Topic followed successfully
Go to BHkuTragedi rempuhan bot: Hanya sarat rindu, Raya suram kenang pemergian anak saudara
Tragedi rempuhan bot: Hanya sarat rindu, Raya suram kenang pemergian anak saudara
Bapa saudara sifatkan Allahyarham Syafidi sebagai mahir bertukang, suka bantu
Tragedi rempuhan bot: Hanya sarat rindu, Raya suram kenang pemergian anak saudara
Apa yang sepatutnya menjadi satu lagi malam bersantai sambil memancing di laut bertukar menjadi detik yang hingga ke hari ini terus menghantui Encik Mohamad Azhar Ahmad, dalam suasana Syawal yang masih lagi terasa.
Pada awal pagi 27 Mac, beliau dan seorang rakan ‘kaki pancing’ serta anak saudaranya sedang dalam perjalanan pulang ke darat selepas semalaman memancing apabila bot riadah yang mereka naiki dirempuh sebuah kapal bekalan di perairan berhampiran Kepulauan Selatan.
Anak saudara Encik Azhar, Allahyarham Chua Muhammad Syafidi, 37 tahun, yang difahamkan memperoleh lesen memandu bot pada November 2024, sedang mengendalikan bot dan berada di ruang kemudi ketika kejadian yang tidak diduga berlaku.
Bot riadah yang dinaiki mereka bertiga bertembung dengan sebuah kapal bekalan di perairan Kepulauan Selatan pada sekitar 4.15 pagi.
Sebelum itu, mereka dilaporkan bertolak sekitar 10 malam dari jeti dan singgah di beberapa lokasi memancing, termasuk kawasan berhampiran Pulau Bukom dan perairan dekat Sentosa.
Menurut Encik Azhar, 57 tahun, pegawai keselamatan, mereka sempat menangkap beberapa ekor ikan seperti kerapu dan ikan alu-alu atau barracuda sebelum membuat keputusan untuk pulang sekitar 3.40 pagi.
Ketika itu, mereka sudah pun menetapkan laluan pulang menerusi sistem kedudukan sejagat (GPS) dan telah memulakan perjalanan pulang menerusi laluan seperti biasa.
Malah, kata Encik Azhar, lampu pengemudian bot, lampu sauh dan lampu kabin semuanya dalam keadaan menyala, menjadikan bot mereka cukup terang ketika bergerak pulang.
Namun, dalam sekelip mata, semuanya berubah apabila terdengar dentuman kuat.
“Saya cuma dengar dentuman kuat. Apabila saya toleh ke depan, kapal itu sudah berada di atas bot kami,” kata Encik Azhar ketika mengimbas detik cemas itu dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).
Beliau menambah sebelum pelanggaran berlaku, tidak kedengaran sebarang bunyi hon amaran atau isyarat kecemasan.
“Semuanya berlaku terlalu pantas. Apabila saya toleh, memang saya nampak kapal itu sudah menindih bot kami,” ujarnya lagi.
Kesan pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiganya tercampak ke laut.
Encik Azhar dan seorang lagi rakannya yang enggan namanya dikenali, yang ketika itu memakai jaket keselamatan, berjaya menyelamatkan diri.
Namun, Allahyarham Syafidi hilang daripada pandangan sejurus selepas pelanggaran terjadi.
Menurut Encik Azhar, bot kecil mereka tenggelam dengan amat pantas dalam tempoh sekitar satu hingga dua minit sahaja selepas dirempuh.
Keadaan itu, katanya, memaksa beliau dan rakannya segera menjauhkan diri daripada kawasan rempuhan bot itu bagi mengelakkan mereka turut dipukul arus bersama bot yang sedang karam.
Selama kira-kira sejam, Encik Azhar dan rakannya berusaha mencari Allahyarham Syafidi meskipun dalam keadaan gelap, sambil menjerit memanggil namanya dan mengimbas kawasan sekeliling dengan lampu kepala.
Katanya lagi, sebaik sahaja berjaya timbul di permukaan air, perkara pertama yang dilakukan adalah menjerit sambil meminta bantuan kepada kru kapal yang merempuh mereka.
Pada masa yang sama, mereka terus memanggil nama Allahyarham Syafidi, dengan harapan beliau dapat ditemui.
Namun, pencarian awal mereka tidak berhasil.
Mayat Allahyarham Syafidi akhirnya ditemui di perairan Indonesia pada 30 Mac, sebelum selamat dikebumikan pada 5 April.
Selain anggota keluarga yang hadir, sekitar 100 kakitangan Tower Transit Singapore ( TTS) juga mengiringi pengebumian Allahyarham Syafidi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada insan yang disafatkan sebagai seorang yang ringan tulang.
Allahyarham merupakan Penyelia Kejuruteraan di TTS.
Bagi Encik Azhar pula, kehilangan itu bukan sekadar kehilangan seorang teman memancing.
Arwah Syafidi, kata Encik Azhar, merupakan antara anak saudara isterinya yang paling rapat dengannya — hubungan yang terjalin bukan sahaja kerana pertalian keluarga, malah kerana minat yang sama terhadap laut dan dunia memancing.
“Beliau memang jenis handyman. Kalau ada apa-apa rosak, bukan hanya mengenai bot sahaja, malah kalau paip bocor di rumah pun saya boleh panggil dia,” katanya sambil tertawa kecil dengan sebak masih terkesan di dada.
“Kalau bot itu perlukan penyelenggaraan, kebanyakannya beliau yang uruskan. Memang dia orang yang sangat rajin dan boleh diharapkan,” tambahnya.
Malah, kenangan kecil menjelang Hari Raya kini menjadi antara yang paling sukar dilupakan.
Menurut Encik Azhar, antara permintaan terakhir Allahyarham Syafidi adalah untuk menikmati ‘Maggi beriani’, satu hidangan yang tercetus secara bersahaja selepas Allahyarham menginginkan kelainan daripada menu biasa keluarga mereka pada musim Lebaran.
Katanya, isterinya kali pertama mencuba resipi itu khas untuk Allahyarham, dan beliau masih teringat bagaimana Allahyarham Syafidi menikmati makanan itu dengan cukup berselera.
“Beliau amat berpuas hati kerana dapat makan mi beriani itu. Itu antara perkara terakhir yang saya masih ingat sangat tentangnya,” ujarnya.
Tambah Encik Azhar, pada malam kejadian juga, Allahyarham telah menyediakan hampir segala keperluan untuk perjalanan memancing itu, termasuk umpan dan makanan.
“Beliau cakap, ‘Uncle datang saja, semua dah siap’. Biasanya kami kongsi-kongsi, tapi malam itu semua dia uruskan,” katanya, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu kenangan yang sukar dipadamkan.
“Itulah Syafidi yang saya kenali, dan kini hanya tinggal rindu yang amat mendalam,” kongsinya.
Berasal dari Pulau Seraya dan membesar dalam keluarga nelayan, Encik Azhar akur semangatnya untuk kembali memancing belum tentu akan pulih.
Katanya, buat masa ini, beliau sendiri belum tahu sama ada masih mampu turun ke laut seperti dahulu, memandangkan setiap kali teringatkan kejadian itu, bayangan malam berkenaan terus datang semula.
“Buat masa sekarang, saya rasa kalau turun ke laut semula, saya akan teringat balik semuanya,” katanya.
Malah, sambutan Hari Raya tahun ini (2026) juga, menurutnya, terasa seakan-akan tersekat dan tidak semeriah selalu.
“Bagi saya, macam dah tak ada Raya lagi,” katanya.

