SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

MAS dan bank giat perkemas perlindungan Giro, pelanggan boleh tetapkan had bulanan

MAS dan bank giat perkemas perlindungan Giro, pelanggan boleh tetapkan had bulanan

Pemantauan ke atas penyedia bil akan turut dipertingkat
Apr 8, 2026 | 6:03 PM

MAS dan bank giat perkemas perlindungan Giro, pelanggan boleh tetapkan had bulanan

giro, mas
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berucap di Parlimen pada 8 April. - Foto MDDI

Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Persatuan Bank Singapura (ABS), dan pihak bank, sedang giat memperkukuh perlindungan Giro.

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata semakan itu akan menimbangkan langkah penting seperti membolehkan pelanggan menetapkan had bulanan bagi jumlah dan bilangan urus niaga.

Ia juga akan meningkatkan pemantauan dan usaha wajar terhadap pihak penyedia bil, katanya di Parlimen pada 8 April.

Encik Tan yang juga ahli lembaga MAS, mengakui bahawa meskipun pelanggan kini boleh menetapkan had urus niaga dan bank melakukan semakan usaha wajar, langkah itu tidak sempurna.

“Semakan oleh bank tidak semestinya dapat menghalang kesilapan dan kemungkinan penyalahgunaan Giro.

“Walaupun kes seperti ini jarang berlaku, kami bersetuju perlindungan perlu diperkukuh,” tegas beliau.

Pengguna dinasihatkan menyemak pengaturan Giro mereka, menetapkan had urus niaga yang munasabah, selain mempertimbangkan alternatif lain selain Giro seperti arahan tetap untuk bayaran bulanan.

Beliau menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Cik Gho Sze Kee (Mountbatten); Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar); dan Encik Melvin Yong (Radin Mas) mengenai masalah Giro yang dihadapi orang ramai.

Cik Gho khususnya membangkitkan isu potongan berganda yang dialami ibu bapa susulan penutupan rangkaian pusat jagaan pelajar pada Februari.

Beliau turut mempersoalkan perlindungan sedia ada dalam rangka kerja Giro untuk mengelak potongan berganda atau silap, serta sama ada Kementerian Kewangan (MOF) akan mengkaji semula rangka kerja itu.

Ia khus bagi memberi perlindungan yang lebih kukuh, termasuk notis awal wajib dan had potongan berubah-ubah yang ditetapkan pengguna.

Beberapa ibu bapa dikenakan caj berganda melalui potongan Giro bagi yuran jagaan pelajar Februari oleh pusat, Little Professors Learning Centre.

Pengendali itu dihentikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) susulan aduan gaji tidak dibayar dan isu Giro yang membawa kepada laporan polis.

Cik Gho mengusulkan Singapura mencontohi skim debit langsung Britain, yang memaklumkan jumlah bayaran awal dan menjamin pemulangan wang segera jika berlaku kesilapan.

Menjawab, Encik Tan menyebut beberapa bank menawarkan Giro atas permintaan, dan setiap potongan memerlukan kelulusan individu sebelum urus niaga dilaksanakan.

“Bank mempunyai perlindungan tersendiri. Namun, kami akan meneliti cadangan tersebut,” ujar beliau.

Encik Loh pula bertanya sama ada MAS akan mewajibkan bank membenarkan pelanggan menetapkan had, sama ada bilangan atau jumlah potongan, bagi setiap kitaran pengeluaran bil Giro, yang bertujuan mengukuhkan kawalan daripada pihak tidak bertanggungjawab atau kegagalan sistem.

Ini sebagai pelengkap kepada had setiap urus niaga dan langkah antipenipuan sedia ada, katanya sambil menambah, “Perlindungan pengguna sedia ada kurang memadai”.

Beliau turut mempersoalkan sama ada MAS akan meningkatkan kesedaran awam tentang perlindungan pengguna dan batasannya sepanjang tempoh semakan ini.

Encik Tan menjelaskan MAS akan bekerjasama dengan bank bagi meningkatkan kesedaran dan memulakan penambahbaikan secara berperingkat; dan perubahan besar memerlukan masa.

Sementara itu, Encik Yong bertanya mengenai usaha wajar bank dalam menerima pelanggan korporat untuk bil Giro dan sama ada bank patut mempunyai amaran urus niaga mencurigakan apabila pihak tertentu membuat banyak potongan dalam masa singkat.

“Kita sering bergantung pada Giro untuk bayaran berulang secara automatik. Walaupun mudah, ia mengundang ancaman, termasuk risiko penipuan.

“Ramai pengguna menganggapnya selamat dan mudah, jadi perlindungan mesti diperkukuh,” tegas Encik Yong, yang juga Presiden Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Badan pemantau pengguna itu sebelum ini menerima 10 aduan potongan Giro tanpa izin antara 1 Januari 2025 dengan 16 Mac 2026.

Encik Tan mengakui kemudahan Giro, terutama untuk bil elektrik bulanan yang berubah-ubah.

“Namun, ia juga ada kelemahan. Justeru, semakan ini akan mempertimbangkan cadangan Cik Gho dan Encik Loh, termasuk pemantauan urus niaga yang lebih baik.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg