melaksana fungsi pengurusan kes berkaitan keselamatan golongan tersebut.
MSF berkata langkah itu bertujuan memastikan kes sedemikian terus dikendalikan golongan profesional dan agensi yang mempunyai kepakaran khusus serta sumber yang dikhaskan.
MSF akan menetapkan kecekapan dan latihan yang diperlukan oleh agensi CPCM.
Keputusan tersebut diambil berikutan perundingan dengan sektor khidmat sosial.
Selain CPCM, MSF juga menubuhkan Panel Penilaian Triaj (TAP), yang berfungsi sebagai sebuah badan bebas untuk menyemak semula keputusan klasifikasi kes (triage) sekiranya berlaku percanggahan pendapat antara agensi CPCM yang terlibat.
Perubahan itu dilaksanakan berikutan laporan panel semakan yang telah diterbitkan pada Oktober 2025 bagi memperbaiki sistem perlindungan kanak-kanak di Singapura, susulan kematian kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, akibat penderaan.
Sejak laporan itu dikeluarkan, MSF telah melaksanakan saranan yang dikemukakan secara progresif.
Menurut MSF, keseluruhan pelaksanaan bagi usulan berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026.
Dalam kenyataannya pada 30 April, MSF berkata pengurusan kes merupakan proses kerjasama yang melibatkan fungsi utama untuk memenuhi keperluan individu atau keluarga secara menyeluruh.
Dalam kes perlindungan kanak-kanak, ia selalunya merangkumi pengumpulan maklumat untuk mengesahkan kebimbangan, melaksanakan penilaian keselamatan dan risiko serta membangun pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.
Dalam pada itu, kementerian tersebut menegaskan meskipun hanya agensi CPCM dibenarkan mengendali kes perlindungan kanak-kanak, agensi bukan-CPCM masih memainkan peranan penting dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak yang lebih luas.
Agensi sedemikian patut bekerjasama rapat dengan agensi CPCM untuk menyokong keluarga dalam bidang yang meningkatkan kesejahteraan anak tersebut, misalnya dalam penjagaan kanak-kanak, kemahiran keibubapaan atau sokongan penjagaan.
Penyelarasan rapat antara kededua agensi CPCM dengan bukan-CPCM adalah penting, dengan agensi CPCM menerajui sebagai pengurus kes, kata MSF.
Berhubung TAP pula, MSF berkata ia akan dipengerusikan dua pengerusi bersama — seorang daripada Kumpulan Perkhidmatan Profesional MSF, manakala seorang lagi merupakan profesional bebas daripada sektor berkaitan.
Mereka akan dibantu oleh dua lagi ahli panel bebas.
Barisan panel TAP bagi setiap mesyuarat akan berubah-ubah mengikut kepakaran yang diperlukan bagi sesuatu kes.
Pengerusi bersama dan ahli panel terdiri daripada pengamal profesional yang bekerja dengan keluarga atau mempunyai kepakaran khusus dalam perlindungan kanak-kanak.
Mereka yang dilantik pula tidak boleh terlibat secara langsung dalam kes yang disemak oleh TAP bagi mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan keberkecualian.
Sebaik sahaja menerima rujukan kes, TAP akan memberikan keputusan mengenai klasifikasi kes (triage) dalam tempoh enam hari bekerja, jelas MSF.
Rasional di sebalik keputusan tersebut juga akan disampaikan dengan jelas kepada agensi terlibat.
Langkah itu bagi memastikan setiap kes diselesaikan dengan segera dan mengelakkan ketidakpastian berpanjangan.
Ia sekali gus mengelakkan sebarang kelewatan bagi keluarga yang terjejas untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan campur tangan yang diperlukan.
Mengulas perubahan yang dilakukan itu, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata: “MSF komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan semua kanak-kanak dan orang muda, terutama mereka yang berada dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak.
“Berikutan perundingan dengan sektor ini, MSF telah melantik agensi CPCM untuk menyediakan sokongan lebih khusus kepada keluarga dan kanak-kanak.
“Tambahan pula, apabila terdapat perbezaan dalam triaj, TAP yang baharu ditubuhkan akan membolehkan campur tangan lebih berkesan dan tegas dalam kes penderaan kanak-kanak.
“Ia memberikan keyakinan yang lebih tinggi tentang bagaimana sistem ini akan menyediakan sokongan kepada keluarga dan kanak-kanak.”
“
“Berikutan perundingan dengan sektor ini, MSF telah melantik agensi CPCM untuk menyediakan sokongan lebih khusus kepada keluarga dan kanak-kanak. Tambahan pula, apabila terdapat perbezaan dalam triaj, TAP yang baharu ditubuhkan akan membolehkan campur tangan lebih berkesan dan tegas dalam kes penderaan kanak-kanak. Ia memberikan keyakinan yang lebih tinggi tentang bagaimana sistem ini akan menyediakan sokongan kepada keluarga dan kanak-kanak.”