Topic followed successfully
Go to BHkuPergas perkenal program tingkat pemahaman antara agama di S’pura
Pergas perkenal program tingkat pemahaman antara agama di S’pura
Sesi mengenai urus jenazah berbilang agama dijangka disertai asatizah, pemimpin masjid
Pergas perkenal program tingkat pemahaman antara agama di S’pura
Untuk memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan antara agama dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) akan melancarkan inisiatif baharu, ‘Program Sijil Literasi Agama: Memahami Upacara Pengebumian dalam Masyarakat Berbilang Agama’.
Dijadual bermula pada April, program itu bertujuan merapatkan jurang pemahaman masyarakat terhadap amalan keagamaan lain, terutama dalam isu sensitif seperti kematian dan pengurusan jenazah.
Dalam konteks masyarakat majmuk Singapura, interaksi merentas agama sering berlaku, termasuk dalam urusan pengebumian.
Namun, tanpa pemahaman yang jelas, keadaan itu boleh mencetuskan kekeliruan, salah faham atau tindakan yang tidak disengajakan sehingga menyinggung perasaan pihak lain.
Melalui program tersebut, Pergas menyasarkan untuk melengkapkan peserta dengan ilmu terperinci mengenai upacara pengebumian pelbagai agama utama di Singapura.
Golongan sasarannya termasuk asatizah, pemimpin masjid serta pihak berkepentingan dalam masyarakat.
Program sijil lima sesi itu akan dikendalikan oleh pemudah cara daripada sekitar 10 tradisi agama berbeza.
Peserta bukan sahaja didedahkan kepada amalan pengebumian, malah akan mendalami asas teologi dan konteks budaya setiap agama, sebelum menyertai sesi refleksi yang menumpukan kepada penglibatan antara agama dalam konteks Singapura.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa rakan utama termasuk Darul Arqam Singapura dan Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA), selain sumbangan wakil agama lain bagi memperkaya kandungan program.
Turut menyokong usaha tersebut ialah hash.peace, kumpulan sokongan belia yang menggalakkan perpaduan sosial, yang berkongsi amalan terbaik dalam dialog antara agama dan pembinaan keamanan.
Presiden Pergas, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid, berkata program tersebut mencerminkan iltizam berterusan badan itu dalam memperkukuh kecelikan agama serta memupuk interaksi yang lebih hormat antara masyarakat pelbagai kepercayaan.
“Dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan pengebumian agama lain, kami berharap ia dapat menjadi sumbangan kecil tetapi bermakna dalam memperkukuh perpaduan sosial di Singapura,” katanya.
Pelancaran rasmi program itu akan diadakan bersama majlis penyampaian sijil kepada kohort pertama.
Majlis tersebut akan menghimpunkan pemimpin masyarakat, rakan kerjasama dan pihak berkepentingan bagi mengiktiraf sumbangan mereka serta memperkukuh komitmen bersama terhadap keharmonian antara kaum dan agama.
Pergas turut merancang menjadikan program tersebut sebagai inisiatif jangka panjang.
Terdapat kemungkinan ia akan diperluas kepada orang ramai serta pembangunan panduan pengebumian antara agama sebagai rujukan nasional pada masa depan.
“
“Dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan pengebumian agama lain, kami berharap ia dapat menjadi sumbangan kecil tetapi bermakna dalam memperkukuh perpaduan sosial di Singapura.”
