Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meski kolong blok jadi ‘rumah’, warga emas bulat tekad ubah nasib

Jan 9, 2026 | 7:49 PM
Mat Silau, masjid khalid, gelandangan, homeless
Lelaki berusia 76 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Mat Silau’ lebih selesa berada di kolong blok di Haig Road, dan bersyukur sentiasa dibantu anggota jemaah di Masjid Khalid. - Foto BH oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL

Kehidupan seorang warga emas yang dimamah usia dan hanya mahu dikenali sebagai ‘Mat Silau’ berubah secara ketara menyusuli rentetan peristiwa yang berlaku selepas beliau menjual rumah dan menjalani kegetiran perceraian bersama isteri.

Mat Silau, 76 tahun, terpaksa berpindah-randah dari rumah ke rumah tiga anaknya.

Namun, nasib tidak menyebelahinya dek ketegangan hubungan dan kerumitan tempat tinggal, sehingga tidak dapat menetap dengan selesa dan tenang.

Justeru, beliau terpaksa keluar dan kini berteduh di kolong blok estet perumahan Haig Road selama dua bulan, sejak November 2025.

Walaupun berusia senja dan penyakit barah usus besar menjejas tahap kesihatan dan tenaga tulang empat keratnya, beliau tidak berputus asa mencari tempat penginapan tetap.

Bekas pegawai keselamatan itu memberitahu Berita Harian (BH), beliau telah menghubungi beberapa Pejabat Khidmat Sosial (SSO) untuk mendapatkan rumah sewa sendiri.

Dengan bantuan itu, beliau dapat tempat tinggal sementara di sebuah bilik dormitori bersama lima pekerja asing lain.

Walaupun mampu membayar duit sewa sebanyak $100 sebulan, beliau mendapati peraturan kehidupan di tempat itu tidak selesa.

Lantas, beliau tidur di kolong blok sekali lagi.

Namun, Mat Silau teguh mengharungi beberapa cabaran yang sukar sejak kebelakangan ini, sambil bersikap positif keadaannya akan berubah.

Menurut beliau, masalahnya bermula di flat empat bilik milik anak pertama dan isterinya.

Mat Silau tidak dapat menetap di sana kerana salah seorang cucunya di situ dikatakan tidak selesa dengan kehadirannya.

Seterusnya, beliau cuba tinggal bersama anak keduanya di flat maisonette di Bukit Batok.

“Namun, bekas isteri saya pula datang tinggal di situ sekali, dan ikut hukum, kami berdua tidak boleh tinggal bersama,” katanya dengan nada sebak.

Lantas, beliau menetap bersama anak ketiganya di flat empat bilik di Bukit Batok pula.

Namun selepas itu, anak perempuannya berpisah daripada suami, dan Mat Silau mengikut anak perempuan serta cucunya berusia 15 tahun berpindah ke flat satu bilik.

“Tetapi ruang di situ terlalu sempit, saya rasa tidak sesuai untuk kami bertiga tinggal bersama,” tambah Mat Silau.

Lantas, beliau mengambil keputusan keluar dan tidur di kolong blok, sementara berusaha mendapatkan rumah sewa sendiri.

Namun, beban kehidupan yang menimpa Mat Silau tidak menghambatnya untuk kekal positif dan reda dengan keadaannya.

Senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Malahan, beliau bersyukur atas rezekinya meskipun menghadapi kesulitan.

Misalnya, beliau gembira masih mempunyai gitar elektrik dan amplifier atau penguat bunyi yang digunakan untuk bernyanyi di jalanan sekitar Tampines, Marine Parade dan Geylang Serai, bagi menyara kehidupan.

“Saya biasanya boleh mendapat antara $10 dengan $50, tetapi saya bernyanyi sekadar untuk bertahan hidup seharian.

“Apabila saya lihat duit yang dikumpul mencukupi, saya akan berhenti,” katanya, yang mengakui pernah dihalau seniman jalanan lain.

Kini, beliau berusaha mendapatkan lesen rasmi daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi membolehkannya menyanyi di jalanan.

Mat Silau juga selesa dengan kawasan yang menjadi tempatnya berteduh kini.

Menurutnya, tempat tidurnya itu berdekatan dengan Masjid Khalid, sekali gus memudahkannya untuk menyempurnakan solat lima waktu.

Beliau turut bersyukur atas amal baik dan bantuan yang dihulurkan oleh orang sekeliling.

“Pekerja Masjid Khalid biasanya ketepikan bungkusan makanan untuk sarapan saya setiap pagi,” tambahnya, penuh kesyukuran.

Beliau juga akan mencuci baju dan mandi di tandas awam, seperti di pusat penjaja makanan berdekatan.

Mat Silau berkata: “Setiap hari, saya akan minta bantuan pekerja kedai untuk mengecas telefon bimbit dan penguat bunyi.

“Kemudian, saya akan hulurkan $5 untuk mereka berbuat sedemikian.”

Walaupun sudah lama tidak bersua dengan anak-anaknya, Mat Silau masih berhubung dengan mereka.

Beliau berkongsi salah seorang anaknya akan menemaninya ke hospital untuk menerima rawatan bagi penyakit barahnya pada hujung Januari.

Memandang ke depan, Mat Silau berharap agar urusannya dipermudah dan beliau dapat menetap di rumah sewa yang lebih selesa tidak lama lagi. – Laporan tambahan AMIRUL IBRAHIM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg