Topic followed successfully
Go to BHkuMasjid Ar-Raudhah jalani kerja naik taraf mula suku ketiga 2026
Masjid Ar-Raudhah jalani kerja naik taraf mula suku ketiga 2026
Muis sedang usahakan tapak solat sementara
Masjid Ar-Raudhah jalani kerja naik taraf mula suku ketiga 2026
Masjid Ar-Raudhah akan melalui kerja naik taraf di bawah Program Peningkatan Masjid (MUP) bermula suku ketiga 2026, dan dijangka siap pada 2028.
Kerja naik taraf itu akan memberi nafas baru kepada masjid di Bukit Batok East itu dan menyediakan kemudahan mesra pengguna buat jemaah.
Bagi memastikan ruang solat yang mencukupi serta mengurangkan gangguan sepanjang tempoh naik taraf, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang berusaha menyediakan tapak solat sementara.
Kerja naik taraf itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap di Perjumpaan Hari Raya Menteri di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.
“Masjid Ar-Raudhah akan dinaik taraf dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memberi nafas baru kepada masjid tersebut, mengoptimumkan ruang solat sedia ada, serta menambah baik kemudahan dan ciri kebolehcapaian demi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” kata beliau.
Dibina pada 1993, Masjid Ar-Raudhah belum pernah menjalani kerja peningkatan besar-besaran sejak itu, kata Muis dalam satu kenyataan pada 10 April.
Muis menambah, dilancarkan pada 2009, MUP tersebut bertujuan memberi nafas baru kepada masjid berkenaan, meluaskan ruang solat, serta menyediakan kemudahan tanpa halangan bagi jemaah.
Antara pencapaian terbaru MUP adalah pembangunan Masjid Darul Makmur di Yishun, yang dibuka semula pada 15 November 2025 dengan kapasiti yang ditingkatkan kepada 4,000 anggota jemaah.
Setakat ini, dua masjid sedang menjalani MUP – Masjid Alkaff Kampung Melayu di Bedok Reservoir dan Masjid Darussalam di Clementi.
Masjid Alkaff Kampung Melayu memulakan kerja naik taraf pada April 2025 dan dijangka siap pada 2027.
Kapasiti masjid juga akan dipertingkat kepada 3,200 anggota jemaah, berbanding 3,000 sekarang ini.
Kerja naik taraf di Masjid Darussalam pula, yang bermula pada September 2025, dijangka selesai pada akhir 2027, manakala kapasiti masjid akan dipertingkat kepada 3,300 anggota jemaah berbanding 3,000 setakat ini.

