Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal: Penubuhan SCIS teruskan aspirasi masyarakat
Faishal: Penubuhan SCIS teruskan aspirasi masyarakat
Selama bertahun masyarakat mengharapkan satu laluan berteraskan tradisi agama dan dibentuk mengikut konteks S’pura
Faishal: Penubuhan SCIS teruskan aspirasi masyarakat
Berikut ucapan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di sesi pertemuan bersama pelajar Madrasah Prauniversiti 1 dan 2 setempat mengenai Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) di Kampus Bencoolen SCIS, dekat Masjid Bencoolen, pada 12 Mei.
Saya amat gembira melihat begitu ramai pelajar madrasah kita berkumpul di sini.
Kebanyakan daripada anda berada di titik penting dalam perjalanan pendidikan anda.
Selepas bertahun-tahun membina asas di madrasah, anda mungkin bertanya: Apa yang akan datang selepas ini?
Ke mana saya boleh pergi selepas ini?
Bagaimana saya boleh meneruskan pembelajaran, dan bagaimana saya boleh berbakti kepada masyarakat dengan bermakna?
Ini adalah soalan-soalan yang penting.
Itulah sebabnya sesi perkongsian hari ini mengenai Kolej Pengajian Islam Singapura, atau SCIS, amat bermakna.
SCIS telah menjadi aspirasi lama masyarakat kita.
Selama bertahun-tahun, asatizah, pendidik madrasah, ibu bapa, dan pemimpin masyarakat kita telah mengharapkan satu laluan di mana pembelajaran Islam dapat diteruskan ke peringkat lebih tinggi, berteraskan tradisi agama kita dan dibentuk mengikut konteks Singapura.
Generasi ulama terdahulu, antaranya Syeikh Maqsud Faris al-Azhari dan Ustaz Pasuni Maulan, telah lama percaya bahawa umat Islam Singapura berhak mempunyai institusi pengajian tinggi Islam milik kita sendiri.
Aspirasi ini tidak bermula hari ini, dan ia bukan milik seorang individu atau satu generasi sahaja.
Encik George Yeo menyokong idea kolej Islam tempatan seawal 1990-an.
Pada 2016, mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, membawa aspirasi ini ke dalam agenda nasional.
Menteri Masagos Zulkifli kemudian meneruskan usaha ini dengan menyediakan struktur dan kerjasama bagi SCIS.
Hari ini, di bawah Muis, Mufti, dan Jawatankuasa Pemandu SCIS, kita sedang mengambil langkah penting seterusnya: menukar aspirasi lama ini kepada laluan ijazah sarjana muda yang jelas untuk pelajar seperti anda, dengan pengambilan pelajar pertama dirancang pada 2028.
SCIS direka untuk memberi pelajar asas yang kukuh dalam ilmu agama, di samping membina kemahiran praktikal dalam komunikasi, penyelidikan, literasi digital, kaunseling, kefahaman sosial, dan penglibatan masyarakat.
Pada dua tahun pertama, pelajar akan membina asas bersama dalam bidang keilmuan Islam, bahasa Arab, dan Sains Sosial.
Mulai tahun ketiga, pelajar boleh memilih antara dua laluan luas.
Bagi mereka yang ingin mendalami Pengajian Islam, terdapat bidang seperti Syariah, Teologi, dan Al-Quran dan Sunah, dengan pengkhususan seperti Pengajian Fatwa, Pengajian Al-Quran, dan Pengajian Antara Agama.
Bagi mereka yang berminat dalam Sains Sosial, terdapat bidang seperti Psikologi, Kaunseling, dan Kerja Sosial, dengan pengkhususan seperti Belia dan Kanak-kanak, serta Psikologi Organisasi.
Ini bermakna, SCIS bukanlah satu laluan yang sempit.
Ia memberi anda pilihan.
Ada yang mungkin ingin menjadi asatizah.
Ada yang mahu mengajar.
Ada yang mungkin berminat dalam bidang kaunseling, kerja belia, pembangunan masyarakat, perkhidmatan sosial, atau dasar awam.
Bagi anda yang mungkin masih belum pasti, itu tidak mengapa.
SCIS direka untuk membantu anda meneroka kemungkinan ini sambil tetap berpegang teguh pada ilmu dan nilai Islam.
