Jenama pakaian dari Sweden, H&M telah memberhentikan pekerja di Singapura sedang ia memindahkan ibu pejabat Asia Tenggara dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Ini diumumkan secara rasmi kepada kakitangannya pada 11 Mei, menurut laporan media di Malaysia.

Pejabat di Singapura menanggung paling banyak pemberhentian kerja, dengan hampir 80 pekerja terjejas daripada keseluruhan 256 pekerja serantau, lapor Malay Mail.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, H&M Singapore berkata ia sedang memberi sokongan sepenuhnya kepada kakitangan dalam sebarang perubahan pertubuhan, tetapi tidak memberi butiran lebih terperinci.

Ia juga enggan berkongsi jumlah pekerja atau jenis jawatan yang terjejas.

“Kami sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan agar perkhidmatan kami disesuaikan dengan jangkaan pelanggan.

“Sebahagian daripada usaha ini bermakna kami menyemak secara tetap bagaimana kami bekerja untuk memastikan pertubuhan kami kekal fleksibel, berkesan dan pantas bergerak,” kata H&M.

Menambah, syarikat itu berkata Singapura kekal sebagai pasaran penting dan ia akan terus mempunyai pejabat di sini.

“Kami akan terus mengekalkan kehadiran runcit kami di sini, mencerminkan komitmen jangka panjang kami,” kata syarikat itu.

H&M memasuki pasaran setempat pada 2011, apabila ia membuka cawangan pertama di Somerset.

Kedai dua tingkat di Ion Orchard ditutup pada Mac 2023 selepas lebih sedekad beroperasi.

Cawangan di Tampines Mall ditutup pada Ogos 2020, sementara cawangan di Waterway Point di Punggol ditutup pada Januari 2021.

Buat masa ini, H&M masih mempunyai enam cawangan di sini.

Dalam kenyataannya pada 15 Mei, Kesatuan Pekerja Buruh dan Perdagangan Singapura (SMMWU) berkata H&M ialah syarikat yang tidak diwakili kesatuan sekerja, tetapi ada kemungkinan pekerjanya menjadi anggota SMMWU.

“NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) dan SMMWU bersedia menawarkan bantuan dan sumber untuk membantu anggota kami dan pekerja beralih ke peluang pekerjaan baru dan menyediakan sokongan kewangan jika ini diperlukan,” kata Setiausaha Agung SMMWU, Encik Andy Lim.

Menambah, Encik Lim berkata semua syarikat, termasuk yang tidak diwakili kesatuan pekerja, digalakkan bekerjasama dengan kesatuan sekerja untuk menawarkan sokongan lebih baik kepada pekerja semasa tempoh peralihan.