Topic followed successfully
Go to BHkuNilai kasih sayang keluarga dorong siswi NUS buka niaga minuman dari rumah
Nilai kasih sayang keluarga dorong siswi NUS buka niaga minuman dari rumah
Pemilik hausofhaz tanam tekad jadi usahawan ketika Covid-19, ingin buka gerai ‘pop-up’, kafe mesra keluarga
Nilai kasih sayang keluarga dorong siswi NUS buka niaga minuman dari rumah
Bermula dengan minat kecil menyediakan minuman untuk anggota keluarga, Cik Feliana Hazlan tidak pernah menyangka hobi itu akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan.
Pada usia 22 tahun, mahasiswi tahun ketiga jurusan Sains Data dan Analitik di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu kini mengendalikan perniagaan minuman dari rumah, hausofhaz, yang dimulakan ketika tempoh pandemik Covid-19.
Minuman yang ditawarkan dengan harga antara $5 dengan $8, meliputi latte karamel; vanila dan biskut cip coklat; latte musiman ‘apple spice’ atau campuran rempah-ratus pembangkit rasa pada sajian berasaskan epal; pisang karamel dan ‘gingerbread’ (biskut halia); dan ‘matcha’ madu, strawberi dan puding pisang.
Pada Ramadan lalu, minuman kegemaran ramai untuk berbuka puasa seperti bandung, ‘asam boi’, teh tarik, ‘lychee mojito’ dan ‘watermelon mint lychee’ (minuman tembikai bercampur laici dan pudina) turut dijual.
Cik Feliana, anak bongsu tiga beradik itu dibesarkan dalam keluarga yang menekankan kepentingan pendidikan, disiplin dan khidmat kepada masyarakat.
Dua kakaknya merupakan karyawan komunikasi, manakala ibu bapanya pula ialah guru.
Menurut Cik Feliana, suasana keluarga yang menekankan nilai keikhlasan dan tanggungjawab sosial banyak mempengaruhi cara dirinya berfikir serta pendekatannya dalam kehidupan dan perniagaan.
“Sejak kecil, ibu bapa saya selalu tekankan supaya kami buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan fikir bagaimana perniagaan kami boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Didikan itu, tambahnya, menjadi asas kepada prinsip yang diterapkan dalam perniagaannya hari ini.
Ketika zaman kanak-kanak dan remaja, Cik Feliana sebenarnya lebih cenderung kepada bidang sukan dan pernah bercita-cita menjadi seorang atlet.
Bidang keusahawanan bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.
Namun, sifat ingin mencuba serta kesediaannya menyesuaikan diri membuka ruang memupuk minat baharu.
Minat terhadap penghasilan minuman, menurutnya, bermula secara tidak langsung melalui kenangan menyediakan minuman untuk keluarga di rumah.
Idea untuk menubuhkan hausofhaz tercetus ketika pandemik, apabila pergerakan terhad dan orang ramai terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu.
Bagi Cik Feliana, tempoh itu menjadi peluang untuknya memanfaatkan masa di rumah dan menyalurkan minat kepada sesuatu yang lebih bermakna.
Bermula secara kecil-kecilan, perniagaan tersebut dijalankan sepenuhnya dari rumah dengan Cik Feliana menguruskan hampir semua aspek operasi secara sendiri.
Mengimbangi pengajian universiti dengan perniagaan, bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mudah.
Rutin harian Cik Feliana dipenuhi dengan kuliah, tugasan akademik, penyediaan tempahan pelanggan serta pengurusan media sosial.
Namun, beliau mengakui pengalaman di peringkat maktab rendah dan universiti, termasuk penglibatan dalam peranan kepimpinan, membantunya mengurus masa dan tekanan dengan lebih berkesan.
Latar belakang akademiknya dalam bidang sains data turut memainkan peranan penting dalam pengurusan perniagaan.
Cik Feliana menggunakan pendekatan analitik dan teliti dalam merancang operasi, menilai permintaan pelanggan serta menyusun strategi pemasaran.
“Saya terbiasa melihat sesuatu dari sudut data dan struktur. Ia membantu saya membuat keputusan dengan lebih teratur,” katanya.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi adalah membangun jenama dalam talian yang dapat mendekati pelanggan secara tekal.
Bagi mengatasi cabaran tersebut, Cik Feliana memilih pendekatan menekankan keaslian produk dengan kerap berkongsi proses di sebalik tabir melalui media sosial.
Pendekatan itu bukan sahaja memperlihatkan usaha yang dicurahkan, malah membantu menjalin hubungan lebih dekat dengan pelanggan.
Nama hausofhaz dipilih kerana melambangkan kasih sayang, dan nilai kekeluargaan.
Identiti jenama itu mencerminkan hubungan rapat Cik Feliana dengan keluarganya serta hasrat membina perniagaan yang berteras nilai kemanusiaan.
Dalam jangka panjang, beliau bercita-cita membuka sebuah kafe yang berfungsi sebagai ruang selamat dan mesra masyarakat, bukan sekadar tempat menjual minuman.
Sebagai dorongan untuk terus bertahan, Cik Feliana bergantung pada motivasi dalaman dan luaran.
Minat yang berakar daripada kenangan bersama keluarga menjadi sumber kekuatan, manakala sokongan pelanggan serta insan sekeliling menyuntik semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
Melihat pada masa hadapan, Cik Feliana merancang mendapatkan permit sementara Agensi Makanan Singapura (SFA), perjanjian sewa reruai dan sijil pendaftaran niaga runcit yang diperlukan bagi membolehkannya menyertai acara reruai ‘pop-up’ dan memperluaskan jaringan perniagaannya.
Lebih daripada sekadar menjana pendapatan, beliau berharap hausofhaz dapat berkembang selari dengan nilai perkhidmatan dan sokongan kepada masyarakat.
Kisah Cik Feliana membuktikan dengan ketabahan, kesediaan untuk belajar dan nilai kekeluargaan yang kukuh, minat kecil mampu berkembang menjadi satu usaha bermakna dan berdaya tahan.

