Topic followed successfully
Go to BHkuMariam: Bersukan boleh tarik belia dari ketagihan skrin
Mariam: Bersukan boleh tarik belia dari ketagihan skrin
Sukan juga boleh ajar disiplin, kerja berpasukan, semangat kesukanan dan kepimpinan
Mariam: Bersukan boleh tarik belia dari ketagihan skrin
Usaha mengalihkan perhatian belia daripada skrin alat bimbit adalah usaha yang berterusan dan sukan adalah antara kegiatan alternatif yang terbaik, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
“Daripada terus menghadap skrin, lebih baik kanak-kanak dan beliau bersukan dan menjadi lebih aktif. Sukan mengajar disiplin, kerja berpasukan, semangat kesukanan dan kepimpinan,” tambahnya.
Memberi contoh mengenai kesan negatif yang dikaitkan dengan ketagihan skrin dan kepada media sosial, Cik Mariam merujuk kepada kes di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini, apabila mahkamah mendapati syarikat media sosial gergasi, Meta, bersalah membangunkan platform media sosial yang menyebabkan ketagihan dan menjejas kesihatan mental seorang belia berusia 20 tahun.
Meta memiliki platform media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Belia itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Cik Kaley, dianugerahkan bayaran AS$6 juta ($7.8 juta) dalam kes yang dijangka membuka pintu bagi ratusan kes serupa dihadapkan ke mahkamah.
Cik Mariam berkata demikian semasa bercakap kepada wartawan di pertandingan bola sepak VJS Urban Futsal Copa 2026 di Premier Pitch, Woodlands FC pada 28 Mac.
Menurut beliau, kegiatan sukan seperti bola sepak adalah satu pilihan alternatif yang sihat bagi golongan muda.
Malah, tambahnya, usaha komuniti seperti pertandingan bola sepak memberi peluang kepada remaja untuk menyerlahkan bakat serta memahami konsep seperti kemenangan bukan satu-satunya keutamaan dalam sebarang pertandingan, malah nilai-nilai murni seperti kerjasama dan semangat kemasyarakatan.
Dianjurkan oleh VJS Procurist Services buat kali kedua, pertandingan futsal yang melibatkan pemain berusia bawah 18 tahun itu menghimpunkan 16 pasukan, dengan matlamat memperkasa belia serta memupuk nilai kepimpinan melalui sukan.
Woodlands Warrior FC muncul juara, membawa pulang $500 serta trofi dan pingat. Batman FC pula menang $300 serta trofi dan pingat sebagai naib juara.
Pengarah VJS Procurist Services, Encik Vijayan Superamaniam, 45 tahun, berkata sukan dapat merapat jurang antara perbezaan kaum, agama dan budaya, sekali gus mengeratkan hubungan dalam masyarakat, terutama generasi lebih muda.
Justeru, beliau amat berbesar hari menerima sambutan yang menggalakkan untuk pertandingan ini, dengan kesemua 16 tempat ditempah dua bulan selepas pendaftaran dibuka.
“Ini menunjukkan minat tinggi terhadap sukan ini dan ia menjadi platform terbaik untuk menyatukan masyarakat,” ujar beliau.
Pihaknya sedang merancang menganjurkan pertandingan futsal bagi pemain berusia 21 tahun dan ke atas yang turut melibatkan penghuni rumah peralihan dengan kerjasama Reben Kuning Singapura (YSRG).
YSRG ialah badan berkanun di bawah naungan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan antara lain bertujuan mengurangkan kadar residivisme dalam kalangan bekas pesalah dengan memberi mereka sokongan secara holistik.
Pemimpin akar umbi yang mewakili YSRG di acara tersebut, Encik Shahrin Abdol Salam, berkata adalah penting sokongan berterusan diberikan kepada keluarga bekas pesalah.
“Kami mahu setiap individu rasa disokong dan tidak terpinggir. Melalui kehadiran kami, ia menunjukkan komitmen kami dan memastikan masyarakat tahu bahawa kami akan sentiasa memberi sokongan kepada individu dan keluarga mereka,” kata beliau.

