Topic followed successfully
Go to BHkuLubuk ikan eksotik di Kepulauan Selatan tarik perhatian meski wujud risiko bahaya
Lubuk ikan eksotik di Kepulauan Selatan tarik perhatian meski wujud risiko bahaya
Pemancing berpengalaman pesan mengenai arus deras, kepentingan keselamatan susulan kejadian ragut nyawa pada lewat Mac
Lubuk ikan eksotik di Kepulauan Selatan tarik perhatian meski wujud risiko bahaya
Perairan di pesisir selatan Singapura telah lama menjadi antara lokasi pilihan ramai kaki pancing tempatan.
Tidak kira mereka yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan hobi menangkap ikan mahupun pemancing mapan yang sudah berpengalaman, kawasan perairan itu sering menjadi tumpuan kerana ia bak lubuk pelbagai jenis ikan dan menawarkan pengalaman memancing yang berbeza berbanding perairan lain di Singapura.
Begitulah pandangan beberapa kaki pancing yang dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Pengasas syarikat penyedia khidmat jelajah memancing sambil menaiki kayak, Fish On SG, Encik Mohammad Nordin Kasmuri, 40 tahun, yang mula memancing sejak sedekad lalu, berkata kawasan itu turut menawarkan pengalaman memancing yang dianggap berbeza berbanding kawasan perairan lain di Singapura, selain kaya dengan aneka spesies ikan.
“Kalau di kawasan lain seperti Pantai Changi, kita biasanya sudah boleh agak jenis ikan yang akan diperolehi, misalnya ikan pari atau siakap.
“Tetapi di perairan luas seperti di Kepulauan Selatan, orang datang dengan harapan untuk dapat ikan yang lebih besar seperti ikan kerapu, ikan merah atau snapper dan pelbagai jenis ikan yang boleh dianggap unik,” ujarnya.
Syarikatnya turut menyelaras sesi riadah memancing secara berkumpulan.
Encik Mohammad Nordin akur walaupun perairan di Kepulauan Selatan menawarkan pengalaman memancing yang lebih memuaskan, ia juga mengundang bahaya dan persekitaran yang sukar dijangka.
Menurutnya, bagi mereka yang kurang mahir atau tidak biasa memancing di perairan itu, arus boleh berubah secara mendadak
Malah baru-baru ini, dua bot terlibat dalam kemalangan antara satu sama lain sehingga mengakibatkan nyawa Encik Chua Muhammad Syafidi Irwan, terkorban setelah arwah didapati hilang dan lemas.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), kemalangan itu berlaku sekitar 4.15 pagi pada 27 Mac, mengakibatkan salah seorang daripada tiga anak kapal dalam salah satu daripada dua bot yang terlibat dilaporkan hilang.
Dua anak kapal lain berjaya diselamatkan dan mereka mengalami cedera ringan.
Jasad Allahyarham Syafidi kemudian ditemui terapung di Pulau Asam di Karimun, Indonesia, pada 30 Mac.
Beliau selamat dikebumikan pada 5 April di Pusara Aman setelah dibawa pulang ke Singapura.
BH melaporkan arwah menerima lesen memandu bot riadah sejak November 2024 dan dibenarkan mengendalikan sebarang bot riadah untuk tujuan bukan komersial.
Sungguhpun demikian, pengendali syarikat memancing A-team SG Fishing, Encik Muhammad Azri Marzuki, menjelaskan perairan Kepulauan Selatan tetap menjadi kawasan popular kerana ia mudah diakses bot riadah.
Beliau berkata kawasan memancing di Kepulauan Selatan meliputi perairan yang luas dan boleh diakses dari beberapa marina di barat dan selatan Singapura.
“Sekitar 3 atau 4 pagi, selalunya memang antara waktu ikan mula cari makan.
“Tambahan pula, kawasan itu mempunyai banyak struktur semula jadi seperti batu dan kawasan berkarang, yang menjadikannya tumpuan pelbagai spesies ikan,” ujarnya.
“Atas sebab itu, ramai pemancing memilih untuk keluar memancing pada waktu tersebut dengan menggunakan bot-bot kecil seperti bot riadah,” tambah beliau.
Ini juga sesuatu yang dikongsi penggemar kegiatan memancing, Encik Iskandar Muhammad, 51 tahun, pengasas kelab memancing, Grupango Fishing Network.
Beliau, yang telah memancing di perairan Kepulauan Selatan selama lebih sedekad, menjelaskan pecutan adrenalina hasil memancing di perairan terbuka, lebih-lebih lagi pada dinihari, membuatnya rasa teruja.
“Keunikan perairan Selatan berbeza daripada kawasan lain kerana ikan-ikannya lebih eksotik dan pengalaman memancing di sana juga lebih menarik,” jelasnya.
Namun demikian, beliau menggesa agar golongan pemancing tidak mengambil sikap sambil lewa dalam mereka berseronok memancing.
Ini memandangkan pengalaman di laut terbuka jauh lebih mencabar berbanding di darat, kerana keadaan boleh berubah dalam sekelip mata, tambahnya.
“Kalau kita berada di atas air, tahap kesedaran kita sebagai seorang pemancing mesti tiga kali ganda lebih tinggi daripada ketika kita berada di jalan raya
“Memancing memang satu hobi menyeronokkan, tetapi yang lebih utama adalah memastikan semua orang dapat pulang dengan selamat,” ujar beliau.
“
“... Di perairan luas seperti di Kepulauan Selatan, orang datang dengan harapan untuk dapat ikan yang lebih besar seperti ikan kerapu, ikan merah atau snapper dan pelbagai jenis ikan yang boleh dianggap unik.”“
“... Kawasan itu mempunyai banyak struktur semula jadi seperti batu dan kawasan berkarang, yang menjadikannya tumpuan pelbagai spesies ikan... ramai pemancing memilih untuk keluar memancing pada waktu tersebut dengan menggunakan bot-bot kecil seperti bot riadah.”“
“Keunikan perairan Selatan berbeza daripada kawasan lain kerana ikan-ikannya lebih eksotik dan pengalaman memancing di sana juga lebih menarik.”
