Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 12 Mei berkata caj yang dikenakan empat agensi pemerintah bagi perkhidmatan, seperti mempercepatkan pemeriksaan bangunan adalah sah dan wajar, walaupun tidak diperuntukkan dalam perundangan.

Dalam satu hantaran media sosial, MND berkata undang-undang baru yang diluluskan di Parlimen minggu lalu bertujuan memberikan penjelasan lanjut mengenai kedudukan undang-undang serta memastikan ketelusan dan kepastian bagi urus niaga masa hadapan.

“Kedudukan pemerintah adalah bayaran dan caj tersebut telah dikutip secara sah dan wajar,” kata MND dalam kenyataan berasingan.

MND berkata Parti Pekerja (WP) telah mempersoalkan sama ada bayaran itu dikutip secara tidak sah pada masa lalu.

Menurut kementerian itu, bayaran dan caj tersebut berkaitan fungsi statutori dan pengawalseliaan.

Pemerintah mengakui adalah lebih baik untuk memperuntukkannya secara jelas dalam undang-undang, walaupun agensi terbabit boleh menetapkannya tanpa peruntukan sedemikian.

Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Statut (Pindaan Pelbagai) pada 7 Mei selepas perbahasan sengit.

WP mempersoalkan pindaan yang mengesahkan bayaran terdahulu yang dikenakan oleh empat agensi di bawah MND.

Bayaran tersebut termasuk caj oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi penundaan dan penahanan kereta yang diletak secara haram, serta bayaran urusan permohonan jual semula flat, permit haiwan dan pensijilan jenis hidupan.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) WP mempersoalkan kesahihan kutipan terdahulu itu, malah kesemua 11 AP WP yang hadir mengundi menentang Rang Undang-Undang tersebut.

Menolak hujah WP semasa perbahasan, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat berkata bayaran tersebut dikutip untuk menampung kos perkhidmatan yang diberikan dan adalah sah.

Beliau berkata semakan Pejabat Peguam Negara (AGC) menyimpulkan adalah lebih baik untuk memasukkan bayaran tersebut ke dalam perundangan daripada membiarkannya sebagai pengaturan pentadbiran.

Pada 11 Mei, WP berkata mereka tidak boleh menyokong pindaan yang mengesahkan apa yang disifatkan sebagai “kesilapan pentadbiran”.

WP berkata parti itu tidak boleh menyokong peruntukan yang mengesahkan kutipan wang terdahulu yang tidak diperuntukkan undang-undang serta menghapuskan hak rakyat untuk mencabarnya, tanpa memberikan fakta sepenuhnya kepada Parlimen.

MND kemudian mengulangi dalam hantaran media sosialnya pada 12 Mei bahawa bayaran yang dikutip oleh HDB, URA, Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) bukanlah tidak sah.

Kementerian itu berkata Rang Undang-Undang tersebut diluluskan sekarang untuk memperincikan bayaran dan caj itu dengan lebih jelas dalam perundangan.

MND berkata bayaran tersebut diketahui umum dan ditadbir dengan sewajarnya untuk menampung kos perkhidmatan yang disediakan.

“Pemerintah telah menyemak semua nasihat berkaitan dan menyimpulkan bahawa bayaran dan caj ini dikutip secara sah dan wajar, serta mempunyai asas undang-undang,” katanya.

Semasa perbahasan, AP WP juga bertanya sama ada orang ramai akan menerima bayaran balik bagi bayaran yang dikutip pada masa lalu, memandangkan bayaran tersebut tidak disahkan di bawah undang-undang ketika itu.

Dalam hantaran media sosialnya, WP menyatakan bahawa undang-undang itu juga menghapuskan hak orang ramai untuk mencabar kutipan terdahulu.

Mengenai isu itu, MND berkata bayaran dan caj terdahulu dikutip secara adil berdasarkan prinsip pemulihan kos bagi perkhidmatan yang diperlukan dan disediakan.

Katanya, bayaran balik akan menyebabkan pembayar cukai menanggung subsidi bagi perkhidmatan yang telah diberikan kepada pengguna, dan ini tidak adil kepada rakyat Singapura lain, justeru tiada bayaran balik akan diberikan.

“Tadbir urus yang baik bermaksud sentiasa menyemak dan menambah baik undang-undang dan sistem; membawa perkara berkepentingan awam ke Parlimen secara proaktif; serta mengekalkan kepercayaan awam melalui ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus berhemah,” kata MND.

“Ini bertujuan memperjelaskan dan memperkukuh undang-undang demi memastikan kepastian, keadilan dan ketelusan bagi rakyat Singapura.”