Walaupun ketika itu baru berusia 13 tahun, hujan lebat dan deruan ombak yang kuat tidak pernah menakutkannya.

Dengan menaiki sebuah sampan, beliau bersama nenek dan pak ciknya meredah cuaca buruk menuju ke Pulau Sudong untuk menziarahi pusara keluarga.

Begitulah gambaran kali terakhir Asnida Daud, yang kini berusia 53 tahun, ketika menjejakkan kaki di pantai Pulau Sudong pada 1986.

Ketika lawatan terakhir ke pulau itu, Asnida, yang merupakan seorang penggiat seni dan pendidik, berkata pulau itu sangat berbeza daripada Pulau Sudong yang dikenalinya.

Pulau tersebut serba kosong, sunyi dan dipenuhi bakau, jauh berbeza daripada tempat yang dulu kala pernah membentuk zaman mudanya.

Namun, baginya, kekosongan itu tidak pernah menjauhkannya daripada semangat jati diri Orang Pulau dan Orang Laut.

Walaupun beliau tidak menetap di Pulau Sudong sepenuh masa, ibu bapanya berasal dari sana dan beliau menghabiskan banyak hujung minggu serta cuti sekolah di pulau tersebut untuk bersama keluarga besarnya.

Asnida Daud (depan), sekitar usia dua tahun, dan ibu, Cik Kartini Abdul Karim (belakang Asnida), di Pulau Sudong pada 1975.
Asnida Daud (depan), sekitar usia dua tahun, dan ibu, Cik Kartini Abdul Karim (belakang Asnida), di Pulau Sudong pada 1975. - Foto ihsan ASNIDA DAUD

Keluarganya telah berpindah ke tanah besar Singapura kerana ayahnya bertugas sebagai Staf Sarjan dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), selain memudahkan persekolahan Asnida dan adik-beradiknya.

Justeru, kehidupan di pulau dan perairan sekitar Pulau Sudong memang sebati dan menjadi sebahagian daripada jati dirinya.

“Semasa pengumuman penambakan tanah di kepulauan barat Singapura di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026, saya tidak dapat berhenti menangis kerana kami bakal kehilangan satu tempat yang begitu penting dalam masyarakat, budaya, dan sejarah kami,” kenang anak sulung kepada tiga beradik itu.

Walaupun masyarakat Orang Pulau dan Orang Laut tidak lagi menetap di situ, pulau-pulau serta perairan di sekitarnya kekal menjadi bukti penting kewujudan dan sejarah masyarakat tersebut.

Menurut Asnida, ini penting dalam memastikan identiti dan jati diri kededua masyarakat Orang Pulau dan masyarakat besar Singapura kekal kuat dan terbentuk oleh sejarah dan budaya yang rencam.

Kini, beliau memilih untuk mengikuti amalan arwah ayahnya dalam menjejak salasilah keluarga.

Asnida Daud (kiri) kini membawa keluarganya untuk mencari saudaranya demi mengeratkan pertalian keluarga.
Asnida Daud (kiri) kini membawa keluarganya untuk mencari saudaranya demi mengeratkan pertalian keluarga. - Foto ihsan ASNIDA DAUD

Bak pepatah, ‘air dicencang tidak akan putus’, begitu juga ikatan kekeluargaan yang terus dipelihara Asnida, meskipun sanak saudara mereka kini tinggal berjauhan di pulau yang lain.

“Sejak kecil, ayah saya membawa keluarga kami untuk ‘cari keluarga’ di mana kami cuba menjejak mereka yang menetap di pulau lain untuk mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan identiti kami,” kongsi Asnida.

Dalam proses itu, keluarga mereka menjelajah hingga ke Kepulauan Riau di Indonesia seperti Pulau Seraya, Pulau Belakangpadang, dan Pulau Lengkang.

Berbekalkan semangat arwah ayahnya, beliau kini juga akan membawa empat anaknya untuk memperkenalkan mereka kepada kehidupan di pulau dan perairan.

Asnida Daud (depan), bersama ibu, Cik Kartini Abdul Karim; adik, Encik Muhammad Yusoff Daud; dan ayah, Encik Daud Dakoh dalam bot ke Pulau Sudong pada 1977.
Asnida Daud (depan), bersama ibu, Cik Kartini Abdul Karim; adik, Encik Muhammad Yusoff Daud; dan ayah, Encik Daud Dakoh dalam bot ke Pulau Sudong pada 1977. - Foto ihsan ASNIDA DAUD

Semangat ini juga telah menembusi pelbagai aspek kehidupannya.

Sebagai seorang pendidik, beliau juga pernah menerbitkan satu dokumentari tentang usaha penjejakan salasilahnya untuk mendidik pelajar tentang kepentingan mengetahui sejarah keluarga mereka.

Ini juga merupakan satu cara mempelbagaikan rakaman sejarahnya, dalam bentuk video dan gambar.

Asnida turut berkongsi bahawa misi seterusnya adalah untuk menjejak pusara keluarga besarnya yang diharapkan dapat memberi bayangan kepada sejarah keluarganya serta memperkukuh jati dirinya.

Walaupun beliau meneruskan usaha menjejak sejarah masyarakat sendiri, beliau berharap akan ada usaha rasmi yang dapat merakam dan memudahkan tradisi turun-temurun.

“Dengan sokongan yang kukuh untuk memelihara sejarah dan warisan masyarakat, kita dapat memastikan khazanah ini tidak terpinggir, sekali gus membolehkan generasi akan datang terus mengenali dan menghargai kekayaan budaya serta sejarah masyarakat kita,” kata beliau.

Asnida juga turut berharap akan ada tempat fizikal untuk merakam sejarah ini.

Namun, tempat tersebut perlu melangkaui peranan sebagai muzium dan menjadi tempat untuk mengumpulkan ilmu daripada pelbagai generasi agar ia tidak pudar dengan aliran masa.

Sejak kecil, ayah saya membawa keluarga kami untuk ‘cari keluarga’ di mana kami cuba menjejak mereka yang menetap di pulau lain untuk mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan identiti kami.
Asnida Daud.