Persoalan mengenai kesahihan kutipan yuran oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Negara (MND) menjadi tumpuan utama perbahasan Rang Undang-Undang Statut (Pindaan Pelbagai) di Parlimen pada 7 Mei.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, dalam ucapan pembukaannya menjelaskan bahawa yuran dan caj yang sebelum ini dianggap sebagai caj pentadbiran, kini perlu ditetapkan secara rasmi sebagai perundangan.

Langkah ini diambil susulan semakan dalaman MND yang dijalankan pada 2025 serta nasihat daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Yuran dan caj ini adalah penting untuk mendapatkan kembali kos operasi yang ditanggung oleh agensi kami dalam menyediakan perkhidmatan kepada awam.

“Apabila diperkenalkan pada asalnya, yuran dan caj ini dianggap sebagai caj pentadbiran untuk perkhidmatan atau aktiviti penguatkuasaan tertentu.

“Walau bagaimanapun, susulan semakan dalaman yang komprehensif, MND dinasihatkan bahawa yuran dan caj tersebut sepatutnya ditetapkan dalam perundangan,” kata Dr Syed Harun.

Beliau menjelaskan bahawa perundangan subsidiari yang diperlukan dapat memberi agensi kuasa yang berkaitan dan asas perundangan yang jelas untuk kutipan yuran ini secara berterusan.

Walau bagaimanapun, barisan Anggota Parlimen (AP) daripada Parti Pekerja (WP) mempersoalkan kesahihan undang-undang kutipan yuran yang dilakukan sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan.

Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) bertanya sama ada kutipan yuran sebelum ini sah secara undang-undang.

Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) turut bertanya: “Atas dasar perundangan apakah setiap agensi ini berpendapat bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengenakan yuran atau caj ini?”

Dr Syed Harun berkata Encik Fadli membingkaikan pindaan yang dicadangkan dengan cara yang menunjukkan bahawa terdapat kesilapan yang telah dibuat pada masa lalu dan kementerian kini sedang cuba membetulkannya.

“Tetapi semangat Rang Undang-undang ini sebenarnya adalah untuk memastikan kita terus maju dengan sokongan dan mandat perundangan untuk agensi kita,” kata beliau.

“Yuran yang dikenakan adalah sewajarnya, bukannya dikutip secara salah, dan kami sedang mengesahkannya untuk memastikan bahawa ini, pada masa hadapan, selaras dengan undang-undang,” tambahnya.

AP WP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low, pula bertanya: “Ia adalah soalan yang sangat mudah: Adakah akan ada bayaran balik? Jika tidak akan ada sebarang bayaran balik, mengapa tiada bayaran balik?”

Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat menyertai perbahasan untuk menjelaskan bahawa apabila kementerian menyediakan perkhidmatan, ia akan mendapatkan semula kosnya.

Jika tidak, ini perlu dibiayai oleh pembayar cukai.

“Sebenarnya tiada bayaran balik untuk dibincangkan, kerana ini bukanlah kutipan yang salah,” tegas Encik Chee.

Ketua WP, Encik Pritam Singh, pula bertanya tentang jumlah yuran yang telah dikutip dan bilangan rakyat Singapura yang terjejas.

Dr Syed Harun berkata beliau tidak mempunyai “jumlah penuh seperti yang diminta oleh Encik Pritam, tetapi saya boleh memberikan beberapa petunjuk dari segi... jumlah semasa yang kami sedang kaji untuk agensi tertentu”.

Encik Chee kemudian menambah: “Saya ingin menjelaskan kepada Encik Pritam dan anggota WP yang terhormat bahawa bukannya kami tidak mahu memberikan jumlah tersebut kepada anda, tetapi saya harap anda faham bahawa yuran ini telah dikutip dalam tempoh masa yang lama – jika saya tidak salah, saya rasa sejak kemerdekaan.

“Jadi kami mungkin tidak mempunyai rekod penuh dan tepat tentang semua jumlah yang dikumpul yang dapat kami kongsikan dengan anda dengan tepat.

“Itulah sebabnya saya fikir rakan sekerja saya (Dr Syed Harun) mendapati ianya agak sukar mencari maklumat yang tepat.”

Encik Pritam berkata bahawa sebagai pihak pembangkang, adalah tugas mereka “hadir di Dewan untuk meneliti Rang Undang-undang, dan adalah tugas kami untuk menanyakan soalan sedemikian”.

Encik Chee berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan jumlah yang diinginkan setepat mungkin.

Berikutan perbahasan selama lebih setengah jam itu, kesemua 11 anggota WP yang hadir di Dewan mencatatkan bantahan mereka terhadap pindaan rang undang-undang berkenaan.

Ini merupakan kali pertama WP menentang Rang Undang-undang sejak penggal Parlimen bermula pada September 2025.