Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas guru buka ladang ayam di Australia
Ternak 1,800 ekor ayam, hasilkan hingga 1,400 telur sehari
Bekas guru buka ladang ayam di Australia
Seorang bekas guru dan seorang bekas penuntut madrasah memilih untuk keluar daripada zon selesa bagi membuka perniagaan mereka sendiri. Berita Harian (BH) memaparkan kecekalan dua individu berkenaan yang cuba mencabar diri sendiri selaku usahawan.
Lebih dua dekad Sheik Taleb Sheik Husain Bamadhaj, 56 tahun, telah mendedikasikan hidupnya mendidik di dalam bilik darjah dan dewan kuliah – sama ada ketika di Singapura mahupun selepas berhijrah ke Melbourne, Australia pada 2004.
Namun, apabila melangkah ke ladang, Blue Valley Farms, seluas 2.02 hektar di Little River, Melbourne, yang dimilikinya bersama isteri, tiada lagi gema loceng sekolah atau gelagat pelajar kedengaran.
Sebaliknya, ladang bersaiz hampir tiga padang bola itu dihidupkan dengan kokokan 1,800 ekor ayam ternakan bebas bersama ratusan telur.
Sewaktu Sheik Taleb dan isterinya, Cik Zufaidah Juri, 55 tahun, seorang guru Matematik di sebuah sekolah menengah mengambil alih ladang yang pernah berdepan kemerosotan itu pada Jun 2026, mereka melihat potensi untuk memperkukuh keterjaminan makanan di saat dunia berdepan krisis geopolitik.
Namun yang lebih utama, tempat itu dilihat sebagai satu perlindungan.
Berbekalkan tekad untuk membina masa depan yang lestari serta suasana yang menyembuhkan buat empat anak lelaki mereka – yang kesemuanya pernah didiagnosis mempunyai autistik ketika kecil – bekas pendidik asal Singapura itu sanggup meninggalkan dunia perguruan demi menceburi bidang pertanian.
Sheik Taleb, memberitahu Berita Harian (BH), bahawa konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat yang tercetus pada awal 2026 menjadi titik tolak baginya untuk mula membuat perancangan seterusnya.
Bapa empat orang anak lelaki itu menjelaskan bahawa meskipun pengeluaran makanan secara keseluruhannya masih stabil di tengah-tengah konflik sejagat, produk asas tetap menjadi keperluan paling utama.
Beliau percaya perniagaan sedemikian mampu menampungnya.
“Jika kita lihat daripada sudut geopolitik dan alam sekitar, kita kini berada pada satu era di mana sumber asas semakin terhad, dan tiada yang lebih asas daripada ayam dan telur.
“Daripada telur yang kami hasilkan dan jual ini, orang ramai boleh menjadikannya pelbagai jenis makanan mengikut keperluan mereka,” kata beliau yang kini merupakan warga Australia.
Sebelum berhijrah ke Melbourne pada 2004, Sheik Taleb merupakan seorang guru Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani (PE) di dua sekolah menengah di Singapura dari 2000 hingga 2003.
Apabila membina kehidupan baharu di Melbourne, beliau meneruskan minat dalam bidang perguruan dengan mengajar di sekolah menengah dan sekolah agama tempatan selama dua tahun.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai pendidik selama 19 tahun bagi para kakitangan awam Australia – termasuk sembilan tahun sebagai pensyarah Bahasa Melayu dan Indonesia.
Sheik Taleb kemudian dilantik sebagai Ketua Pembelajaran Campuran bagi membantu latihan pelbagai bahasa bagi kakitangan awam itu.
Selepas meninggalkan bidang perguruan, Sheik Taleb dan isterinya, Cik Zufaidah, tekun menimba ilmu tentang pertanian kerana tiada sebarang pengalaman mengenainya.
“Kami memang mencintai alam, namun mengusahakannya sendiri adalah satu cabaran yang berbeza.
“Kami bersyukur sempat menimba ilmu selama dua minggu daripada pemilik asal, selain memanfaatkan pengalaman hidup, maklum balas pengunjung, serta petunjuk Allah swt,” imbau beliau.
Beliau menambah, pada awalnya, keadaan 1,800 ekor ayam di situ agak menyedihkan.
Akibat diet bijirin semata-mata, ayam mengalami keguguran bulu dan tekanan, hingga pengeluaran telur merosot ke 700 biji sehari.
Selepas Sheik Taleb memperbaharui diet mereka dengan sayur-sayuran, buah-buahan, dan yogurt, kesihatan ayam meningkat sekali gus melonjakkan hasil telur kepada 1,000 hingga 1,400 biji sehari.
Hasil telur dijual terus kepada pelanggan, kafe, serta di Masjid Besar Melbourne setiap Jumaat yang menjadi sumber jualan utama mereka.
“Kami biasanya membuka reruai sekitar 11 hingga 11:30 pagi.
“Memandangkan solat Jumaat di sini mempunyai tiga sesi, ramai pelanggan tetap akan singgah di selang masa tersebut,” kongsinya.
Ladang itu turut menempatkan dua ekor kuda serta tiga ekor alpaka, di samping menawarkan pakej lawatan untuk pengunjung mendampingi alam.
Ladang tersebut turut dijadikan wadah buat anak keempatnya, Sheik Badr’Ullah Ibnu Sheik Taleb, 20 tahun, yang mempunyai autisme dan sukar bercakap, untuk mendampingi alam demi kesihatan fizikal dan mental melalui kegiatan harian.
“Kami selalu mengajaknya memberi ayam makan, mengutip telur, mengangkat barang di ladang, atau sekadar bersiar-siar mengambil angin,” kata Sheik Taleb.
Selain itu, pengurusan ladang turut dibantu anak ketiganya, Sheik Basir’Ullah Ibnu Sheik Taleb, 21 tahun, selaku Pengurus Ladang selepas meraih ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan Antarabangsa di Universiti Institut Teknologi Royal Melbourne (RMIT) pada 2025.
Sementara itu, dua anak sulungnya, Sheik Bishr’Ullah Ibnu Sheik Taleb, 25 tahun; dan Sheik Bashaar’Ullah Ibnu Sheik Taleb, 23 tahun; masing-masing kini menuntut di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Perisian di Universiti RMIT dan Sains Paramedik di Universiti Victoria.
Apabila ditanya mengenai kepuasan mengendalikan ladang tersebut, beliau mengakui gembira melihat kanak-kanak teruja menikmati alam semula jadi berbanding terikat pada skrin.
“Pencapaian terbesar saya ialah melihat kanak-kanak berlari riang bersama ayam di sini.
“Pada era digitalisasi ini, bukan mudah untuk buat mereka teruja… lihat kanak-kanak ini ke pangkuan alam memberikan kepuasan yang luar biasa.
“Ibu bapa mereka turut gembira kerana ia menggamit nostalgia zaman kanak-kanak serta kenangan bersama ibu bapa atau datuk nenek mereka,” ujar beliau sambil menyifatkan suasana di ladang ayam sentiasa mendidik jiwa agar sentiasa merendah diri.
Dengan adanya ladang itu, Sheik Taleb berhasrat menubuhkan institusi agama sendiri yang menumpukan pada sukan sunah satu hari nanti.
“Ini merangkumi usaha memperkenalkan gaya hidup Muslim di luar bandar, dengan menumpukan pada bimbingan jiwa menerusi kegiatan seperti menunggang kuda, memanah, serta menjaga haiwan ternakan.
“Saya ingin pengunjung rasakan fenomena tenang dan healing setiap kali berada di ladang,” katanya.
