SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

MOE lantik 4 pengendali pusat jagaan pelajar ganti Little Professors mulai 6 Apr

MOE lantik 4 pengendali pusat jagaan pelajar ganti Little Professors mulai 6 Apr

Yuran selama dua bulan bagi pelajar terjejas akan ditanggung MOE bagi sokong mereka dalam tempoh peralihan
Mar 30, 2026 | 7:43 PM

MOE lantik 4 pengendali pusat jagaan pelajar ganti Little Professors mulai 6 Apr

MOE, pengendali pusat jagaan pelajar, Little Professors
Kementerian Pendidikan (MOE) menamatkan perkhidmatan Little Professors bagi lapan sekolah rendah pada 14 Februari atas sebab pelanggaran kontrak. - Foto fail

Kementerian Pendidikan (MOE) telah melantik empat pengendali pusat jagaan pelajar bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah kepada 1,800 pelajar di lapan sekolah rendah yang terjejas berikutan tamatnya perkhidmatan Little Professors Learning Centre.

Pihak kementerian juga akan menanggung yuran selama dua bulan bagi pelajar yang terjejas – dari April hingga Mei – bagi menyokong mereka dalam tempoh peralihan kepada pengendali baru, jelas satu kenyataan pada 30 Mac.

Perkhidmatan baharu itu dijadual bermula pada 6 April.

Nascans Pte Ltd akan mengendalikan perkhidmatan penjagaan pelajar di empat sekolah, iaitu Sekolah Rendah Kranji, Sekolah Rendah Punggol Cove, Sekolah Rendah Waterway dan Sekolah Rendah Westwood.

Persatuan Pemuda-Pemuda Kristian (YMCA) Singapura pula akan mengendalikan perkhidmatan tersebut di Sekolah Rendah Jing Shan dan Sekolah Rendah White Sands.

Learning Studio Educare pula akan menawarkan khidmat di Sekolah Rendah Anchor Green, manakala Principals Academy Inc akan mengendalikan perkhidmatan di Sekolah Hong Wen.

Menurut MOE, para pengendali akan turut menyediakan khidmat penjagaan tadika (KCare) bagi sekolah rendah yang mempunyai Tadika MOE.

Ia menambah, pihaknya telah mempercepatkan proses pencarian pengendali pengganti supaya perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah dapat disambung semula seperti sediakala.

Keputusan muktamad dibuat selepas menilai bidaan daripada 11 syarikat, termasuk pengendali sedia ada yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi baik dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan selepas waktu sekolah.

Akhbar The Straits Times (ST), pada 14 Februari pula, melaporkan 54 pekerja telah membuat laporan berhubung gaji bagi Januari dan sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang tidak dibayar.

Sehingga 13 Mac, Little Professors berdepan dengan 123 tuntutan gaji daripada bekas pekerja yang dimaklumkan pada 13 Februari bahawa kontrak pekerjaan mereka tidak lagi sah dan mereka boleh meletak jawatan tanpa perlu memberi notis.

Segelintir ibu bapa turut mendapati mereka telah dikenakan potongan Giro dua kali bagi yuran jagaan pelajar untuk anak mereka pada Februari.

MOE menamatkan perkhidmatan Little Professors bagi lapan sekolah tersebut pada 14 Februari atas sebab “pelanggaran kontrak” dan turut membuat laporan polis berhubung ketidakselarasan dalam potongan Giro tersebut.

Yuran yang dikenakan oleh pengendali pengganti tidak jauh berbeza dengan yuran penjagaan pelajar dan KCare di sekolah rendah serta Tadika MOE lain, namun secara umumnya lebih tinggi berbanding yuran yang dikenakan Little Professors, kata MOE.

Ini kecuali Sekolah Rendah Kranji dengan yuran baru penjagaan pelajar adalah $5 lebih murah, iaitu $290.

Manakala, yuran penjagaan pelajar bagi sekolah lain berada dalam julat antara $250 dengan $320.

Bagi KCare pula, yurannya adalah antara $400 dengan $425.

Little Professors, sebelum ini, mengenakan yuran penjagaan pelajar antara $234.60 dengan $295, manakala yuran KCare pula berada antara $346.80 dengan $360.

Bagi menyokong ibu bapa dalam proses peralihan kepada pengendali baru, MOE akan menanggung yuran bagi April dan Mei, serta menanggung perbezaan yuran bagi Jun.

Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah masih boleh memanfaatkan Bantuan Kewangan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) dan subsidi KCare bagi menampung sebahagian besar kenaikan yuran, jika ada, selepas Jun 2026, tambah MOE.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg