Yayasan Mendaki telah melantik lima anggota baharu ke lembaga pengarahnya sebagai sebahagian daripada usaha membawa idea serta perspektif segar untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Pelantikan tersebut diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-37 Mendaki yang diadakan di Wisma Mendaki pada 2 Mei.

Langkah itu selari dengan visi yayasan untuk bergerak seiring dengan perubahan dunia yang pantas menerusi Pelan Kerja Mendaki 2030.

Ia juga bertujuan menggantikan pengarah yang sudah menamatkan tempoh perkhidmatan mereka.

Lima pengarah baharu yang dilantik ialah Bendahari Kehormat Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Cik Afza Fahmidah Amir; Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik D’Cruz Firdaus Lionel Wilfred; anggota Syarikat Guru-Guru Melayu Koperatif Berhad (SGM), Dr Idris Mohd Taha; anggota lembaga pengarah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (SMCCI), Encik Mustaffa Kamal; dan Penolong Setiausaha Kehormat Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Ridhwan Mohd Basor.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muhammadiyah, Encik Muhammad Azri Azman telah dilantik semula untuk tempoh seterusnya.

Mereka menggantikan empat pengarah yang bersara selepas tamat tempoh perkhidmatan iaitu Encik Muhammad Syahiran Rohajat, Encik Nassar Mohamad Zain, Cik Nuraizah Amin dan Cik Yeo Nadia.

Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata pembaharuan lembaga pengarah Mendaki bukan sekadar satu urusan tadbir urus, malah ia mencerminkan bagaimana badan itu membawa idea baharu ke meja perbincangan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan, memberitahu Berita Harian (BH):

“Pengarah baharu membawa kepakaran dan perspektif baharu. Yang lebih penting, mereka turut memperkukuh penglibatan pertubuhan Melayu/Islam dalam lembaga.”

Memandang ke hadapan, Encik Zaqy berkata persoalannya kini ialah bagaimana Mendaki dapat bergerak seiring dengan dunia yang lebih pantas, dan bagaimana badan itu memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Pelan Kerja Mendaki 2030 dibina asas yang kukuh dan menetapkan hala tuju jelas untuk menyokong setiap anggota masyarakat agar menjadi versi terbaik diri mereka pada setiap peringkat kehidupan.

“Seiring kita melangkah ke hadapan, M Kuasa Tiga+ (M³+) akan memperkukuh kerjasama antara pemerintah, Mendaki, dengan rangkaian rakan masyarakat yang lebih luas seperti pertubuhan Melayu/Islam dan India/Islam.

“Melalui kerjasama yang lebih erat, kita dapat menyokong keluarga dan golongan belia dengan lebih baik, menyediakan pekerja untuk ekonomi masa depan, dan membina masyarakat Melayu/Islam yang yakin, berdaya tahan dan terus berkembang maju,” katanya.