SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Harga ternakan ditawar SalamSG bagi ibadah korban naik sedikit

Harga ternakan ditawar SalamSG bagi ibadah korban naik sedikit

Ini meskipun terdapat kenaikan kos berkaitan dengan haiwan korban itu di Australia
Apr 9, 2026 | 8:36 PM

Harga ternakan ditawar SalamSG bagi ibadah korban naik sedikit

Harga kambing, domba (kibas), lembu yang ditawarkan SalamSG Korban bagi musim korban kali ini hanya meningkat sedikit, meskipun terdapat kenaikan kos berkaitan dengan haiwan korban itu di Australia.

SalamSG Korban yang bertanggungjawab di sebalik upacara korban di Singapura, menawarkan seekor kambing pada harga $365 manakala seekor domba (kibas) dan sepertujuh bahagian lembu ditetapkan dengan harga $370, masing-masing.

Harga yang ditetapkan pada 2026 merupakan satu peningkatan sebanyak $5 berbanding dengan 2025.

Berita Harian melaporkan pada 2025 bahawa harga domba (kibas) dikekalkan pada $360 seekor sejak 2023, sementara harga seekor kambing dan sepertujuh bahagian lembu turun sedikit – daripada $375 pada 2024 dan $380 pada 2023.

Selain itu, pemeriksaan Berita Harian (BH) menunjukkan bahawa penyedia khidmat korban persendirian yang menawarkan korban dari Australia pada 2026 terpaksa menaikkan harga seekor kambing kepada $389 ekoran peningkatan dalam harga minyak disebabkan perang di Iran.

Beberapa penyedia perkhidmatan korban persendirian itu telah menaikkan harga pakej mereka, dan mungkin akan meningkatkan harganya lagi bergantung pada keputusan pembekal dari Australia.

Mengulas mengenai ibadah korban Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata masyarakat Melayu/Islam akan terus berpeluang untuk turut serta dalam ibadah korban yang berpatutan, diyakini, dan mudah diakses.

“Menjelang Hari Raya Haji, saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa 55 masjid di seluruh Singapura akan menawarkan perkhidmatan ibadah korban di dalam dan luar negara.

“Ini bermakna lebih ramai anggota masyarakat kita berpeluang untuk turut serta dalam ibadah korban pada harga yang lebih berpatutan, diyakini, dan mudah diakses bagi mereka yang ingin menunaikannya di Singapura.

“Inisiatif korban luar negara SalamSG akan terus dilaksanakan di 51 masjid,” kata Dr Faishal dalam video yang dimuat naik di Facebook pada 9 April.

Tiga jenis ternakan – kambing, domba (kibas), lembu – ditawarkan, dengan setiap proses pelaksanaan mematuhi syarat-syarat Islam serta undang-undang keselamatan makanan.

Dr Faishal menambah SalamSG akan terus memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam secara lebih meluas.

Hasil korban akan menyokong masjid-masjid tempatan, manakala daging korban pula akan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan dan penerima zakat di Singapura.

“Saya menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah korban, sekiranya berkemampuan.

“Semoga ibadah ini terus mencerminkan nilai-nilai junjungan SalamSG – kesyukuran atas nikmat yang diberikan, kesopanan dalam berkongsi, dan kesantunan terhadap mereka yang memerlukan, InsyaAllah,” ujar Dr Faishal.

Hari Raya Aidiladha 2026 dijadualkan jatuh pada 27 Mei.

Pendaftaran ibadah korban Hari Raya Aidiladha dibuka dari 9 April hingga 22 Mei.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg