Tempat perlindungan memainkan peranan penting dalam memperbaiki pengaturan tempat tinggal golongan gelandangan.
Ini kerana mereka yang menetap di tempat perlindungan didapati mempunyai kemungkinan lebih baik mendapatkan perumahan jangka panjang.
Dalam kajian yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS) berkaitan masalah jangka panjang gelandangan di Singapura, secara amnya, peserta yang mempunyai pengalaman keluar dari tempat perlindungan lebih berkemungkinan mencapai status perumahan lebih baik berbanding peserta lain.
Ramai individu ini berjaya mendapatkan perumahan jangka panjang hasil bantuan pekerja sosial atau kakitangan tempat perlindungan yang pernah mereka diami.
Kajian tiga tahun itu dijalankan Zamil Kanan Penyelidikan, Makmal Dasar IPS, Dr Harry Tan, dan pasukannya.
Dalam laporan kajian IPS itu, tempat perlindungan didapati merupakan “sumber keselamatan fizikal dan berfungsi sebagai ruang peralihan ke arah pelan perumahan jangka panjang”.
Sokongan daripada tempat perlindungan juga didapati mempunyai kesan positif terhadap keupayaan individu gelandangan meraih akses perumahan jangka panjang.
Tempoh median kehilangan tempat tinggal bagi mereka yang menghabiskan sebahagian besar tempoh itu dengan tidur secara gelandangan ialah empat kali ganda lebih lama daripada mereka yang menghabiskan sebahagian besar tempoh itu di tempat perlindungan.
Kajian itu mendapati sekitar 80 peratus individu dalam perumahan jangka panjang pada akhir kajian telah mempunyai akses kepada beberapa bentuk sokongan dan bantuan tempat perlindungan apabila mereka kehilangan tempat tinggal.
Sebagai perbandingan, sekitar 70 peratus individu yang kekal kehilangan tempat tinggal pada akhir kajian tidak mempunyai akses kepada sebarang bentuk sokongan tempat perlindungan.
Namun, pada masa yang sama, kehidupan di tempat perlindungan bukan tanpa cabaran.
Hasil kajian IPS menunjukkan mereka yang menginap di tempat perlindungan berdepan cabaran hidup bersama orang asing yang tidak dikenali.
Ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan serta keperluan mengurus konflik.
Oleh itu, Dr Tan dan pasukannya menyarankan beberapa penambahbaikan yang merangkumi tiga aspek – penyediaan maklumat berkaitan tempat perlindungan, reka bentuk tempat perlindungan dan tenaga kerja tempat perlindungan.
Pertama, mereka mencadangkan penyediaan maklumat berkaitan tempat perlindungan yang lebih meluas kepada bakal pengguna tempat perlindungan.
Ini kerana hasil kajian menunjukkan kurang pengetahuan tentang sokongan yang diberikan tempat perlindungan serta salah tanggapan terhadap tempat perlindungan merupakan halangan kepada golongan gelandangan mendapatkan sokongan.
Kedua, mereka mencadangkan agar model Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) diterima pakai dalam mereka bentuk tempat perlindungan.
Reka bentuk sedemikian menyediakan bilik bagi setiap penghuni dan kemudahan seperti dapur dan tandas yang dikongsi.
Laporan kajian itu menyatakan:
“Berdasarkan penemuan kami tentang pengalaman kehilangan privasi pengguna tempat perlindungan, konflik dengan pengguna tempat perlindungan lain dek tabiat hidup dan kebimbangan keselamatan di tempat perlindungan, model SRSF mungkin berkesan dalam meningkatkan pengalaman tempat perlindungan.”
Ia turut menyarankan agar latihan pengurusan konflik dan pengantaraan ditingkat bagi kakitangan tempat perlindungan, selain menambah jumlah kakitangan di sana agar sokongan 24 jam dapat diberikan kepada penghuni tempat perlindungan.
Dr Tan berkata: “Gelandangan jangka panjang merupakan cabaran utama bagi pemerintah, penyelidik dan sukarelawan di Singapura dan di seluruh dunia, dan isu-isunya sering kali rumit, berlaku merentasi pelbagai peringkat kehidupan.
“Walaupun dasar telah digubal, menangani gelandangan memerlukan usaha pemerintah, kumpulan masyarakat dan masyarakat secara keseluruhan.”
“Sebenarnya, masalah gelandangan jangka panjang boleh dielak. Ada yang bertanya, ‘Bolehkah kita hapuskan masalah gelandangan?’
“Tidak boleh, ia akan sentiasa wujud, tetapi masalah gelandangan berpanjangan boleh dielak dengan campur tangan awal, dengan memastikan jalan keluar daripada isu gelandangan adalah mampan,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg