Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu tunggal cekal harungi barah raih Anugerah Ibu Tabah
Ibu tunggal cekal harungi barah raih Anugerah Ibu Tabah
Karyawan kerja sosial di Club Rainbow S’pore tanam tekad buru ijazah di SUSS
Ibu tunggal cekal harungi barah raih Anugerah Ibu Tabah
Sambil anak perempuannya yang berusia empat tahun tekun mewarna di lantai dewan kuliah ibunya, Cik Hartini Karyana pula berdiri di hadapan pensyarah di Institut Khidmat Sosial (SSI) membentangkan tugasan akhirnya sambil berjuang melawan barah, menjaga ibunya yang sakit serta membesarkan anak sendirian.
Bagi wanita berusia 43 tahun itu, detik tersebut menggambarkan realiti kehidupannya sepanjang sedekad lalu, mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pesakit barah dan pelajar tanpa rasa putus asa.
Pada 9 Mei lalu di Hotel Orchard, ketabahannya diiktiraf apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Tabah 2026, anugerah tahunan anjuran Persatuan Ain bagi menghargai ibu-ibu tabah dalam masyarakat Melayu/Islam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh tetamu terhormat, mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.
Cik Hartini dipilih daripada sembilan calon yang disenarai pendek bagi peringkat akhir dan menerima trofi, wang tunai $2,000 serta pakej umrah yang ditaja penuh.
Cik Hartini disahkan menghidap barah buah dada tahap satu yang berpunca daripada faktor genetik pada 2016. Ketika itu, beliau baru membina kerjaya dan keluarga kecilnya.
“Apabila kali pertama mengetahui tentang penyakit ini, saya sangat takut. Saya fikir tentang anak-anak dan sama ada saya sempat melihat mereka membesar,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).
Selepas lapan tahun berada dalam keadaan stabil, barah tersebut kembali menyerang secara agresif pada 2024 ketika beliau sedang melalui proses perceraian dan memulakan pekerjaan baru sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Pathlight.
Dalam satu sesi kemoterapi, jururawat membantu menyediakan komputer riba dan rawatan ‘drip’ di wad supaya beliau dapat menghadiri prosiding mahkamah secara maya.
“Terdapat dua jenis kesakitan yang saya hadapi, fizikal dan emosi.
“Kemoterapi melemahkan badan saya, tetapi pada masa sama, saya juga sedang melalui perceraian,” ujarnya.
Beliau menjalani kemoterapi, radioterapi serta empat pembedahan, termasuk pembedahan membuang ovari dan rahim sebagai langkah pencegahan kerana risiko tinggi mendapat barah ovari.
Dalam tempoh sama, beliau turut mengikuti Diploma Lanjutan dalam Khidmat Sosial di SSI.
Walaupun terpaksa menghentikan pengajian seketika akibat rawatan, beliau berjaya menamatkan pengajian pada November 2025 dan menerima Anugerah Penghargaan Khas daripada institut tersebut atas ketabahannya.
“Ada hari tiada orang menjaga anak, jadi saya bawa anak ke kelas.
“Pensyarah saya memahami keadaan saya dan banyak memberi sokongan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, cabaran hidupnya bertambah apabila ibunya pula disahkan menghidap barah buah dada tahap satu pada 2025.
Namun, beliau tetap meneruskan kehidupan sambil menguruskan rawatan, peperiksaan dan tanggungjawab sebagai ibu.
“Bahagian paling sukar adalah apabila badan saya sakit akibat kemoterapi tetapi anak masih mahu dekat dengan saya.
“Walaupun sentuhan kecil terasa sakit, saya tetap kuat kerana anak saya memerlukan saya,” kata beliau lagi.
Kini, Cik Hartini bertugas sebagai pegawai bersekutu kerja sosial di badan tidak mengaut untung, Club Rainbow Singapore, dan berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang kerja sosial di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Bagi mereka yang melalui cabaran serupa, pesanan beliau ringkas: “Jangan berputus asa. Bangun setiap hari dan lakukan yang terbaik. Dengan doa, sokongan dan ketabahan, segala kemungkinan itu ada.”
