Topik diikuti
Pergi ke BHkuJurutera raih inspirasi reka antena alat pendengaran dari adik istimewa
Jurutera raih inspirasi reka antena alat pendengaran dari adik istimewa
Orak langkah positif manfaat teknologi inklusif untuk bantu golongan kurang upaya
Jurutera raih inspirasi reka antena alat pendengaran dari adik istimewa
Hati Cik Aisyah Mazlan mudah tersentuh dengan cabaran dan keperluan seharian golongan kurang upaya kerana membesar dengan adik yang mengalami gangguan perkembangan otak atau ‘schizencephaly’, kondisi yang jarang berlaku.
Keadaan ini menyebabkan pembentukan celah yang tidak normal pada bahagian hemisfera otak adiknya, Ali, 18 tahun.
Daripada pengalaman itu, lahir keinginan Cik Aisyah, 29 tahun, seorang jurutera, menjadikan bidang tugasnya bukan sekadar sebagai laluan kerjaya, tetapi wadah untuk berbakti kepada masyarakat.
Beliau kini merupakan sebahagian daripada pasukan di kemudahan syarikat alat bantuan pendengaran, WSA, yang berpangkalan di Singapura, dan mereka serta membangunkan sistem antena tanpa wayar bagi alat bantuan pendengaran.
Teknologi tersebut membolehkan pengguna berhubung dengan telefon dan peranti lain melalui Bluetooth dengan lebih mudah dan lancar.
“Kalau kita dewasa sebagai orang berupaya, kita rasa semua orang boleh buat perkara yang sama seperti kita.
“Tapi bila adik saya menggunakan kerusi roda, baru saya sedar banyak tempat sebenarnya tidak mudah diakses. Kalau saya tidak melalui pengalaman itu sendiri, saya mungkin tidak akan perasan perkara sebegini,” kata anak sulung dalam keluarga tujuh beradik itu.
Justeru, kehadiran Cik Aisyah sebagai kakitangan WSA pada 2019 adalah tepat pada masanya, ketika penggunaan alat bantuan pendengaran di Singapura menunjukkan peningkatan yang konsisten sepanjang sedekad lalu.
Menurut WSA, kadar penggunaan alat bantuan pendengaran di Singapura dianggarkan meningkat lebih 70 peratus antara 2014 dengan 2024 berdasarkan anggaran dalaman syarikat itu. Peningkatan tersebut didorong sebahagiannya oleh populasi warga emas Singapura yang semakin bertambah dan hidup lebih lama.
“Apabila masalah kehilangan pendengaran berkaitan usia menjadi semakin lazim, kami melihat lebih ramai warga emas mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan pendengaran mereka,” kata Presiden WSA bagi rantau Asia Pasifik, Encik James Benston.
Beliau menambah alat bantuan pendengaran hari ini jauh berbeza berbanding generasi terdahulu kerana tampil dengan reka bentuk lebih kecil, pintar dan mampu disepadukan secara lancar dengan telefon bijak serta peranti digital lain.
“Ia kini lebih mudah digunakan, lebih mesra pengguna dan lebih menarik dari segi reka bentuk berbanding sebelum ini,” kata Encik Benston lagi.
Sepanjang kerjaya Cik Aisyah, beliau telah menyumbang kepada pembangunan inovasi antena yang membawa kepada dua permohonan paten berjaya.
Mengimbas kembali permulaan perjalanannya dalam bidang kejuruteraan, Cik Aisyah yang baru sahaja tamat kursus Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Elektrik di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata minat yang dimilikinya hari ini banyak dipengaruhi oleh cara beliau dibesarkan sejak kecil.
Minat terhadap bidang kejuruteraan mula dipupuk ibu bapanya, dengan bapanya, Encik Mazlan Ismael, 56 tahun, merupakan seorang jurutera elektrikal.
“Kalau alat kawalan jauh di rumah rosak, ayah akan ajak saya cuba baiki bersama-sama. Dari situ saya mula suka meneroka dan belajar perkara baharu,” katanya.
Ibunya, Cik Farah Ahmad, 54 tahun, pula pernah menghadiahkannya set litar elektrik pertamanya ketika beliau berusia sekitar 10 tahun, sekali gus menyemai keyakinan dalam dirinya untuk menceburi bidang kejuruteraan tanpa melihat jantina sebagai penghalang.
Detik seperti itulah yang mendorong beliau mengambil ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU)
Ketika bergelar mahasiswa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Aisyah mengambil inisiatif membangun sistem amaran elektronik khas yang membolehkan pelanggan menekan butang sebelum isyarat dihantar melalui getaran atau lampu berkelip kepada pekerja kurang pendengaran di perusahaan sosial Dignity Kitchen.
“Daripada pengalaman berinteraksi dengan mereka yang kurang pendengaran itu, saya sedar saya memang mahu melakukan sesuatu yang boleh membantu golongan memerlukan, khususnya mereka yang berdepan cabaran pendengaran,” katanya lagi.
Nilai dan pengalaman yang diraih juga yang cuba dikongsi Cik Aisyah sepanjang pengalamannya menjadi mentor pelajar di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
“Sebagai mentor, saya mahu pelajar rasa Matematik dan Sains boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bukan sekadar subjek yang susah atau menakutkan.
“Saya juga mahu pelajar, khususnya pelajar perempuan, melihat bahawa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sesuatu yang mustahil diceburi. Saya bukan seseorang yang meraih biasiswa besar atau melakukan sesuatu yang luar biasa, malah menjalani laluan biasa seperti mereka juga. Jadi kalau saya boleh lakukan, mereka juga boleh,” kata beliau.
