Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 160,000 raih manfaat program Mendaki pada 2025
Lebih 160,000 raih manfaat program Mendaki pada 2025
Ingin pacu fasa seterusnya menerusi Pelan Kerja Mendaki 2030, tumpu pada AI
Lebih 160,000 raih manfaat program Mendaki pada 2025
Lebih 160,000 individu merentasi pelbagai peringkat kehidupan – daripada kanak-kanak prasekolah hingga golongan karyawan – meraih manfaat daripada program Yayasan Mendaki sepanjang 2025.
Pencapaian tersebut dikongsi Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-37 Mendaki yang diadakan di Wisma Mendaki pada 2 Mei.
Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), berkata Mendaki “hadir di setiap peringkat kehidupan” dalam pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat masyarakat.
“Sejak Mendaki ditubuhkan lebih 40 tahun lalu, kita telah menyaksikan sejauh mana kemajuan masyarakat, khususnya dalam dua dekad kebelakangan ini.
“Kini, kita mempunyai lebih ramai graduan, pemegang diploma dan golongan PMET (karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen), dan pendapatan isi rumah juga mencerminkan sumber yang lebih baik tersedia bagi keluarga serta anak-anak mereka hari ini,” ujar beliau.
Menurut Mendaki, daripada 160,000 individu yang memanfaatkan programnya pada 2025, lebih 10,000 pelajar telah menyertai Program Pencapaian Mendaki (MAP), yang sebelum ini dikenali sebagai Program Tuisyen Mendaki (MTP).
Di samping itu, lebih 1,500 individu menerima anugerah, tajaan, biasiswa, dan dermasiswa.
Tambah Mendaki, lebih 2,100 kanak-kanak dan 2,000 ibu bapa mendapat manfaat daripada program ReadySetLearn (RSL) Maths Explorer, atau Peneroka Matematik RSL, yang sebelum ini dikenali sebagai KelasMateMatika (KMM).
Dalam menyokong tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan, Encik Zaqy bekongsi bahawa Rangkaian Karyawan Mendaki telah berkembang kepada lebih 1,000 anggota dan menganjurkan lebih 60 kegiatan masyarakat sepanjang 2025.
Memandang ke hadapan, Mendaki giat memacu pelan kerja lima tahun – Pelan Kerja Mendaki 2030 yang dilancarkan pada Januari.
Ia menggariskan hala tuju strategik untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam merentasi pelbagai peringkat kehidupan, daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga pembangunan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat.
Ia termasuk bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Teknologi Perikatan Singapura-MIT (SMART) untuk menerapkan Khanmigo, iaitu alat kecerdasan buatan (AI) daripada Khan Academy, yang membantu tutor menjana pelan pembelajaran peribadi dalam masa kurang seminit.
Selain itu, ia turut bekerjasama dengan Yayasan Quantedge untuk memperkenalkan wadah KiteSense Luminee kepada 445 pelajar Darjah 5 dalam MAP, yang dapat mengenal pasti gaya pembelajaran setiap pelajar dan menyesuaikan pendekatan pembelajaran mengikut keperluan individu.
Sejak Januari, Mendaki telah menerajui inisiatif Langkah Digital M Kuasa Tiga+ (M³+) untuk meningkatkan literasi digital dan AI dalam kalangan masyarakat.
Bagi menyokong ibu bapa dalam memperkukuh persekitaran pembelajaran di rumah pula, Mendaki melancarkan siri pertama daripada enam Jerayawara RSL di One Punggol pada April.
Pada Julai, Mendaki akan memperkenalkan RSL Language Explorer, atau Peneroka Bahasa RSL, iaitu program bacaan baharu untuk memperkasa ibu bapa dalam menyokong literasi anak dalam bahasa Inggeris dan Melayu.
Pada 2 Mei, AGM ke-37 Mendaki turut menyaksikan pelantikan lima wajah baharu dan seorang anggota yang dilantik semula ke lembaga pengarahnya, bagi menggantikan pengarah yang bersara selepas menamatkan tempoh perkhidmatan mereka.
