Topic followed successfully
Go to BHkuOperasi penuh cabaran bawa pulang warga S’pura dari Timur Tengah
Operasi penuh cabaran bawa pulang warga S’pura dari Timur Tengah
GPS terganggu, terbang dekat medan konflik antara cabaran dihadapi pasukan SAF, RSAF
Operasi penuh cabaran bawa pulang warga S’pura dari Timur Tengah
Dalam kegelapan malam semasa penerbangan pulang dari Riyadh, Arab Saudi, ke Singapura, Kapten Gerald Goh ternampak sesuatu yang aneh melintasi pesawatnya.
Menurutnya, objek yang menyala itu agak jauh dari pesawatnya, tetapi beliau tetap berwaspada.
“Pada mulanya, saya agak terkejut, tetapi selepas meneliti prosedur dan memaklumkan kepada komander misi… kami memutuskan untuk meneruskan penerbangan,” ujar beliau, yang berusia 31 tahun.
Menambah, Kapten Goh, daripada Skuadron 112 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), berkata keputusan itu diambil selepas penilaian ke atas sistem pesawat yang berfungsi baik dan laluan penerbangan yang normal.
Beliau berkata demikian semasa bertemu media baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman membawa pulang warga Singapura yang terkandas di Timur Tengah semasa konflik yang masih berterusan pada masa ini.
Singapura telah membawa pulang warga Singapura menerusi empat penerbangan – dua komersial dan dua penerbangan yang dikendalikan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berangkat pada 10 Mac dan 12 Mac.
Secara keseluruhannya, RSAF berjaya membawa pulang 299 warga Singapura dan keluarga mereka dari Timur Tengah menerusi dua penerbangan itu.
Usaha itu diatur bersama dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) atas permintaan warga Singapura di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi untuk pulang ke tanah air, apabila ruang udara di kebanyakan negara Timur Tengah ditutup selepas Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.
Kapten Goh merupakan antara juruterbang pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 yang membawa pulang warga Singapura dari Arab Saudi.
Di sesi bertemu media di Pangkalan Udara Changi (Timur), Komander Misi dan Juruterbang, Mejar Simeon Chen, 38 tahun, menjelaskan kejadian itu antara lain mendorong pihaknya untuk meneliti semula aspek keselamatan sebelum meneruskan rancangan penerbangan kedua membawa warga Singapura pulang dari Timur Tengah.
“Selepas mendarat, kami menjalankan analisis yang sangat teliti.
“Kami berbincang dengan pihak risikan dan ibu pejabat kami. Hanya selepas kami yakin bahawa ia selamat… barulah kami meneruskan pelancaran misi kedua,” kata Mejar Chen, yang menyifatkan peristiwa yang berlaku semasa penerbangan pulang dari Riyadh sebagai detik yang tegang.
“Pada ketika itu, kami menilai sama ada misi selamat untuk diteruskan. Ia selamat, maka kami membawa penumpang pulang,” ujar beliau.
Selain risiko menerbangkan pesawat berhampiran zon konflik, operasi RSAF turut berdepan cabaran teknikal seperti gangguan ke atas Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), kata Mejar Chen.
Menurut beliau, banyak pesawat komersial lain juga terjejas oleh gangguan GPS, dan mereka antara lain bergantung pada arahan daripada kawalan trafik udara untuk memastikan mereka dapat melalui ruang penerbangan secara selamat.
“Selain bergantung pada arahan kawalan trafik udara, kami juga menggunakan suar yang dilepaskan dari darat untuk mencongak kedudukan kami.
“Suar ini memancarkan isyarat yang boleh kami jejak, dari satu titik ke titik seterusnya – umpama lampu suluh yang membimbing kami ke destinasi,” kata Mejar Chen.
Sokongan dari darat
Di sebalik kejayaan penerbangan itu, operasi tersebut juga dijalankan dengan berjaya kerana sokongan dan perancangan rapi bukan sahaja bagi operasi di udara, malah di darat.
Sewaktu Perancang Operasi, Mejar Fong Wei Shen, menyelenggara pengurusan penerbangan pulang dari Riyadh dan Jeddah, banyak pertimbangan rumit perlu beliau lakukan.
Ini lebih rumit lagi apabila penerbangan itu diputuskan untuk mendarat di Lapangan Terbang Changi, satu prosedur yang belum pernah dilalui oleh pihak RSAF.
Mejar Fong, 39 tahun, menyingkap pengalaman itu sebagai proses yang mencabar dan memerlukan kerjasama erat dengan pelbagai pihak.
Ini termasuk mengadakan mesyuarat melibatkan agensi lain seperti Kementerian Pengangkutan, Changi Airport Group (CAG) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 9 Mac, sebaik sahaja pesawat RSAF dari Timur Tengah diputuskan untuk mendarat di Lapangan Terbang Changi.
“Ini kali pertama sebuah pesawat tentera mendarat di Lapangan Terbang Changi.
“Justeru, banyak perkara yang perlu difikirkan dan dipertimbangkan seperti maklumat tentang waktu penerbangan, di terminal apa dan sebagainya.
“Walaupun ia perkara baru dan tidak pernah diuruskan oleh pihak RSAF, kami faham maklumat sebegini penting untuk diketahui oleh anggota keluarga penumpang di pesawat itu,” kata beliau lagi.
Sungguhpun ia proses yang berbeza bagi pesawat tentera, Mejar Fong dan kakitangannya tetap mengutamakan perancangan teliti demi memastikan kelancaran penyampaian maklumat kepada keluarga penumpang.
“Kami cuba untuk memahami keperluan dan keselesaan para penumpang dan anggota keluarga mereka.
“Justeru, kami banyak merujuk kepada beberapa pihak lain agar keperluan dan keselesaan penumpang serta anggota keluarga mereka tercapai,” tambah beliau.
Sokongan perubatan
Antara kakitangan yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan para penumpang ialah Pegawai Perubatan Penerbangan, Kapten (Dr) Chia Hui Yui.
Kapten Chia, 26 tahun, pegawai perubatan penerbangan, bertanggungjawab mengawasi keselamatan dan kesihatan penumpang serta kru.
Sebelum penerbangan, beliau memeriksa kesihatan penumpang dan memberi panduan kepada warga emas serta kanak-kanak.
“Dua penumpang sakit gastrik dan kami memberikan mereka ubat. Namun, mujur tiada kecemasan kesihatan lain yang membimbangkan,” kata beliau.
Demi memastikan kesejahteraan penumpang terjaga, Perancang Sokongan Logistik, Pakar Tentera 5 (ME5) Tamilselvan Palanisamy, daripada Jabatan Kejuruteraan dan Logistik Udara, mengambil kira keperluan tambahan yang sering dilepas pandang dalam penerbangan tentera biasa.
Ini termasuk memastikan keperluan bayi dan kanak-kanak dipenuhi, dengan menyediakan ‘bassinet’ yang dipinjam daripada SATS.
Tindakan itu seiring dengan kenyataan Mejar Fong: profil dan jumlah penumpang sebenar, serta lokasi pesawat, hanya dapat disahkan pada saat-saat akhir.
“Dari segi hidangan, kami turut menyediakan hidangan kanak-kanak dan makanan vegetarian kerana kami tidak pasti siapa yang akan pulang dan apa keperluan mereka.
“Kami mahu memastikan setiap aspek diliputi, agar penumpang dapat menikmati penerbangan yang selamat dan selesa dalam perjalanan pulang,” ujar beliau yang berusia 54 tahun.
Sekilas
– 28 Februari: Kementerian Ehwal Luar (MFA) gesa warga Singapura di Timur Tengah agar mendaftar dengan MFA susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang mengundang serangan balas Iran ke atas beberapa negara Teluk.
– 6 Mac: Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terima makluman awal; mula merancang misi yang boleh dioperasikan dalam 48 jam.
– 7-8 Mac: Dua pesawat Singapore Airlines (SIA) membawa warga Singapura pulang dari Muscat, Oman.
– 10 dan 12 Mac: RSAF kerah pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 ke Arab Saudi bagi membawa pulang warga Singapura. Pesawat RSAF yang pertama, SAF12, membawa pulang 218 warga Singapura dan keluarga mereka dari Riyadh pada 11 Mac. Ini diikuti pesawat kedua, SAF14, membawa pulang 81 warga Singapura dan keluarga mereka dari Jeddah pada 13 Mac.
– Keseluruhan, penerbangan mengambil masa 35.7 jam penerbangan, menjelajah hampir 30,000 kilometer.


