Topik diikuti
Pergi ke BHkuRindu permainan tradisional cetus ilham hasil podcast warisan Melayu
Rindu permainan tradisional cetus ilham hasil podcast warisan Melayu
Rindu permainan tradisional cetus ilham hasil podcast warisan Melayu
Apabila Muhammad Seto Sulistiyo Nugroho berpindah dari Indonesia ke Singapura, beliau mendapati permainan tradisional Melayu seperti benteng, congkak dan batu seremban, yang lazim dimainkan di kawasan kejiranan di tanah airnya, jarang kelihatan di sini kecuali semasa acara seperti Hari Keharmonian Kaum di sekolah.
Pemerhatian tersebut menjadi ilham kepada pelajar berusia 17 tahun daripada Maktab Rendah Anderson Serangoon (ASRJC) itu bagi menghasilkan podcast, yang turut mengupas bagaimana permainan digital semakin mengubah cara remaja berhibur dan berinteraksi.
Podcast bertajuk, Gegar GenZ, itu membawa mereka meraih tempat ketiga dalam pertandingan sulung Piala Podcast, anjuran bersama Berita Harian (BH) dan Institut Millennia (MI) pada 4 Julai.
Pertandingan tersebut menghimpunkan 36 pelajar prauniversiti daripada sembilan institusi bagi menghasilkan podcast bertema, Remaja dan Melayu.
Pasukan ASRJC itu turut dianggotai Krishna Arivazhagan, Mira Mysarah Mohamad Baghowe, Luqman ‘Aqil Abdul Hamid dan Muhamad Firman Abdullah, kesemuanya 18 tahun, yang tidak dapat hadir pada majlis penyampaian anugerah tersebut.
Seto, yang tiba di Singapura pada 2020 sebelum menyertai sistem persekolahan tempatan tiga tahun kemudian, berkata permainan tradisional di Indonesia masih menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.
“Di Indonesia, permainan tradisional masih dimainkan dengan kerap.
“Kanak-kanak bermain bersama di kawasan kejiranan dan permainan itu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
“Tetapi di Singapura, saya lebih banyak melihat permainan itu ketika acara sekolah.
“Selepas itu, ia seolah-olah disimpan semula sehingga tahun berikutnya,” katanya selaku wakil kumpulan.
Perbezaan itulah yang menjadi titik tolak kepada perbincangan mereka yang membandingkan permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban dengan permainan digital popular seperti Mobile Legends, Fortnite dan Clash Royale.
Namun, teknologi bukan punca sebenar budaya Melayu semakin dipinggirkan.
“Identiti remaja hari ini banyak dipengaruhi oleh trend semasa dan aliran sejagat.
“Jika seseorang mengikut gaya hidup moden atau menghadiri festival muzik, dia dianggap mengikut peredaran zaman.
“Tetapi apabila ada remaja yang bermain permainan tradisional di tempat awam, ia pula dianggap kuno atau memalukan,” kata Seto.
Tanggapan sedemikian perlu diubah kerana permainan tradisional bukan sekadar hiburan, malah menjadi wadah memupuk nilai seperti kesabaran, strategi, toleransi dan interaksi secara bersemuka – sesuatu yang semakin sukar diperoleh menerusi permainan dalam talian.
Pada masa yang sama, mereka tidak menggesa remaja menolak kemodenan.
Sebaliknya, teknologi, kata mereka, boleh dimanfaatkan untuk menghidupkan semula minat terhadap budaya Melayu.
“Kita tidak boleh melawan teknologi. Tetapi kita boleh mengikut arus teknologi untuk melestarikan budaya.
“Remaja Melayu yang mempelajari teknologi maklumat atau reka bentuk grafik boleh menghasilkan aplikasi permainan tradisional dengan elemen moden.
“Kita juga boleh menganjurkan pertandingan congkak atau cabaran capteh melalui media sosial,” katanya.
Di akhir podcast, kumpulan itu merumuskan masa depan budaya Melayu akhirnya bergantung pada pilihan generasi muda sendiri.
“Kita perlu mencari keseimbangan. Kita tidak boleh terlalu menolak kemodenan sehingga hidup dalam dunia digital semata-mata, tetapi pada masa yang sama tidak boleh membiarkan warisan kita hilang begitu sahaja.
“Identiti ialah tanggungjawab kita sendiri.
“Permainan tradisional tidak pernah memalukan. Sebaliknya, perkara sebenarnya memalukan ialah apabila kita membiarkan budaya sendiri pupus tanpa sebarang usaha untuk mempertahankannya,” jelas Seto.