Topic followed successfully
Go to BHkuComLink+ bantu keluarga berpendapatan rendah bangkit, maju
ComLink+ bantu keluarga berpendapatan rendah bangkit, maju
ComLink+ bantu keluarga berpendapatan rendah bangkit, maju
Dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah kini diperkukuh bukan sekadar untuk membantu mereka dalam masa jangka pendek tetapi untuk bangkit dan maju.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menegaskan pendekatan baharu melalui ComLink+ memberi tumpuan kepada pemerkasaan keluarga secara menyeluruh.
“Kita bukan sekadar ‘menangkap’ mereka apabila mereka jatuh, tetapi bantu mereka bangun dan bangkit,” katanya dalam podcast BHerbual, Berita Harian (BH) yang antara lain membincangkan cabaran dan peluang yang dihadapi pekerja, termasuk pekerja berpendapatan rendah.
Menurut beliau, sebahagian keluarga – termasuk dalam masyarakat Melayu/Islam yang mungkin berdepan cabaran sosioekonomi tertentu – sering kekurangan akses kepada rangkaian dan maklumat tentang peluang pekerjaan.
“Mereka mungkin tidak tahu apa yang mereka tidak tahu… sektor mana yang ada peluang,” jelasnya.
Peranan M³, masjid dan rakan setempat
Pendekatan ini selari dengan usaha lebih luas melibatkan rangkaian masyarakat seperti M Kuasa Tiga (M³), iaitu Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), selain institusi masjid yang turut berperanan penting sebagai jambatan sokongan.
Melalui pendekatan whole-of-society atau seluruh masyarakat, keluarga bukan sahaja dibantu oleh agensi pemerintah, tetapi juga rakan masyarakat yang memahami konteks budaya dan cabaran setempat.
Di bawah ComLink+, jurulatih keluarga bekerjasama dengan agensi pekerjaan seperti Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta rakan masyarakat, untuk membimbing keluarga keluar daripada lingkaran kesusahan.
Tangani realiti sebenar
Encik Zhulkarnain menekankan bahawa cabaran utama bukan sekadar kekurangan kemahiran, tetapi realiti harian yang dihadapi keluarga.
“Ada pengorbanan kewangan. Kalau mereka pergi kursus, mereka hilang pendapatan harian,” katanya .
Justeru, skim di bawah ComLink+ direka untuk mengurangkan tekanan ini, termasuk sokongan kewangan semasa menjalani latihan dan insentif sehingga $500 setiap tiga bulan, bagi mereka mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan.
“Ini bukan sekadar dapat kerja, tetapi juga meningkatkan kemahiran dalam pekerjaan itu,” tambah beliau.
Kesihatan, anak turut diberi perhatian
Dalam masyarakat Melayu/Islam khususnya, isu seperti kesihatan keluarga dan penjagaan anak sering menjadi faktor penentu keupayaan ibu bapa untuk bekerja.
Mengambil kira hal ini, ComLink+ turut menyepadukan sokongan kesihatan, termasuk pengurusan penyakit kronik, serta bantuan penjagaan pelajar.
Dalam pada itu, had kelayakan subsidi penjagaan pelajar juga dinaikkan kepada $6,500 sebulan, membolehkan lebih ramai ibu bapa terus bekerja tanpa menjejaskan kebajikan anak-anak.
Mobiliti sosial bukan kebergantungan
Pendekatan ini bertujuan mengubah trajektori kehidupan keluarga, daripada kebergantungan kepada berdikari dan seterusnya mobiliti sosial.
Encik Zhulkarnain menegaskan bahawa usaha ini bukan hanya tentang bantuan jangka pendek.
“Kita mahu mereka bukan sekadar menakat, tetapi benar-benar maju dan berkembang sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Dalam konteks masyarakat Melayu/Islam Singapura, pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan tiada keluarga tercicir, dan setiap individu diberi peluang untuk membina masa depan yang lebih stabil, bermaruah serta berdaya tahan, tambah beliau.

