Topik diikuti
Pergi ke BHkuMeski jauh di rantauan, pekerja migran ceria sambut Aidiladha di ‘rumah kedua’
Meski jauh di rantauan, pekerja migran ceria sambut Aidiladha di ‘rumah kedua’
Anak dagang sektor binaan ubat rindu kepada keluarga di Bangladesh dengan perayaan bersama kawan, jemaah masjid
Meski jauh di rantauan, pekerja migran ceria sambut Aidiladha di ‘rumah kedua’
Sedang anggota jemaah lain bersalaman dan bermaaf-maafan di Masjid Assyakirin selepas mendirikan solat Aidiladha, pekerja migran, Encik Mukul Hossain, dan anak saudaranya, Encik Abdul Mazid, pula dengan tangkas mencapai telefon bimbit dalam saku untuk menghubungi insan tersayang yang jauh ribuan kilometer di Bangladesh.
Sungguhpun diselubungi rasa rindu terhadap keluarga yang jauh setelah menghabiskan hampir atau lebih dua dekad mencari rezeki di Singapura, Encik Mukul, 46 tahun, dan Encik Abdul Mazid, 28 tahun, menganggap Singapura bak ‘rumah kedua’, yang memberi suntikan harapan untuk terus menggalas amanah sebagai bapa mahupun anak yang dapat meringankan beban keluarga.
Mereka, yang ditemui Berita Harian (BH) pada 27 Mei lalu, bergantung pada persahabatan akrab yang terjalin dengan berkongsi rumah sewa bersama di samping bergaul dengan anggota jemaah lain di mana-mana masjid yang mereka kunjungi.
Justeru, mereka tidak rasa terasing dalam kejauhan menyambut Aidiladha di rantauan.
Bagi Encik Mukul, seorang pekerja binaan, yang mengembara ke Singapura 26 tahun lalu, rutinnya setiap sambutan Lebaran – baik Aidilfitri mahupun Aidiladha – adalah menghubungi isteri dan keluarga menerusi panggilan video selepas solat Raya.
“Kalau tidak dapat pulang, kami akan buat panggilan video untuk bertanya khabar kepada keluarga kami dan mengubati rindu kami,” katanya, yang ditemui di masjid sekitar Yung An Road itu.
Walaupun sesekali berpeluang pulang untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga, beliau mengakui ada tahun tertentu apabila tuntutan kerja dan cuti yang terhad memaksanya menyambut perayaan itu di Singapura.
Namun, teman yang tinggal serumah dengannya banyak memberinya keceriaan agar terluput rasa sunyi berlebaran di rantauan.
Perasaan yang sama dikongsi anak saudaranya, Encik Abdul Mazid, juga seorang pekerja binaan, yang bertugas di Singapura selama 18 tahun, dan sudah berumah tangga.
Beliau bersyukur dapat sama-sama meraikan Hari Raya Aidiladha dan menjalani kehidupan harian dengan nasihat bapa saudaranya.
Mereka menetap di flat bersama lima rakan lain yang biasanya akan rasa teruja untuk menikmati juadah Raya selepas solat Aidiladha.
“Selepas solat Raya, kami bertujuh akan makan bersama hidangan yang dibeli, yang kami terasa nak makan sempena hari istimewa seperti beriani.
“Sambil makan, kami akan berbual tentang keluarga serta kampung halaman kami.
“Memandangkan kami ramai, terubat segala rasa sepi dan sedih tatkala menyambut Hari Raya.
“Kebersamaan begitu terasa sebab kami sama-sama melalui tempoh suka duka bersama,” cerita Encik Abdul Mazid.
Sementara itu, peluang menawarkan khidmat sukarela kepada Masjid Assyakirin membawa kehidupan bermakna buat dua lagi pekerja migran dalam sektor binaan, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Anwarul Islam, 49 tahun; dan Encik Mejbah, 38 tahun.
Encik Anwarul sudah berada di Singapura selama 27 tahun untuk mencari rezeki sebagai anak dagang.
Penglibatannya sebagai sukarelawan di Masjid Assyakirin banyak membantunya menyesuaikan diri dalam masyarakat Singapura di luar waktu kerja dan pada hujung minggu mahupun cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Pada hujung minggu, beliau dan sukarelawan lain membantu menjalankan kerja penyenggaraan seperti membersihkan sawang di sudut-sudut masjid mahupun kipas.
Kerja membaiki paip bocor atau memasang kipas baru turut dilakukan.
Jika cuti awam jatuh pada Jumaat, sukarelawan dalam kalangan pekerja migran turut membantu mempersiapkan ruang solat Jumaat tambahan di bilik darjah mahupun membentang kanvas di tingkat bawah tanah, tingkat satu, ruang legar dan kawasan berhampiran pintu belakang masjid.
Mereka juga membantu mengawal dan mengurus pergerakan jemaah di samping membersihkan kembali ruang solat tambahan selesai solat Jumaat.
“Jemaah dan pihak pengurusan masjid memainkan peranan penting dalam mewujudkan rasa kekitaan dalam kalangan pekerja migran.
“Kalau saya meraikan Hari Raya di Bangladesh dengan keluarga besar saya, suasana masjid yang meriah dan penuh ukhuwah membolehkan saya rasa semangat kebersamaan meskipun di negara asing dan jauh dari kampung halaman saya.
“Walaupun keluarga kami tiada di sisi, kami bertemankan kawan-kawan dan jemaah masjid, dan dapat menabur bakti kepada penduduk Muslim yang mengunjungi Masjid Assyakirin juga,” ceritanya.
Meskipun bukan warga Singapura, Encik Mejbah, yang sudah bertugas dalam industri binaan di Singapura selama 16 tahun, menambah, dirinya selalu rasa bersyukur kerana diterima baik setiap kali menghadiri program dan kegiatan di Masjid Assyakirin.
“Saya kagum dengan sikap saling menghormati dan membantu antara satu sama lain yang diamalkan kebanyakan penduduk Singapura.
“Ia menjadikan negara ini selesa didiami sebagai pekerja migran yang mencari rezeki dan ingin membina kehidupan yang tenang.
“Kalau berkunjung ke masjid, semangat kekitaan begitu dirasakan.
“Kami disambut dengan mesra oleh anggota jemaah lain yang saling menghormati dan suka membantu antara satu sama lain,” jelasnya.
Bagi pekerja migran itu, Aidiladha bukan sekadar perayaan yang memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim as yang bermimpi dan diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail as, malah menyanjung semangat pengorbanan untuk berjauhan daripada keluarga demi mencari rezeki halal untuk mereka.