SCIS juga akan memberi pendedahan kepada pelajar di luar Singapura.
Pelajar boleh menantikan peluang penghayatan di luar negara dengan institusi rakan kerjasama seperti Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, dan Universiti Jordan.
Asas anda akan dibina di sini di Singapura, untuk konteks Singapura.
Namun, anda juga akan berpeluang belajar daripada pusat keilmuan Islam yang terkemuka di luar negara.
Maka, ini bukan soal memilih antara pembelajaran tempatan atau luar negara.
SCIS bertujuan memberikan pelajar yang terbaik daripada kedua-duanya – asas Singapura yang kukuh, dengan pendedahan antarabangsa yang bermakna.
Saya juga tahu bahawa pelajar dan ibu bapa akan mempunyai soalan-soalan praktikal.
Berapakah yuran pengajiannya?
Adakah biasiswa disediakan?
Apakah sokongan yang akan tersedia?
Ini adalah soalan yang wajar.
Muis sedang memperincikan butirannya dengan teliti.
Namun komitmennya jelas: SCIS mestilah boleh diakses oleh pelajar yang layak.
Latar belakang kewangan tidak seharusnya menghalang pelajar yang berkebolehan untuk mengikuti laluan ini.
Sokongan melalui biasiswa, dermasiswa, dan skim lain akan disediakan, dan butiran lanjut akan dikongsi sebelum pendaftaran dibuka.
Ramai di antara anda mungkin tertanya-tanya: Apa yang akan berlaku selepas saya tamat pengajian?
Lulusan SCIS akan menerima pengiktirafan Peringkat 1 di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Ini bermakna, lulusan SCIS akan diiktiraf sebagai asatizah yang berkelayakan tanpa perlu melalui Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), kerana kurikulum SCIS sudah disesuaikan dengan konteks Singapura.
Namun, SCIS bukan hanya untuk mempersiapkan pelajar bagi peranan di masjid atau madrasah.
Kemahiran yang anda bina – dalam penyelidikan, komunikasi, pemikiran kritis, literasi digital, dan pemahaman masyarakat – boleh menyokong pelbagai bentuk perkhidmatan.
Ini termasuk bimbingan agama, pendidikan, kerja belia, kaunseling, pembangunan masyarakat, perkhidmatan sosial, perkhidmatan awam, dan bidang lain di mana masyarakat kita memerlukan individu yang berkebolehan dan berpendirian teguh.
Saya berharap anda akan menggunakan sesi hari ini dengan sebaiknya.
Tanya tentang kursus yang ditawarkan. Tanya tentang laluan kerjaya. Tanya tentang program penghayatan luar negara.
Tanya tentang sokongan yang ada.
Tanya tentang pilihan kerjaya.
Tanya apa yang perlu anda mulakan untuk bersiap sedia dari sekarang.
SCIS dibina dengan memikirkan generasi anda.
Anda bukan sekadar belajar tentang institusi baharu hari ini.
Anda sedang belajar tentang laluan yang boleh membentuk bagaimana anda membesar, bagaimana anda berbakti, dan bagaimana anda menyumbang kepada masa depan masyarakat kita.
Apa jua jalan yang anda pilih, saya berharap anda akan mengejarnya dengan keikhlasan, tujuan yang jelas, dan amanah.
“
“Generasi ulama terdahulu, antaranya Syeikh Maqsud Faris al-Azhari dan Ustaz Pasuni Maulan, telah lama percaya bahawa umat Islam Singapura berhak mempunyai institusi pengajian tinggi Islam milik kita sendiri. Aspirasi ini tidak bermula hari ini, dan ia bukan milik seorang individu atau satu generasi sahaja. Encik George Yeo menyokong idea kolej Islam tempatan seawal 1990-an. Pada 2016, mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, membawa aspirasi ini ke dalam agenda nasional. Menteri Masagos Zulkifli kemudian meneruskan usaha ini dengan menyediakan struktur dan kerjasama bagi SCIS. Hari ini, di bawah Muis, Mufti, dan Jawatankuasa Pemandu SCIS, kita sedang mengambil langkah penting seterusnya: menukar aspirasi lama ini kepada laluan ijazah sarjana muda yang jelas untuk pelajar seperti anda, dengan pengambilan pelajar pertama dirancang pada 2028.”