Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar, bekas penduduk gesa sejarah, warisan pulau barat dipelihara
Usaha dokumentasi sejarah, biodiversiti perlu dipergiat sebelum kerja pembangunan dimulakan
Pakar, bekas penduduk gesa sejarah, warisan pulau barat dipelihara
Aok diko.
Seperti yang didendangkan penggiat seni Asnida Daud dalam persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 pada Ogos lalu, masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut sememangnya merupakan sebahagian penting daripada sejarah Singapura.
Maka, frasa aok diko dalam dialek Orang Laut membawa maksud persetujuan dan pengiktirafan kepada masyarakat itu.
Baru-baru ini, sejarah dan warisan masyarakat tersebut kian mendapat perhatian apabila beberapa pulau di kawasan perairan barat Singapura telah diumumkan akan ditambak untuk menjadi satu pulau yang lebih besar.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan demikian semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 23 Ogos.
Dalam pengumuman tersebut, beberapa pulau akan ditambak termasuk Pulau Sudong, Pulau Bukom dan Pulau Semakau untuk pembangunan industri.
Walaupun masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut telah lama berpindah dari situ, pulau-pulau tersebut masih terpahat dalam kenangan bekas penduduk.
Bekas penduduk dan pakar yang diwawancara Berita Minggu menggesa agar sejarah dan warisan masyarakat terus dipelihara agar tidak tenggelam dek pembangunan.
Budaya, sejarah, warisan yang kaya
Menurut Profesor Madya Dr Hamzah Muzaini daripada Jabatan Pengajian Asia Tenggara Universiti Nasional Singapura (NUS), pulau seperti Pulau Semakau, Pulau Sudong dan Pulau Bukom kaya dengan sejarah bagi masyarakat yang pernah menetap di sana.
“Pulau-pulau tersebut masih menyimpan sejarah masyarakatnya, seperti peninggalan petempatan lama dan penemuan arkeologi di sepanjang pesisir, yang dapat membantu kita memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah maritim Singapura yang sehingga kini masih belum banyak kita ketahui,” jelas beliau.
Dengan kerja penambakan di beberapa pulau itu, Dr Hamzah berkata laluan perairan antara pulau yang juga kaya dengan sejarah akan hilang.
Berdasarkan perbualannya bersama beberapa penyelam di kawasan itu, mereka berkongsi tentang kewujudan peninggalan artifak di perairan sekitar pulau-pulau berkenaan yang dapat memberi gambaran lebih jelas serta pemahaman mengenai sejarah Singapura dan warisan masyarakat di situ.
Pengasas gerakan warisan, Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, turut meluahkan keresahan yang serupa seandainya penambakan pulau-pulau tersebut menghakis budaya dan kaitan kehidupan masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut dengan kawasan perairan.
Hal tersebut lebih-lebih lagi tatkala kawasan perairan tersebut menjadi tempat memancing ikan yang masih diamalkan oleh masyarakat hari ini.
Menyifatkan pengumuman penambakan tersebut sewaktu NDR sebagai sesuatu yang mengejutkan, Encik Firdaus, 37 tahun, berkata kepentingan persekitaran dan sosial berdiri sama penting dalam isu penambakan pulau itu.
Beliau berkongsi: “Kawasan perairan itu merupakan kawasan tangkapan ikan terakhir yang menghubungkan masyarakat pulau selatan (dengan pulau-pulau tersebut).
“Jadi masyarakat menganggap kawasan itu sebagai kawasan penting memandangkan kini mereka tidak mempunyai akses ke Pulau Semakau, Seking dan Sudong.
“Justeru, apabila lenyapnya kawasan perairan di sekitar pulau itu, maka, akan lenyaplah jua tradisi dan kegiatan menangkap ikan bagi masyarakat pulau hari ini.
“Ini merupakan budaya laut yang sungguh terpateri kuat dalam kehidupan Orang Pulau serta Orang Laut yang penting untuk dipertimbangkan.”
Alam semula jadi yang rencam
Di samping itu, Dr Hamzah turut menekankan kepentingan mengambil kira biodiversiti dalam warisan dan sejarah masyarakat pulau.
“Penting untuk kita menyedari bahawa alam semula jadi juga merupakan sebahagian daripada budaya, kerana kehidupan masyarakat pulau berkait rapat dengan persekitaran semula jadi mereka, dan terdapat banyak kisah tentang bagaimana mereka berinteraksi dengan alam sekitar yang masih belum kita fahami sepenuhnya,” jelas Dr Hamzah.
Mengulas kerja penambakan, Encik Firdaus berkata kegiatan itu dijangka memberi kesan terhadap ekologi marin di kawasan berkenaan, termasuk habitat ikan dan terumbu karang yang dianggarkan berusia sekitar 8,000 tahun.
