SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seni awam hidupkan tiang bawah landasan stesen MRT

Seni awam hidupkan tiang bawah landasan stesen MRT

Mar 31, 2026 | 6:19 PM

Seni awam hidupkan tiang bawah landasan stesen MRT

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam serta Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights (Kembangan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) beramah mesra bersama Nur Muhammad Darwish Mohammad Ridzwan, 14 tahun, salah seorang daripada 12 pelajar MINDS Towner Gardens School (TGS) yang menyumbang kepada penghasilan pemasangan seni awam Trainforest di stesen MRT Kembangan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam serta Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights (Kembangan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) beramah mesra bersama Nur Muhammad Darwish Mohammad Ridzwan, 14 tahun, salah seorang daripada 12 pelajar MINDS Towner Gardens School (TGS) yang menyumbang kepada penghasilan pemasangan seni awam Trainforest di stesen MRT Kembangan. - Foto CMG

Laluan sekitar Stesen MRT Kembangan kini tampil lebih berwarna apabila 13 tiang di bawah landasannya di kawasan itu diberi nafas baharu menerusi pemasangan seni awam bertajuk ‘Trainforest’.

Pemasangan yang membawa tema keterangkuman serta menyerlahkan bakat kreatif individu daripada pelbagai keupayaan itu akan dipamerkan selama setahun, bermula 31 Mac.

Karya itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada peluasan inisiatif ‘Art Under Viaduct Spaces (AUVS)’ oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan diuruskan oleh syarikat swasta ‘The Block A Collective’.

Ia juga dihasilkan bersama oleh artis tempatan Cik Nur Aida Sa’ad, atau lebih dikenali sebagai ‘Yellow Mushmellow’, bersama adiknya Cik Nur Aisha Sa’ad, serta 12 pelajar dari Sekolah MINDS Towner Gardens (TGS) berusia antara 10 dengan 15 tahun.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights (Kembangan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir merasmikan pembentangan karya tersebut.

Mengambil ilham daripada makna simbolik nama Kembangan, iaitu ‘berkembang’, setiap tiang menampilkan gabungan unsur alam semula jadi dengan suasana bandar yang sibuk, kata NAC dalam kenyataan media.

Ini sekali gus menghidupkan ruang yang sebelum ini mungkin dipandang biasa oleh orang ramai, tambah mereka.

Menurut Cik Aida, proses menghasilkan karya itu yang bermula daripada peringkat melahirkan konsep ke tahap cetakan, mengambil masa sehingga empat bulan untuk selesai.

“Para pelajar turut diberi peluang mencuba pelbagai bahan seperti pensel warna, cat akrilik, krayon dan pastel lembut untuk menghasilkan lukisan mereka.

“Karya itu kemudian diimbas dan diperhalusi semula secara digital sebelum dijadikan rekaan akhir pemasangan tersebut,” kata beliau.

Beliau berkongsi bahawa pengalaman bekerja dengan kanak-kanak merupakan antara aspek paling bermakna dalam projek itu.

“Kanak-kanak sangat bebas dalam cara mereka meluahkan dan bermain dengan idea. Ia sesuatu yang saya sangat hargai,” katanya.

Maka, beliau berharap pemasangan itu dapat menjadi suntikan warna dan keceriaan dalam perjalanan seharian orang ramai.

Pengarah Perkongsian Masyarakat (Selatan), LTA, Cik Elynn Han, berkata peluasan inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan seni lebih mudah diakses oleh semua.

“Dengan mengubah ruang pengangkutan awam menjadi kanvas seni, kami membayangkan semula ruang biasa sebagai pengalaman budaya yang tidak konvensional dan mampu memperkayakan perjalanan harian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkongsian Strategik dan Libat Urus NAC, Encik Sam Lay pula berkata:

“Seni memiliki kuasa untuk menghimpunkan masyarakat bagi menghasilkan sesuatu yang istimewa, sekali gus memperkayakan kehidupan seharian kita... Kami berharap karya seperti ini dapat mencetuskan detik inspirasi dan hubungan dalam perjalanan harian masyarakat.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg