Budaya Melayu tidak pudar, cuma cara generasi muda mengekspresikannya semakin berubah mengikut konteks dunia moden.

Begitulah kesimpulan enam pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, selepas mengupas persoalan identiti Melayu menerusi podcast mereka, Wanita Melayu Terakhir, dan dinobatkan Naib Juara Piala Podcast, anjuran bersama Berita Harian (BH) dan Institut Millennia (MI) pada 4 Julai.

Seramai 36 pelajar prauniversiti daripada sembilan institusi pengajian tinggi menyertai pertandingan itu, yang bertujuan menyediakan wadah kepada pelajar menghasilkan podcast dan mengetengahkan idea mereka, sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi digital.

Pasukan tersebut terdiri daripada pelajar tahun keenam, Maisarah Haziqah Mohamed Fahmy, Nor’Atifah Qeisya Muhammad Syafie, Nur ‘Aisyah Humairaa’ Zulkifle, Nur Darwisyah Mohamad Alnizom dan Sharifah Maryam Syed Mustafa Alsagoff, kesemuanya 18 tahun.

Sebagai contoh, ramai remaja masih mendengar lagu Melayu, memakai pakaian tradisional ketika menghasilkan kandungan di media sosial dan berkongsi makanan serta budaya Melayu di wadah seperti TikTok.

“Banyak lagu Melayu kini masih tersebar, bukan sahaja di Singapura, malah lagu dari Malaysia juga mendapat sambutan di sini dan didengari ramai orang.

“Perkara ini boleh menjadi satu permulaan untuk kekalkan identiti Melayu, terutama apabila lagu Barat, Korea dan lagu yang tular di TikTok kini lebih popular dalam kalangan remaja.

“Namun, identiti Melayu bukan sekadar trend di media sosial.

“Ia juga melibatkan penggunaan bahasa yang betul, adab, budaya serta nilai-nilai yang diamalkan dalam kehidupan harian,” jelas Maryam.

Bagi pasukan ini, Pesta Pecah Panggung, festival anjuran Taman Warisan Melayu, yang menampilkan pelbagai pameran, bengkel budaya, sesi penceritaan wayang kulit serta persembahan tradisional Nusantara, memperkukuhkan misi itu.

Seiringan itu, inisiatif Bulan Bahasa, yang menggalakkan masyarakat menggunakan bahasa Melayu menerusi pelbagai kegiatan seperti penulisan, bengkel budaya dan persembahan teater, turut membantu dalam membangunkan suasana yang menggalakkan penyebaran nilai dan cinta pada bahasa Melayu.

Namun, usaha sedemikian perlu disusuli dengan penglibatan berterusan golongan muda supaya bahasa dan budaya Melayu terus diamalkan dalam kehidupan harian, dan bukan sekadar ketika menghadiri acara tertentu.

“Kalau mereka mahu, mereka akan sertai. Tetapi kalau ramai yang tidak mahu, akhirnya acara itu pun tidak akan mendapat sambutan.

“Apa akan jadi dengan budaya Melayu kalau satu hari nanti generasi akan datang tidak lagi tahu bertutur dalam bahasa Melayu, tidak mengamalkan adat Melayu dan tidak memahami budaya sendiri?

“Budaya Melayu sangat indah. Apabila kita mendalami dan mengenali budaya sendiri, kita akan semakin menghargai dan mencintainya.

“Identiti Melayu bukan sekadar pakaian atau makanan, malah bahasa, nilai, adab dan cara hidup yang kita amalkan,” ujar Maryam.