Malah, beliau juga menjelaskan bahawa kerja pembangunan juga akan menjejaskan perairan termasuk arus laut, pasang surut laut, serta aliran air yang akan menjejaskan kehidupan laut.
“Justeru, apabila ‘terancamnya’ kawasan ini, ia bukan sahaja menjejaskan kelangsungan ekologi air.
“Malah, kami (masyarakat pulau) juga merisaukan akan hilangnya nama-nama kehidupan laut dan kegiatan memancing dalam memori masyarakat,” tambah beliau.
Iktiraf kekayaan kepulauan
Dengan kerencaman sejarah dan biodiversiti yang terdapat di kepulauan itu, beberapa penduduk dan pakar menggesa agar kekayaan khazanah tersebut dipelihara.
“Sekiranya sejarah dan warisan masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut dilupakan, jati diri, identiti dan keunikan negara kita juga akan terjejas,” kongsi Asnida, yang pernah membesar di Pulau Sudong hingga usianya 10 tahun.
Sejak persembahannya di NDP 2026, beliau mendapat respons yang memberangsangkan daripada orang ramai kerana ada yang tidak tahu tentang sejarah masyarakat tersebut yang merupakan sebahagian penting dalam sejarah Singapura.
Menurut Dr Imran Tajudeen, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu NUS, tempat bersejarah itu memainkan peranan penting sebagai wadah kenangan, dan sekiranya ciri fizikal suatu tempat itu dihapuskan, maka sejarah masyarakat dan ingatan sosial juga turut terjejas.
Beliau juga menekankan kepentingan bagi mewujudkan perancangan yang bermakna dalam mengekalkan sejarah warisan masyarakat laut dalam ingatan masyarakat.
“Reka bentuk dan perancangan ruang kota membolehkan tempat baharu memperingati sejarah lama.
“Antara strategi yang boleh diterapkan termasuk penamaan yang merujuk kepada sejarah asalnya, dan bentuk-bentuk penghormatan terhadap perintis, peneroka dan sebagainya,” jelas beliau.
Dalam berdepan dengan isu penambakan pulau tersebut, Encik Firdaus berkata dirinya serta Orang Pulau dan Laut yang lainnya seolah-olah masih belum dapat menerima hakikat isu tersebut.
Namun, melangkah ke depan, apa yang penting bagi Encik Firdaus sebagai generasi keempat Orang Laut dari Pulau Semakau, adalah untuk terus menyerlahkan kepentingan yang terkandung di sebalik kawasan berdekatan pulau-pulau itu – baik dari sudut sosial mahupun persekitaran.
Malah, menurut Encik Firdaus, pihak beliau juga sudah berbincang dengan beberapa pihak kementerian serta mencadangkan supaya ditubuhkan satu pusat pembelajaran tentang budaya laut pesisir.
“Kita telah berhubung dengan pelbagai kementerian untuk membincangkan hasrat mewujudkan sebuah pusat pembelajaran budaya laut pesisir di Taman West Coast.
“Ini adalah ruang yang mahu kita bina untuk menghargai budaya pesisir pantai di Singapura, terutama sekali bagi masyarakat laut dan pulau.
“Ini merupakan sesuatu yang telah kita cadangkan dan masih dalam perbincangan dengan pihak kementerian,” kata Encik Firdaus.
Dalam usaha memelihara warisan masyarakat, Dr Hamzah juga berkata perlu ada usaha menelusuri dan mendokumentasikan sejarah pulau, termasuk kisah dan pengalaman bekas penduduk pulau seperti asal-usul mereka, kehidupan, mata pencarian, cerita rakyat, nama tempat serta kepentingannya, dan hubungan bersama kawasan maritim yang lebih luas.
Baru-baru ini, beberapa Anggota Parlimen (AP) bertanyakan mengenai masa depan kepulauan itu semasa sidang parlimen pada 8 September.
Menjawab pertanyaan BM, Kementerian Pembangunan Negara (MND) telah merujuk kepada jawapan semasa perbincangan Parlimen itu:
“Pemerintah mengiktiraf bahawa pulau-pulau sedia ada serta perairan di sekitarnya merupakan sebahagian penting daripada biodiversiti semula jadi kita, dan mempunyai kepentingan sejarah serta budaya bagi masyarakat pulau terdahulu, termasuk masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut.”
Mengulas tentang rancangan pembangunan kepulauan itu, MND berkata kajian teknikal serta penglibatan bersama pihak berkepentingan seperti kumpulan alam sekitar, pakar, dan keturunan masyarakat pulau akan dijalankan untuk memaklumkan sebarang rancangan.
Ini akan memberi kementerian tersebut gambaran lebih jelas tentang kesesuaian dan impak pada geologi, hidrologi, serta biodiversiti di kawasan itu.

