Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar SCIS ditawarkan dua laluan pengajian pada tahun ketiga, program luar negara
Pelajar SCIS ditawarkan dua laluan pengajian pada tahun ketiga, program luar negara
Pelajar SCIS ditawarkan dua laluan pengajian pada tahun ketiga, program luar negara
Pelajar yang mengikuti program ijazah sarjana muda di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) berpeluang untuk memilih antara dua laluan – Pengajian Islam atau Sains Kemasyarakatan – apabila mereka memasuki tahun ketiga pengajian, kata Pengarah Kanan di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustazah Farah Aljunied.
Memberi perincian lanjut tentang program yang bakal ditawarkan, Ustazah Farah, berkata bidang yang tersedia di bawah laluan Pengajian Islam termasuk Syariah, Usuluddin, atau Al-Quran dan Sunnah.
Manakala, laluan Sains Kemasyarakatan pula merangkumi bidang seperti psikologi, kaunseling, dan kerja sosial.
Di samping itu, pelajar juga berpeluang menjalani program penghayatan atau immersion programme pada tahun ketiga mereka, di tiga universiti Islam luar negara yang akan bekerjasama dengan SCIS bagi program sarjana muda tersebut, tambah Ustazah Farah.
Mereka berpeluang ke Universiti Jordan, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, atau Dar al-Ifta di Mesir selama sekitar satu penggal pengajian untuk mengikuti kursus yang telah mereka pilih, serta berinteraksi dengan masyarakat Islam di sana sekali gus mempraktikkan bahasa Arab.
Demikian antara beberapa perkembangan mengenai kurikulum SCIS yang dikongsikan bersama lebih daripada 70 pelajar madrasah Prauniversiti 1 dan 2 tempatan di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, berdekatan Masjid Bencoolen, pada 12 Mei.
Ia turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; dan Timbalan Ketua Eksekutif, Muis, Dr Albakri Ahmad.
Mengulas mengenai program penghayatan itu, Ustazah Farah berkata:
“Apa yang kita harapkan ialah ketika pelajar di sana, mereka dapat mengikuti kursus yang dipilih untuk menambah atau memperkukuh pengkhususan mereka.
“Insya-Allah di SCIS, pelajar akan tetap belajar dalam bahasa Arab dan juga ada juga pelajaran dalam bahasa Inggeris tetapi apa yang kami ingin pastikan ialah (menerusi program penghayatan itu), mereka tidak ketinggalan dalam kemahiran bertutur dalam bahasa Arab.”
Sementara itu, menjelaskan mengenai dua laluan tersebut, Ustazah Farah berkata ia ditawarkan selepas pelajar melalui dua tahun pertama yang disifatkan sebagai ‘Asas SCIS’, di mana pelajar akan diasah dengan kemahiran bahasa Arab terutamanya dalam membaca teks Islam klasik dan kontemporari.
Ia berserta memperkenalkan pelajar dengan prinsip agama utama dan cara mengaplikasikan teks agama terhadap masalah zaman ini.
Beliau berkata:
“Dua tahun ini diketengahkan kerana ingin memastikan pelajar mempunyai segala yang diperlukan untuk melangkah lebih jauh.
“Ini penting apabila pelajar melakukan pembacaan dan penyelidikan sendiri, serta apabila pelajar ingin menerapkan pembelajaran anda.”
Katanya, ini agar pelajar tidak hanya sekadar ambil daripada buku, sebaliknya berfikir tentang bagaimana boleh menerapkan ilmu tersebut kepada sesuatu masalah atau kes yang dikemukakan.
Jika pelajar memilih untuk meneruskan pengajian di laluan agama, mereka boleh memilih bidang kepakaran mereka termasuk pengajian Fatwa, Al-Quran, atau pengajian antara agama.
Sementara itu, bagi mereka yang memilih laluan sains kemasyarakatan pula boleh mendalami bidang seperti antaranya belia dan kanak-kanak, psikologi organisasi, dan penjagaan warga emas.
Walau apapun laluan yang mereka pilih, lulusan program sarjana muda SCIS akan tetap meraih Peringkat 1 Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Bercakap kepada wartawan usai sesi pertemuan itu, Ustazah Farah berkata:
“Pada dua tahun pertama pelajar akan mempelajari pengajian Islam klasik, di mana mereka akan diberikan alat ataupun mengikuti program yang akan memastikan pemahaman agama mereka kukuh.
“Pada masa yang sama, sekiranya mereka ikuti laluan sains kemasyarakatan, mereka juga akan ada tutorial di kolej supaya mereka dapat memahami pembelajaran tersebut daripada pandangan agama.”
Selain daripada pengajian di dalam kelas, SCIS juga akan menawarkan beberapa program di luar kelas agar pengajian pelajar tidak hanya terhad kepada perkara di sekolah, tetapi sesuatu yang dapat mengembangkan lagi kemahiran dan pembangunan diri pelajar, kongsi Ustazah Farah.
Antaranya ialah program halaqah, di mana pelajar berpeluang untuk berinteraksi dengan dekat bersama cendekiawan agama dari luar negara di sini.
“Apa yang kita harapkan ialah dengan adanya hubungan yang kuat di antara Muis, SCIS, dengan cendekiawan agama di luar negara, kami boleh bawa mereka masuklah.
“Pelajar tidak hanya mengikuti ceramah, tetapi dapat berbincang, bersoal jawab dengan syuyukh (cendekiawan agama) dengan lebih intim.
“Ini akan menguatkan lagi pembelajaran mereka dan memberikan mereka akses langsung kepada cendekiawan ini,” tambahnya.
Antara program yang dapat dimanfaatkan pelajar bersama cendekiawan itu ialah hafalan Al-Quran dan hadith, serta mempertingkatkan kerohanian.
Selain itu, pelajar boleh menjalani program latihan amali dalam bidang berdasarkan pengajian mereka.
Sebagai contoh, pelajar yang mengambil jurusan Syariah berpeluang menjalani latihan amali bersama Jawatankuasa Fatwa atau menyertai Fatwa Lab, sementara mereka yang mengikuti laluan sains kemasyarakatan, boleh meraih manfaat daripada badan perkhidmatan keluarga.
Ustazah Farah menambah ini bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman dan pembelajaran mereka.
Beberapa pelajar yang hadir turut meluahkan rasa kepuasan dapat mengetahui mengenai kurikulum dan laluan yang disediakan dalam SCIS.
Antaranya, Sukaynah Jumadi, pelajar Pra-Universiti Satu di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, yang berkata:
“Setelah saya mendapat tahu tentang kurikulum yang akan disediakan di SCIS, saya percaya bahawa kolej ini adalah sebuah batu locatan bagi pelajar untuk berdepan dengan masalah kontemporari atau moden dan mencari solusi bagi masalah dalam konteks Singapura.”
Beliau turut mengalu-alukan program halaqah yang memastikan hubungan yang lebih rapat antara pelajar dengan guru dapat diadakan serta mendapat ilmu atau pengetahuan yang lebih kredibel.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Uzair Hasan, pelajar Pra-Universiti Satu dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, pula berkata program penghayatan itu dapat memberi pelajar ilmu yang lebih dalam dan tepat.
