SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

MOM semak dasar kembali bekerja, tingkat sokongan pulih dari sakit, kecederaan

MOM semak dasar kembali bekerja, tingkat sokongan pulih dari sakit, kecederaan

Apr 7, 2026 | 9:09 PM

MOM semak dasar kembali bekerja, tingkat sokongan pulih dari sakit, kecederaan

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menyemak dasar kembali bekerja di Singapura, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash.

Kenyataan beliau menyusuli usulan yang dilakukan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong, semasa membentangkan usulan penangguhan di Parlimen pada 7 April.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Radin Mas, menggesa agar lebih banyak sokongan diberikan bagi membantu individu yang kembali bekerja selepas kembali pulih daripada penyakit atau kecederaan.

Dasar kembali bekerja, menurutnya, mesti dianggap sebagai teras sistem tenaga kerja dan bukan pertimbangan alternatif semata-mata.

“Sama ada kecederaan atau penyakit, terdapat satu trend yang serupa.

“Lebih lama seseorang pekerja tidak bekerja (akibat kecederaan atau penyakit), lebih sukar untuk pekerja itu kembali bekerja.

“Wang penjimatan semakin menurun, tahap keyakinan menurun, tekanan meningkat (dan) pemulihan semakin perlahan,” ujarnya.

Oleh demikian, Encik Yong mengusulkan empat langkah.

Yang pertama merangkumi usaha campur tangan lebih awal dengan merujuk pekerja kepada program sokongan dan menggalakkan penyelarasan awal antara pekerja, majikan, penyedia penjagaan kesihatan dan pihak insurans.

Kedua adalah memperluas nasihat tiga pihak sedia ada untuk meliputi pekerja yang sedang menjalani pemulihan agar pihak majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SME), peka dengan cara untuk menyokong mereka.

Ketiga adalah membangunkan haluan khusus dengan sokongan berstruktur bagi pekerja yang tidak dapat kembali melakukan peranan mereka sebelum ini.

Ia dapat dilakukan melalui latihan kemahiran sejajar dengan kebolehan perubatan mereka, bimbingan kerjaya dan pemadanan kerja.

Yang keempat pula adalah memperkenalkan skim sokongan gaji berteraskan tempoh masa bagi membantu pihak majikan mengimbangi kos berkaitan dengan penyepaduan semula pekerja terbabit.

Beliau berkata: “Masyarakat yang adil bukan sahaja dinilai berdasarkan bagaimana ia melindungi pekerja daripada bahaya – tetapi juga bagaimana ia membantu mereka pulih apabila bahaya berlaku.”

Memberikan respons, Encik Dinesh berkata sebagai langkah pertama dalam semakan MOM, kementerian itu sedang berusaha untuk bekerjasama dengan industri dan mendapatkan penyelesaian inovatif secara berkumpulan bagi meningkatkan hasil dasar kembali bekerja.

Ini akan dilakukan melalui Perikatan bagi Tindakan Keselamatan dan Kesihatan untuk Jangka Panjang Pekerjaan, yang akan dilancarkan dengan kerjasama NTUC dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) pada separuh kedua 2026.

Katanya lagi, MOM juga akan memanfaatkan program rintis sebelum ini, seperti yang dilakukan antara 2017 dengan 2021, menerusi kerjasama Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH).

Program itu memberi tumpuan kepada latihan penyelaras khas untuk membimbing pekerja kembali bekerja selepas kecederaan di tempat kerja.

Menurut beliau, ia melibatkan 3,700 pekerja dengan majikan masing-masing menyokong penyertaan mereka, dan ia mencapai kadar kejayaan 95 peratus.

Tujuh hospital awam yang terlibat dalam program itu terus menawarkan perkhidmatan tersebut hari kini, tambah beliau.

Kos bagi khidmat kembali bekerja berasaskan hospital untuk kecederaan berkaitan kerja boleh dituntut di bawah Akta Pampasan Kecederaan Kerja, ujarnya.

Encik Dinesh menambah: “Pengukuhan lanjut bagi haluan kembali bekerja memerlukan komitmen semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam ekosistem.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg